Out of stock

Sasterawan Negara Noordin Hassan: Anak Tanjung Pejuang Seni

Disunting oleh SOHAIMI ABDUL AZIZ

Penerbit USM (Cetakan Pertama, 2003)
115 halaman termasuk Indeks

RM18.00

Out of stock

Sasterawan Negara Noordin Hassan: Anak Tanjung Pejuang Seni mengetengahkan analisis kepengarangan dan karya-karya yang dihasilkan oleh Noordin Hassan dalam satu ruang perjalanan drama Melayu moden. Seni dan Pulau Pinang sukar dipisahkan, umpama cahaya dengan bayang-bayang. Pulau Pinang bukan sahaja menjadi tempat perkembangan seni tetapi juga melahirkan pengarang atau seniman terkemuka. Bermula dengan seniman P. Ramlee, dunia filem dan nyanyian menjadi sebutan sehingga ke hari ini. Belum ada pengganti kepada seniman agung ini. Pulau Pinang terus menghasilkan seniman dalam pelbagai bidang untuk negara. Dalam bidang drama nama Noordin Hassan adalah seniman yang tidak asing lagi. Beliau dilahirkan di Jalan Hatin, Pulau Pinang pada tahun 1929. Beliau bukan sahaja berkecimpung dalam bidang penulisan tetapi juga pementasan drama.

Drama adalah genre sastera yang tidak kurang penting jika dibandingkan dengan novel ataupun cerpen. Drama mempunyai sejarah yang panjang. Bermula dengan kegiatan ritual, drama berkembang menjadi seni sastera yang memperlihatkan perkembangan yang seiring dengan perkembangan zaman. Perkembangan drama di Malaysia boleh dilihat dalam dua perspektif, iaitu tradisional dan moden. Drama tradisional Malaysia boleh ditelusuri dengan melihat kepada seni persembahan seperti makyung, boria, randai dan dabus. Makyung adalah seni persembahan yang memiliki ciri-ciri pendramaan seperti penceritaan, lakonan dan nyanyian.

Pada abad ke-19 hingga ke zaman penjajahan Jepun muncul satu lagi seni persembahan, iaitu bangsawan. Pengkaji genre ini mendapati bahawa bangsawan berasal dari India dan dibawa ke Tanah Melayu pada tahun 1870-an melalui Rombongan Wayang Parsi atau Mandu. Kemudian pada tahun 1930-an pengaruh Barat mula meresapi bangsawan ini. Terdapat kumpulan-kumpulan bangsawan yang mementaskan isi daripada drama-drama Shakespeare. Seterusnya drama Shakespeare mempengaruhi drama-drama Melayu apabila muncul kecenderungan drama-drama yang mengambil unsur sejarah sebagai unsur penting. Kemudian populariti bangsawan mula merosot. Kemerosotan bangsawan telah diambil alih oleh drama realisme pada tahun 1960-an.

Muncullah nama-nama seperti Kala Dewata dengan dramanya seperti “Atap Genting Atap Rumbia” (1963) yang membincangkan tentang perbezaan nilai antara masyarakat kota dengan desa. Usman Awang juga menghasilkan drama realisme seperti “Tamu di Bukit Kenny” (1968) yang mengisahkan pelbagai isu masyarakat seperti rumah haram, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kemiskinan. Aliran realisme juga menyerlah dalam drama A. Samad Said, iaitu “Di Mana Bulan Selalu Retak” (1965). Aliran realisme ini kemudiannya ditentang oleh beberapa sasterawan lain seperti Noordin Hassan, Johan Jaaffar dan Hatta Azad Khan.

Noordin Hassan adalah sasterawan yang diterima sebagai pelopot kepada satu genre drama yang berbeza daripada drama realisme. Aliran yang dibawa oleh Noordin Hassan menimbulkan perbincangan yang panjang. Ada yang melihat aliran itu sebagai aliran absurdime dan ada yang melihatnya sebagai aliran surealisme. Namun terdapat pertalian yang erat antara kedua-dua aliran ini. Drama-drama Noordin Hassan yang memegang aliran ini memperlihatkan pemaparan peristiwa-peristiwa yang berpecah-pecah atau tidak ada kesatuan, banyak mainan kata-kata, berselirat dengan kerumitan, dan memerlukan renungan dan tanggapan yang kritis kerana Noordin Hassan mahu pembaca atau penonton melihat apa yang tersirat dan bukan yang tersurat. Maka watak-wataknya tidak menampilkan makna secara langsung seperti watak-watak dalam drama realisme.

Mengapakah aliran yang dibawa oleh Noordin Hassan mendapat tempat? Selain sifat pengarang suka bereksperimen, drama dan masyarakat tidak dapat dipisahkan. Keserabutan dalam drama Noordin Hassan seperti drama “Bukan Lalang Ditiup Angin” ada hubungan dengan keserabutan masyarakat di Malaysia pada ketika itu.

Kejayaan Noordin Hassan sebagai seniman ada hubungan dengan latar keluarga dan pendidikan yang diterimanya. Noordin Hassan lahir dalam keluarga yang meminati seni. Bapanya adalah seorang seniman yang bergiat dalam bidang boria melalui kumpulan Hassan Aluih Pak Cik Kaya. Bapanya adalah seorang Tukang Karang yang petah dan pandai menggubah puisi yang sedap didengar. Pada ketika itu kumpulan boria Hassan Aluih Pak Cik Kaya sangat diminati oleh peminat boria di Pulau Pinang. Boria yang dimainkan selama sepuluh malam pertama bulan Muharam menarik minat Noordin Hassan kerana boria ini mengandungi unsur-unsur sastera seperti petikan daripada peristiwa-peristiwa di dalam hikayat, cerita dongeng, mitos dan penglipur lara.

