Mana Sikana

Mana Sikana (atau nama sebenarnya Abdul Rahman Hanapiah) merupakan pengarang anak Perak yang kedua diiktiraf sebagai Sasterawan Perak selepas Suhaimi Haji Muhammad. Beliau berasal dari Bagan Serai berketurunan Banjar, dilahirkan pada 9 Oktober 1945. Pada tahun 1973 Mana Sikana lulus penuh Sijil Tinggi Persekolahan yang melayakkan beliau menyambung pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia sekitar 1974-1978 atas pembiayaan biasiswa UKM dan berjaya meraih Sarjana Muda Persuratan Kelas Pertama. Kemudian beliau meneruskan pendidikan sarjana (1980-1981) dan menerima ijazah doktor falsafah (PhD) pada tahun 1991.

Mana Sikana menulis dalam banyak genre sastera kreatif serta kertas penyelidikan tentang kesusasteraan Melayu moden. Selaku pengarang dan pengkaji, Mana Sikana seorang pengkarya yang prolifik, tepu dengan falsafah dan pemikiran kontemporari dalam karya-karya kreatif yang dihasilkan.

Antara karya beliau ialah empat kumpulan cerpen berjudul Santau (1982), Jejak Yang Hilang (1984), Abzyx (1986) dan Nusia (2002). Bagi drama telah terhasil kumpulan berjudul Apa-Apa (1982), Tok Awang (1984) dan Hikmah (1998). Antara novel yang dihasilkannya ialah Ronjang (1984), Kesesatan (1987), Klimak (1989) dan Syajar (1996).

Mana Sikana banyak menghasilkan buku kajian sastera, antaranya; Teras Sastera Melayu Moden (1982), Esei-esei Kesusasteraan (1983), Kritikan Sastera: Kaedah dan Aplikasi (1986), Di Sekitar Pemikiran Drama Moden (1989), Teori Sastera Moden (1990), Drama Melayu Moden (1996), Teori dan Kritikan Sastera Pascamodenisme (1998), Sastera Pascamodenisme Melayu (2002) dan Teori dan Kritikan Sastera (2002).

Jumlah keseluruhan buku yang telah dihasilkan oleh Mana Sikana melebihi 100 buah.