Etnomatematik dan Etnosains di Alam Melayu merupakan tambahan kepada penulisan dalam bidang etnomatematik yang amat kurang. Etnomatematik merupakan kajian tentang matematik yang lahir dalam budaya dan etnik sesuatu kaum. Mengenali etnomatematik merupakan kunci untuk memahami matematik kontemporari yang berkembang daripada susur galur yang sama. Entosains pula merujuk kepada sains yang terbina dalam sesuatu masyarakat dan etnik tertentu. Setiap etnik mempunyai paradigma pemikiran sains yang dipengaruhi oleh budaya, adat resam, tradisi ilmu dan latar belakang masyarakat. Justeru, pendedahan yang dilakukan dalam bidang ini telah membantu mengangkat martabat tamadun masyarakat Melayu pada zaman silam. Buku ini boleh dimanfaatkan oleh pelajar dan peminat dalam bidang etnomatematik ini untuk mengikuti perkembangan dari masa ke semasa, sama ada sebagai suatu input kepada ilmu pengetahuan mahupun garis panduan dalam mengembangkan setiap bidang ilmu yang berkaitan dengan etnomatematik pada masa akan datang.
Di Alam Melayu, penulisan dalam bidang etnomatematik dan etnosains sedang berkembang mencakupi pelbagai aspek seperti sosiologi, antropologi, filologi, tamadun, sejarah, falsafah, budaya, kepercayaan dan agama. Berdasarkan penemuan koleksi prasasti dan manuskrip, para pengkaji dapat meneliti dan menilai ilmu matematik dan sains yang di guna pakai oleh masyarakat silam di rantau Alam Melayu. Berdasarkan analisis tarikh dan waktu yang dikenal pasti, bermula sejak awal kurun pertama Masihi. Ini membuktikan masyarakat di Alam Melayu silam sudah lama mempelajari sains dan matematik. Ilmu matematik dan sains memainkan peranan dalam membawa perubahan kepada seluruh kehidupan masyarakat dari aspek sosial, ekonomi, pengurusan, pendidikan dan seumpamanya untuk memperkembang sesebuah tamadun. Selain itu, kajian tahkik dan analisis telah dilakukan terhadap teks klasik dan juga manuskrip Melayu seperti kitab fiqh dan mantiq. Bagi kupasan yang lebih mendalam, pembaca boleh merujuk kepada Bab 2 hingga Bab 4 dalam Etnomatematik dan Etnosains di Alam Melayu.
Bidang etnosains boleh dikatakan sebagai koleksi pengetahuan atau kepakaran yang dimiliki oleh sesuatu bangsa atau kaum ataupun kelompok sosial tertentu di dunia ini. Boleh ditekankan di sini ia adalah tahap pengetahuan yang merupakan pengetahuan khusus suatu masyarakat, dan yang membezakannya dengan pengetahuan masyarakat yang lain. Misalnya, sains Islam merupakan salah satu disiplin ilmu yang mengkaji sejarah perkembangan sains dan teknologi dalam tamadun Islam yang berhubung kait dengan perkembangan awal sains dan teknologi di Barat. Di samping itu, bidang dalam falsafah sains Islam menjadi tunjang mengawal kegiatan sains dalam tamadun Islam. Sains Islam juga dirumus sebagai penyelidikan yang melaksanakan nilai dan ilmu Islam dalam semua kegiatan sains dan teknologi masa kini. Secara umum, kajian yang dibuat dari sudut falak, ilmu hisab, perubatan, pertanian, pelayaran, kejuruteraan Islam dan seumpamanya dijangka mempengaruhi perkembangan perindustrian di Barat. Penyelidikan tentang sains dan teknologi dalam konteks budaya dan warisan ilmu tamadun Melayu-Islam mempunyai peranannya dalam era penjajahan Barat.
Unsur matematik dipraktikkan dalam jual beli, pertukaran barang, ukuran dan sukatan, mata wang, cukai, hutang, riba dan seumpamanya. Justeru, etnosains adalah sangat penting untuk menjana ekonomi sesebuah bangsa kerana ia diamalkan dalam perniagaan, perdagangan, nilai mata wang serta sistem ukuran dan sukatan sesebuah masyarakat. Penguasaan ilmu matematik oleh masyarakat silam banyak dipaparkan pada prasasti-prasasti yang dijumpai di beberapa tempat di Kepulauan Melayu ini. Perkara ini dijelaskan dalam bab yang berkenaan di dalam buku ini. Nilai ekonomi yang tinggi akan memberi manfaat kepada masyarakat dan bangsanya. Setiap bangsa mempunyai ilmu pengetahuan dan kepakaran yang pelbagai untuk membentuk sistem ekonomi dalam bentuk budaya mereka yang dipanggil etnoekonomi. Sebagai contoh, faktor kawasan seperti tanah, bentuk muka bumi merupakan faktor utama bagi suatu masyarakat setempat untuk memperoleh pendapatan melalui pertanian dan sebagainya.
Penjelasan yang diberikan di atas akan membolehkan pembaca untuk mengikuti huraian seterusnya secara terperinci tentang bidang etnomatematik dan etnosains pada setiap bab di dalam Etnomatematik dan Etnosains di Alam Melayu.
Reviews
There are no reviews yet