Nyata darah seni telah mengalir ke dalam diri Noordin Hassan dan ia dikejapkan lagi oleh kegiatan seni boria yang sangat popular pada ketika itu. Tambahan pula, ibunya seorang pencerita yang baik yang selalu bercerita kepadanya. Dengan kata lain dunia bercerita telah subur dalam diri Noordin Hassan semenjak kecil lagi.

Selain pengalaman langsung dengan kegiatan boria, Noordin Hassan juga mendapat pendedahan tentang drama dengan lebih teratur ketika beliau mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Kirby, United Kingdom pada tahun 1952. Sekembali ke tanah air dan mula bertugas di beberapa buah sekolah di Kedah, Noordin Hassan mula memasuki dunia penulisan dan pementasan drama. Beliau telah mula menulis drama semenjak tahun 1950-an lagi. Drama awalnya ialah “Tak Kunjung Kembali” yang dihasilkan pada tahun 1953 dan “Surai Cambai” pada tahun 1954. Penulisan dan pementasan drama semakin rancak apabila beliau mula berkhidmat sebagai pensyarah Maktab Perguruan Harian di Alor Setar antara tahun 1959 hingga 1967. Semasa bertugas di Maktab Perguruan Sultan ldris antara tahun 1968 hingga 1975 beliau telah menghasilkan drama-drama yang bermutu dan dikagumi, antaranya ialah drama “Bukan Lalang Ditiup Angin”, “Tiang Seri Tegak Berlima” dan “Pintu”.

Penghasilan drama-drama ini telah meletakkan Noordin Hassan sebagai dramatis yang disegani dan beliau telah menggerakkan gelombang drama moden di Malaysia. Drama”Bukan Lalang Ditiup Angin” adalah drama yang telah membawa satu dimensi baru dalam sejarah perkembangan drama di Malaysia. “Bukan Lalang Ditiup Angin” telah mengejutkan khalayak drama di Malaysia kerana drama ini membawa angin perubahan tradisional yang masih berpaksi kepada drama bangsawan dan realisme. “Bukan Lalang Ditiup Angin” telah mendapat Hadiah Karya Sastera 1971.

Peluang Noordin Hassan mengikuti kursus drama dalam pendidikan di Universiti Newcastle, England pada tahun 1979 telah dimanfaatkannya untuk mendalami lagi dunia drama. Drama-drama yang dilahirkan pada tahun 1980-an memperlihatkan arus perubahan yang jelas. Noordin Hassan cenderung untuk menyemai unsur-unsur Islam dalam drama-drama yang dihasilkan. Beliau mengetengahkan satu konsep drama yang dikenali sebagai drama fitrah. Salah satu drama yang telah dihasilkan yang cuba membawa konsep fitrah ini ialah drama “Jangan Bunuh Rama-Rama” yang dihasilkan pada tahun 1982. Seterusnya beliau menghasilkan drama “Anak Tanjung” pada tahun 1987 dan “Cindai” pada tahun 1988. Manakala pada tahun 1991, Noordin Hassan telah menghasilkan drama “Peran” dan “Sirih Bertepuk Pinang Menai”. Seterusnya Noordin Hassan menghasilkan drama yang bertajuk “Malam Ini Penyu Menangis” pada tahun 1994.

Noordin Hassan bukan sahaja seorang penulis drama tetapi juga pengarah kepada kebanyakan drama yang dihasilkannya. Noordin Hassan bukan sahaja memperlihatkan kemampuannya mengarang dan mengarah drama tetapi juga seorang seniman yang menghasilkan karya secara serius dan teliti. Setiap gerak ayat-ayat dan dialog-dialognya mempunyai pesan yang bersifat falsafah. Makna-makna yang ingin disampaikan kepada khalayak tidak mudah ditangkap dengan sekali pandang. Sebaliknya, ia perlu renungan yang tajam dan kritis. Gaya penulisan dan persembahannya tidak lagi berada dalam kepompong tradisi tetapi jalinan antara tradisi dengan moden. Jalinan ini membawa keunikan kepada karya-karya Noordin Hassan. Sehubungan itu, karya-karya beliau sering mendapat perhatian daripada pengkaji drama. Seterusnya, kekuatan Noordin Hassan sebagai seniman telah mendapat pengiktirafan masyarakat dan negara. Pelbagai hadiah diberi kepada karya-karya yang dihasilkan dan beberapa anugerah kepada dirinya diberi seperti Anugerah Sastera Negara pada tahun 1993.

Melihat sumbangan besar Noordin Hassan kepada perkembangan drama moden di Malaysia dan beliau anak kelahiran Pulau Pinang, maka Seminar Kefahaman Budaya keenam telah memberi fokus kepada karya-karyanya. Sebanyak enam buah kertas kerja telah dibincangkan. Kertas-kertas keria ini telah disusun menjadi bab-bab tertentu dalam buku ini yang mengandungi enam bab.

Tinta Pengantar

Pengenalan

1. Kepengarangan Dramatis Noordin Hassan

2. Unsur Bangsawan dalam Karya-Karya Noordin Hassan — Apakah Ada?

3. Jiwa dan Minda Pencipta: Noordin Hassan di Awal dan Akhir Teksnya

4. Semiotik Teater: Penanda, Simbol dan Makna dalam Karya Noordin Hassan

5. Noordin Hassan: Permasalahan Masyarakat Melayu dalam “Bukan Lalang Ditiup Angin”

6. Penampilan Isu Politik Semasa Sebagai Strategi Naratif dalam Bukan Lalang Ditiup Angin

Penyumbang

Indeks

Weight0.185 kg
Dimensions21.5 × 15 × 0.9 cm
Author(s)

, , , , ,

Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.