Dunia Haiwan di Alam Melayu: Mitos, Mistik dan Sejarah membuat penelitian terhadap beberapa jenis binatang khususnya gajah, harimau, buaya dan kuda yang sememangnya mempunyai kaitan dengan ekonomi dan sosiobudaya orang Melayu. Haiwan telah sekian lama hidup berdampingan dengan manusia di Alam Melayu, sama ada dalam bentuk fizikal, simbolik dan metafora. Malahan, ikatan antara haiwan dan orang Melayu juga menjadi sebahagian daripada weltanschauung orang Melayu itu secara keseluruhannya.
Dalam konteks masyarakat di Alam Melayu, hubungan manusia-haiwan dapat dilihat dalam pelbagai bentuk sama ada haiwan sebagai sumber makanan, haiwan peliharaan, alat pengangkutan dan pekerjaan, atau menggunakan sebahagian daripada anggota haiwan untuk dekorasi dan perhiasan ruangan. Haiwan juga turut digunakan sebagai ramuan dalam perubatan. Kesemua ini membayangkan wujudnya satu bentuk hubungan antara haiwan dengan manusia. Pada tahap awal tamadun manusia, hubungan yang wujud mempunyai perkaitan langsung dengan keperluan manusia untuk mendapatkan makanan.
Kebolehan seekor anjing untuk mengesan haiwan lain merupakan satu elemen penting sewaktu manusia melakukan aktiviti memburu yang merupakan antara aktiviti paling awal yang dilakukan oleh manusia untuk mendapatkan makanan. Perkembangan sejarah kemudiannya memperlihatkan satu bentuk hubungan yang berbeza. Haiwan tertentu Kini dipelihara mahupun diternak untuk kepentingan tertentu. Anjing dipelihara bukan sahaja untuk menjadi haiwan pemburu tetapi juga sebagai haiwan untuk menjaga harta benda dan rumah, malah bertindak sebagai pengawal. Lembu, kambing, kerbau dan ayam pula diternak untuk tujuan ekonomi, keperluan daging, susu dan telur.
Dalam keadaan ini, haiwan boleh sahaja menjadi sumber makanan tetapi juga turut membekalkan bahan untuk pakaian dan perlindungan, perhiasan mahupun untuk membantu manusia dalam menjalankan tugas seharian, sama ada sebagai alat pengangkutan, membajak sawah atau sebagai sumber perubatan. Hal ini bermakna, sejak sekian lama, haiwan mempunyai kepentingan dan nilai yang sangat besar terutama sebagai sumber makanan, nilai ekonomi, biomedik, genetik, saintifik dan nilai simbolik. Merujuk nilai simbolik ini, S. Robert Aiken dan Colin H. Leigh menyatakan bahawa haiwan sememangnya kerap kali digunakan sebagai simbol. Figura harimau menjadi jata negara di Malaysia. Pada tahun 1977, figura badak telah dijadikan simbol protes khalayak terhadap aktiviti pembalakan haram di Taman Negara Endau Rompin.
Orang Melayu sememangnya akrab dengan alam. Dalam pemahaman orang Melayu, alam sebagai sumber budaya bendawi wajar dimanfaatkan untuk kepentingan mereka. Lebih penting lagi, interaksi dengan alam bukan sekadar melahirkan pengalaman kehidupan tetapi juga pelbagai bentuk kebijakan tempatan sama ada pepatah-petitih, pantun, perumpamaan dan sebagainya. Menurut Zainal Borhan, “seluruh khazanah falsafah sosial ini lahir dari pengamatan manusia terhadap alam”. Mereka bukan sahaja mengetahui secara mendalam tentang flora, khasiatnya serta fungsinya. Mereka juga mengetahui segala jenis haiwan yang ada di dalam hutan, air, unggas dan serangga yang berterbangan di udara.
Kedekatan dengan alam membolehkan mereka melakukan pelbagai aktiviti di hutan. Setiap hari, antara aktiviti utama mereka termasuklah pergi ke hutan untuk memburu haiwan liar seperti kijang, rusa, kancil, ayam, burung dan sebagainya. Sebahagiannya untuk dijadikan hidangan sementara sebahagiannya lagi untuk keperluan lain seperti burung yang dibela atau dijadikan barang pertukaran. Mereka juga pergi ke sungai untuk menangkap ikan dan semua kegiatan ini menjadikan orang Melayu akrab dengan persekitaran mereka.
Bagaimanakah kita harus melihat haiwan dalam perkembangan budaya, pemikiran, perlakuan dan sejarah orang Melayu?
Dalam rangka persoalan ini, maka pencarian dilakukan bersandarkan tiga elemen, iaitu mitos, mistik dan sejarah. Hal ini disebabkan, dengan memahami ketiga-tiganya, kita akan setidak-tidaknya dapat meletakkan dan melihat perkaitan haiwan dalam budaya, pemikiran, perlakuan serta perkembangan orang Melayu itu. Mitos diertikan sebagai cerita yang berasaskan legenda yang memiliki erti simbolik. Hal int bermakna, mitos dapat dikaitkan dengan satu cerita dalam sebuah kebudayaan setempat yang dianggap benar tentang sesuatu peristiwa yang dianggap pernah terjadi pada dahulu kala dan diungkapkan secara lisan.
Mistik pula sering dikaitkan dengan sifat luar biasa atau ghaib dan kadang-kadang sukar difahami dalam kerangka pemikiran biasa. Kedua-duanya berada di luar objektiviti apabila ia dihasilkan melalui imaginasi, sama seperti fiksyen tanpa sebarang bukti yang objektif yang dapat diselidiki secara rasional atau diperiksa secara saintifik, sebaliknya hanya bergantung semata-mata kepada kepercayaan dan keyakinan seseorang. Sejarah pula merupakan peristiwa yang lalu yang difikirkan benar-benar berlaku bersandarkan bukti-bukti sejarah.
Perbincangan int sangat penting untuk membezakan antara mitos, mistik dan sejarah. Bersandarkan keadaan ini, maka ketiga-tiga aspek dibicarakan serentak dalam buku ini. Perkara-perkara yang disifatkan sebagai mitos dan mistik menjadi sebahagian daripada penceritaan yang dibangunkan dalam buku ini, sebelum kemudiannya menjurus kepada hal-hal nyata yang dinamakan sejarah yang dikembangkan bersandarkan bukti-bukti yang ada.
Reviews
There are no reviews yet