Sari Budaya dan Bahasa Suku Semai

MOHD SHARIFUDIN YUSOP adalah Profesor Madya di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi. Universiti Putra Malaysia.

ALANG SABAK berketurunan orang Asli suku Semai dari Perak, berkelulusan Bacelor Pendidikan Pengajaran Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Pertama (UPM).

Penerbit UPM (Cetakan Pertama, 2018)
320 halaman termasuk Indeks

RM62.00

In stock

Sari Budaya dan Bahasa Suku Semai adalah salah satu usaha mendokumentasi dan menghuraikan ciri-ciri kemasyarakatan bahasa Semai secara fundamental. Sebagai salah satu suku yang paling besar dalam kalangan 18 suku masyarakat orang Asli di Malaysia, adalah amat wajar bahasa Semai dikaji, dibukukan dan dipersembahkan kepada masyarakat umum sebagai salah satu khazanah kearifan lokal masyarakat Malaysia. Usaha ini adalah yang pertama kalinya dilakukan secara tuntas dengan menggembleng tenaga dua penulis; seorang tenaga akademik yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang penelitian bahasa orang Asli dan peribumi, dan seorang lagi merupakan penuturjati bahasa Semai yang berpengalaman sebagai guru bahasa Melayu.

Penulis turut memanfaatkan maklumat dan data bahasa Semai daripada dua kelompok masyarakat yang berlainan kawasan geografi mereka, iaitu dari daerah Batang Padang, Perak dan daerah Kuala Lipis, Pahang. Setelah lima tahun pemerhatian dan pengutipan data dibuat di kedua-dua kawasan, didapati bahawa perbezaan antara kedua-dua subdialek Semai itu adalah pada sekitar 40%. Untuk memperkayakan bahasa Semai, buku ini memanfaatkan keseluruhan data yang berlainan itu.

Penerbitan Sari Budaya dan Bahasa Suku Semai juga bertepatan dengan langkah Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan mata pelajaran bahasa Semai lebagai salah satu mata pelajaran elektif di sekolah rendah mulai tahun 2014. Langkah sebenarnya telah bermula pada tahun 1990-an lagi. Banyak kekangan yang telah dilalui oleh jawatankuasa yang ditugaskan, namun peringkat demi peringkat akhirnya ciri akademik bahasa ini telah dapat dibentuk dan disusun sesuai dengan sifatnya sebagai linguafranca dalam kalangan 18 suku masyarakat orang Asli yang terdapat di negara ini. Pada satu waktu dahulu, pegawai yang bertugas di Jabatan orang Asli adalah dikehendaki mengikuti kursus bahasa Semai bagi memudahkan mereka berkomunikasi dengan masyarakat orang Asli khususnya suku Semai itu sendiri. Berikutan penggunaannya yang meluas termasuklah dengan wujudnya stesen radio Asyik FM di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), satu bentuk bahasa Semai yang standard telah dapat diwujudkan.

Sebagai buku bahasa yang bersifat fundamental, bahagian awal Sari Budaya dan Bahasa Suku Semai menampilkan terlebih dahulu pengenalan tentang suku dan aspek sosiobudaya masyarakat Semai. Aspek ini telah banyak ditulis tetapi tidak dalam bentuk akademik. Justeru masyarakat dan bahasa berpisah tiada, segala variabel kemasyarakatan ditampilkan dan menjurus kepada aspek sosiolinguistik bahasa Semai. Maka dengan itu, turut ditampilkan juga maklumat tentang kata sapaan, sistem panggilan, ragam penggunaan bahasa Semai dan pelbagai mandala penggunaan bahasa yang memperlihatkan dinamika bahasa ini.

Dalam usaha menstandardisasikan bahasa Semai ini, penulis telah berusaha mengumpul dan meneliti kesemua pola yang wujud dalam penggunaan lisan penutur jati. Memandangkan tiada kaedah setuntas itu sebelum ini, penulis perlu bermula dari kosong. Pola linguistik yang terdapat dalam bahasa Melayu dijadikan asas perbandingan. Penulis bermula dengan mengumpulkan dan menyusun daftar kata bahasa Semai yang menghimpunkan data Batang Padang dan Kuala Lipis. Bagi memastikan ketekalan dan ketulenan sebutan, transkripsi fonetik untuk kata-kata itu turut dicatatkan. Daftar kata Semai-Melayu dan Melayu’ Semai ditampilkan sebagai rujukan dan semakan.

Weight0.556 kg
Dimensions24.1 × 16.5 × 1.7 cm
Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.