Ilmu Ketatanegaraan Melayu Raja Ali Haji: Huraian Terhadap Thamarat al-Muhimmah dan Muqaddimah fi Intiẓām Waẓā'if al-Malik

KHALIF MUAMMAR A. HARRIS merupakan Professor Madya dan penyelaras akademik di Center for Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia.

DBP (Cetakan Pertama, 2016)
164 halaman termasuk Bibliografi dan Indeks

RM30.00

In stock

Ilmu Ketatanegaraan Melayu Raja Ali Haji merupakan huraian terhadap Thamarat al-Muhimmah dan Muqaddimah fi Intiẓām Waẓā’if al-Malik. Ilmu Ketatanegaraan Melayu Raja Ali Haji menawarkan ilmu politik dan ketatanegaraan yang bercirikan kebijaksanaan, yang menekankan kemaslahatan bersama (common good), bukan kepentingan dan pertimbangan yang sempit dan sementara. Raja Ali Haji (1808-1873) merupakan penerus tradisi ilmu para ilmuwan Islam terdahulu baik di Alam Melayu khususnya, dan peradaban Islam umumnya. Karya Raja Ali Haji seperti Gurindam Dua Belas, Bustān al-Kātibin dan Tuḥfat al-Nafīs telah mengangkat kesarjanaan beliau dalam bidang sastera dan sejarah. Namun demikian, sepanjang pengetahuan penulis, belum ada kajian yang memberikan perhatian khusus dan serius terhadap karya beliau dalam ilmu ketatanegaraan atau ilmu politik dan pemerintahan iaitu Thamarat al-Muhimmah dan Muqaddimah fi Intiẓām Waẓā’if al-Malik yang, pada hemat penulis, juga memiliki kehebatan yang tersendiri, dan dapat dianggap sebagai karya besar dalam ilmu Ketatanegaraan Melayu.

Sebagai seorang penasihat Raja yang juga merupakan kerabat Diraja kesultanan Riau-Lingga, dan telah mendapat pendidikan yang luas terutama sekali dalam ilmu-ilmu agama, Raja Ali Haji menulis Thamarat al-Muhimmah untuk menjadi buku panduan (handbook) yang ringkas dan padat bagi para raja, orang besar, dan penjawat awam agar tugas dan peranan yang dipikul dapat dilaksanakan dengan baik mengikut lunas-lunas agama. Pengarangnya telah menyajikan pelbagai sudut persoalan penting dalam politik dan ketatanegaraan dengan padat dan ringkas, dengan kaedah penyampaian yang menarik dan berkesan sehingga dapat difahami dan diamalkan oleh semua khalayak. Karya ini merupakan suatu ilmu ketatanegaraan yang sepenuhnya berdasarkan kerangka pemikiran Islam dan pandangan alam (worldview) Islam. Melalui dua karya ini, Raja Ali Haji menyambung tradisi ilmu yang tercermin dalam karya-karya agung para ulama’ besar sepanjang sejarah keilmuan Islam dan memanfaatkan hasil penulisan mereka dalam bidang ini dengan mengambil kira realiti dan situasi zamannya. Oleh sebab itu, karya beliau ini dapat dianggap sebagai karya kemuncak Ilmu Ketatanegaraan Melayu yang bersumberkan tradisi keilmuan Islam.

Penulis sengaja memberikan judul “Ilmu Ketatanegaraan Melayu Raja Ali Haji” kepada buku ini untuk menegaskan bahawa karya ini tidak hanya mencerminkan pemikiran Raja Ali Haji dalam politik dan ketatanegaraan, tetapi juga mencerminkan ilmu dan amalan ketatanegaraan yang dilaksanakan sejak ratusan tahun di Alam Melayu. Apa yang diamalkan di Kerajaan Riau Lingga pada masa itu bukanlah sesuatu yang asing, tetapi telah menjadi amalan kerajaan-kerajaan Melayu pada umumnya. Dengan kata lain, beliau hanya merumuskan dan merakamkan apa yang beliau telah pelajari dan yang telah pun menjadi amalan sistem pemerintahan Islam sejak zaman berzaman agar menjadi panduan para pemimpin pada zamannya. Penulis juga sengaja meletakkan kata “ketatanegaraan” dan bukan politik di dalam judul itu bagi menjelaskan bahawa istilah politik tidak digunakan di Alam Melayu sehinggalah pada abad terakhir ini.

Selain adanya unsur-unsur sekular dalam konsep politik yang berkembang di Barat sejak zaman Yunani, perbincangan ilmu politik pada hari ini tertumpu kepada kekuasaan, sedangkan ilmu ketatanegaraan, mengikut konsep al-siyāsah wa al-tadbīr (pengaturan dan pengurusan), adalah suatu disiplin ilmu yang khusus membincangkan aturan dan kaedah dalam menata negara agar kemaslahatan manusia dalam semua aspek terpelihara. Ramai sarjana muslim berbicara tentang peri pentingnya politik dan agama tidak dipisahkan (dualisme) dan perlunya integrasi antara keduanya, namun tidak ramai yang berjaya memberikan penjelasan bagaimana perkara ini dapat dilakukan dengan sesungguhnya. Raja Ali Haji dalam Ilmu Ketatanegaraan Melayu Raja Ali Haji telah menunjukkan kepada kita bagaimana Islamisasi politik dan integrasi antara agama dan negara, politik dan tasawwuf atau akhlak, dapat dilakukan pada zamannya bukan sahaja di peringkat teori tetapi juga di peringkat amalan.

Prakata
Pendahuluan

1. Ilmu Ketatanegaraan Islam di Alam Melayu

2. Manuskrip Thamarat al-Muhimmah dan Muqaddimah fi Intiẓām Waẓā’if al-Malik

3. Latar Belakang Sosiobudaya
Kerajaan Riau-Lingga pada Abad ke-19
Tentang Pengarang: Raja Ali Haji

4. Pemikiran Politik Dan Ketatanegaraan Raja Ali Haji
Seni Kepimpinan
Struktur Pentadbiran
Pembudayaan Ilmu
Melahirkan Pemimpin yang Baik
Membina Negara yang Baik
Kesepaduan antara Politik dengan Tasawuf
Pengukuhan Institusi Raja

5. Penutup

Teks Muqaddimah fi Intiẓām Waẓā’if al-Malik (Rumi)
Teks Thamarat al-Muhimmah (Rumi)

Bibliografi
Indeks

Teks Muqaddimah fi Intiẓām Waẓā’if al-Malik (Jawi)
Teks Thamarat al-Muhimmah (Jawi)

Weight0.315 kg
Dimensions21.7 × 14.2 × 1.2 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

5.0
Based on 2 reviews
5 star
100
100%
4 star
0%
3 star
0%
2 star
0%
1 star
0%
  1. Anonymous (store manager)

    (0) (0)
  2. Anonymous (store manager)

    (0) (0)

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.