Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik menampilkan satu perbincangan ilmiah dalam bidang kesusasteraan bandingan, khususnya untuk mengesan serta memperlihatkan proses pembentukan puitika dalam penulisan novel dalam kalangan pengarang wanita di Indonesia dan Malaysia. Novel-novel ini dilihat dari sudut ginokritik yang diperkenalkan oleh Elaine Showalter. Analisis ini mengaplikasikan empat model dalam kaedah bacaan ginokritik, iaitu model penulisan wanita dan biologi wanita, penulisan wanita dan bahasa wanita, penulisan wanita dan psikologi wanita serta penulisan wanita dan budaya wanita.
Teks-teks yang dipilih merupakan novel-novel yang dihasilkan oleh pengarang wanita dari Indonesia dan Malaysia. Novel-novel dari Indonesia ialah Saman oleh Ayu Utami, Tarian Bumi oleh Oka Rusmini, Calon Arang oleh Toeti Heraty, dan Dari Lembah Ke Coolibah oleh Titis Basino. Manakala dari Malaysia pula, novel-novelnya ialah Menongkah Lumrah oleh Azmah Nordin, Isteri oleh Rosmini Shaari, Salam Maria oleh Fatimah Busu, dan Jalur Sinar di Celah Daun oleh Zaharah Nawawi.
Aplikasi model-model ginokritik (gynocritics) membuktikan bahawa pengarang wanita di Indonesia dan Malaysia telah menjadikan aspek biologi, bahasa, psikologi serta budaya wanita sebagai landasan utama dalam pembentukan puitika penulisan kreatif mereka. Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan ketara dalam cara dan gaya penerapan setiap unsur tersebut oleh pengarang wanita di Malaysia dan Indonesia. Perbezaan tersebut dipengaruhi oleh latar sosiobudaya, politik dan latar belakang pengarang di kedua-dua buah negara berkenaan.
Hasil penelitian ini menunjukkan cara-cara pengarang wanita memanfaatkan kebijaksanaan mereka dalam menghasilkan makna teks dengan menentukan sejarah, tema, genre dan struktur penulisan mereka yang tersendiri. Hasil analisis yang telah dilakukan membuktikan karya-karya oleh pengarang wanita mempunyai sifat-sifat khusus, dan menampilkan gaya penulisan baru yang tidak bersifat stereotaip serta membosankan. Penemuan ini juga menunjukkan pengarang wanita telah merangka dan menstruktur pembaharuan dalam gaya penulisan kreatif yang menyerlahkan pembaharuan-pembaharuan dalam puitika sastera wanita.
Sebagai sebuah buku ilmiah dalam bidang kesusasteraan dan khususnya yang bersifat teori dan aplikasi, penghasilan buku ini diharap dapat membantu para pelajar dan pengajar kesusasteraan di semua institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus-kursus kesusasteraan dalam program pengajian, sama ada pada peringkat sarjana muda, sarjana atau doktor falsafah. Hal ini adalah penting memandangkan buku seumpama ini belum pernah ditulis atau dibukukan oleh mana-mana pihak. Apatah lagi teori yang digunakan dalam penulisan buku ini amat kurang dikenali di Malaysia, meskipun teori ini telah lama wujud dan berkembang di Barat.
Oleh yang demikian, Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik dipercayai merupakan satu-satunya penerbitan dalam bahasa Melayu yang khusus memperkenalkan teori ginokritik dan kaedah pengaplikasiannya terhadap korpus kesusasteraan Melayu. Oleh sebab itu, diharap buku ini dapat dimanfaatkan oleh para pelajar, para pengkaji sastera dan pengajar pada peringkat universiti termasuklah peminat-peminat bidang kesusasteraan di Malaysia.
Reviews
There are no reviews yet