Yang Menjelma dan Menghilang merupakan sebuah layar drama karya Anwar Ridhwan, yang disifatkan oleh Panel Penilai Hadiah Penulisan Drama Pentas Yayasan Seni-Berita Harian sebagai “Dari sederhana ke kompleks, dan ketaralah bahawa tidak ada sebuah drama yang lebih kompleks daripada Yang Menjelma dan Menghilang karya Anwar Ridhwan. Sudah lama terjadinya fenomena bahawa ramai pencipta drama memburu kesederhanaan demi menawan penonton yang terbanyak, sehinggalah kami menghadapi sebuah drama yang begitu kompleks dalam tradisi drama Melayu kontemporari. Kisah yang berlapis-lapis dan sungguh imaginatif itu bermula dengan seorang lelaki yang “terlibat dalam tragedi kemalangan kapal terbang”. Sekurang kurangnya terdapat tiga lapisan yang terjalin dapat dikesan.
Pertamanya, lapisan bersabit dengan kisah orang lelaki itu (LELAKI I) dan orang yang menyelamatkannya. Lapisan kedua berasaskan kepada mimpi LELAKI I itu yang melahirkan watak-watak cerita hikayat yang terbau Jawa. Tokoh daripada karya sastera lama itu berebut dalam suatu komplot yang dijajarkan dengan pergolakan politik sebuah republik moden. Tiap lapisnya terjalin namun ia memerlukan perhatian yang teliti daripada pembaca supaya ia tidak tersesat.
Akan tetapi setengah-setengah drama ini lebih asyik dengan memperhalusi skema yang terjalin itu daripada mencetuskan lakuan yang benar-benar dramatik. Di tengah drama ini, usaha mengembangkan skema atau dinamik skema kadangkala tidak dinafasi dengan jiwa dramatik. Betapa menakjubnya skema ia harus dihidupkan dengan drama yang berjalan secara langsung agar kita dapat menyelami manusia serta keadaannya. Sekira pun lakuan dramatiknya kurang, karya ini penuh dengan sensasi teaterikal.
Apa yang menakjubkan ialah kemampuan pengarang mengawal serta menguasai bayangan imaginasi yang kaya serta kompleks itu. Yang Menjelma dan Menghilang berupa drama yang digerakkan oleh suatu skema berlapis-lapisan bertujuan untuk mendedahkan keadaan manusia menyeberangi masa dan menuju ke pelosok metafizik. Juga, pengarang memperlihatkan akal yang cerdik, tajam dan terbuka kepada permasalahan yang diketengahkan itu.
Reviews
There are no reviews yet