Sidang Bersuara: Kassim Ahmad dan Keintelektualan Mandiri

KASSIM AHMAD (1933–2017) adalah sosok cendekiawan besar Melayu yang telah menghasilkan pelbagai karya utama dalam kefalsafahan, agama, politik dan sastera.

Lestari Hikmah (Cetakan Pertama, 2022)
210 halaman

RM35.00

Only 1 left in stock

Product ID: 32776 Subject: Sub-subjects: , ,

Sidang Bersuara: Kassim Ahmad dan Keintelektualan Mandiri merupakan himpunan esei pak Kassim Ahmad daripada tahun 60-an hingga awal 2000 yang meliputi tiga tema besar iaitu politik pemerintahan, falsafah kemasyarakatan dan pemikiran intelektualisme. Walaupun ketika hayat Kassim Ahmad sentiasa dihimpit dengan polemik dan kontroversi, mahu tidak mahu haruslah diakui penulisan dan ideanya yang tajam itu telah menempangkan tiang feudalisme yang sekian lama berpasak di dalam jiwa masyarakat. Termasuk jugalah keprihatinan beliau terhadap isu-isu rakyat marhaen dan polemik sastera Islam bersama Shahnon Ahmad telah melonjakkan namanya sebaris dengan cendekiawan ulung tanah air yang lain.

Kassim Ahmad, nama yang begitu kontroversial dalam sejarah intelektual dan politik Malaysia bahkan juga antarabangsa. Beliau dituding dengan pelbagai gelaran seperti “anti-Hadis”, “sesat” bahkan “murtad” dan “kafir” oleh para penentangnya khususnya golongan Islamis yang terdiri daripada agamawan, akademikus, dan politikus populis di tengah-tengah masyarakat konservatif sedia ada yang tidak dapat menerima idea-idea Kassim Ahmad. Label-label sebeginilah yang telah menggerhanakan hampir keseluruhan besar cakerawala pemikiran beliau yang sebenarnya tidak hanya sebatas polemik-polemik yang pernah dibangkitkannya itu. Namun, dengan adanya Sidang Bersuara sebagai sebuah buku yang mengumpulkan esei-eseinya menjadi bukti bahawa Kassim Ahmad telah banyak bersuara tiada hentinya tentang hal-hal seperti falsafah, kemasyarakatan, politik, kebudayaan, ekonomi, sastera, seni, pendidikan, dan isu-isu tempatan serta dunia seluas-luasnya dengan keintelektualan yang tersendiri.

Kassim Ahmad berpendapat bahawa penganut Islam keseluruhannya termasuk masyarakat Melayu lebih menghargai hadis-hadis daripada nilai-nilai yang termaktub dalam al-Quran al-Karim. Pendirian beliau ditafsirkan sebagai mengetepikan hadis dan ditolak sebahagian besar umat Islam. Bukan hadis semata-mata yang menjadi masalah tetapi kegagalan manusia memahami bahawa mesej utama al-Quran adalah untuk mengingatkan manusia tentang kedaulatan serta kemuliaan manusia. Kita lupa tentang mesej utama ini kerana sibuk dengan ritual dan peraturan. Kontroversi hadis Kassim Ahmad membawa kita menelusuri makna dan maksud sebenar al-Quran.

Sebagai contoh yang lain, Kassim Ahmad menentang taat buta Hang Tuah kepada Raja. Padanya, Hang Tuah bukan wira Melayu kerana dalam proses membuktikan ketaatan kepada perintah Raja, Hang Tuah telah melanggar prinsip kebenaran dan etika persahabatan. Kontroversi Hang Tuah-Hang Jebat, memaksa kita menilai semula perwatakan-perwatakan tertentu dalam sejarah agar kita tidak terpesong daripada jalan yang lurus dalam melakar masa depan negara kita. Dalam politik, Kassim Ahmad lebih cenderung pada kesengsaraan marhaen walhal politik tanah air dikuasai kepentingan elit dan persaingan kuasa. Oleh sebab itu, politik sebuah negara yang merdeka dalam abad ke-21 memerlukan dimensi yang berakar umbi dari aspirasi dan cita-cita rakyat jelata—walau apa pun unsur-unsur feudal yang kita warisi dari sejarah. Koleksi esei-esei dalam buku ini bukan sahaja mempertingkatkan kefahaman kita tentang politik baru masa kini tetapi menambah pengetahuan kita tentang pemikiran Kassim Ahmad selama beberapa dasawarsa. Ia membuktikan sekali lagi bahawa beliau ialah seorang cendekiawan yang luar biasa.

Amatlah malang, bahawa suara-suaranya yang membingitkan bagi sesetengah pihak itu telah lekas sekali dibungkam; yang menggugah dan mencabar justeru lantas dicantas sehabisnya; yang membuka pintu kesedaran dan fikiran masyarakat manusiawi lalu sedaya upayanya cuba ditenggelamkan juga dipadam. Demikianlah, tragedi keintelektualan yang menimpa dengan tragisnya masyarakat ini sehingga mengentalnya kebudayaan anti-intelektual. Tetapi, Kassim Ahmad ‘Sang Pemberontak’ tetaplah memberontak melalui pena dan helai-helai kertasnya sekalipun beliau disisihkan dan dimarginalisasikan. Suaranya akan tetap bersipongang keras di setiap penjuru, dan wajar untuk kita dengarkan suara-suara itu dengan tekun lewat buku ini. Maka, selamat menghadiri Sidang Bersuara-nya seorang Kassim Ahmad agar tumbuh seribu bahkan lebih lagi cendekiawan seperti beliau.

Pengantar Penerbit
Kata Pengantar – Dr Chandra Muzaffar
Kata Pengantar – Dr Azhar Ibrahim
Nurani Cendekia untuk Pembangunan Bangsa: Kassim Ahmad dan Riwayat Sebuah Gagasan

1. Bermaknanya Kehidupan
2. Krisis Ekonomi: Apakah yang Perlu Kita Buat
3. Sekular dan Sekularisme: Kekeliruan dalam Umat Islam
4. Falsafah dan Sains Sosial
5. Abad Baru: Kematian yang Lama dan Kelahiran yang Baru
6. Ke Arah Tata Dunia Baru Manusia yang Liberal
7. Ijtihad Kontemporari
8. Penulis Sebagai Conscience atau Batin Sesuatu Bangsa
9. Masalah Pemerintahan Islam di Malaysia
10. Sepanjang Jalan Revolusi
11. Pemodenan Bangsa: Sumbangan Abdullah Abdul Kadir Munshi
12. Sains Moden Sudah Hampir Membuktikan Kewujudan Tuhan dan Kehidupan Yang Kekal

Weight0.3 kg
Dimensions22 × 15 × 1 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.