Kegagalan Marxisme 16 October 2018 – Posted in: Book Excerpts

Marxisme meluru ke pentas dunia dengan kemenangan kaum Bolshevik di Rusia pada tahun 1917 diilhami oleh teori dan program ekonomi yang menjanjikan syurga di muka bumi dalam bentuk penghapusan kelas sosial, penyamarataan ekonomi dan kebebasan daripada sebarang penindasan. Selanjutnya negara diperintah oleh “diktator proletariat”, kelas pekerja yang selama ini menjadi mangsa kepada pelbagai bentuk penindasan oleh kelas penguasa. Kini untuk pertama kali mereka benar-benar mempunyai suara dalam pentadbiran masyarakat. Namun, Marxisme tetap mempunyai pandangan yang salah tentang manusia. Marxisme mencabut manusia daripada asas agamanya, melihat manusia tidak lebih daripada sekadar angka dalam perangkaan, sebahagian daripada mesin raksasa yang bernama negara. Dalam Marxisme, tidak ada tempat untuk moral, akhlak dan kerohanian. Lenin berkata bahawa dalam Marxisme:

“tidak ada akhlak sejak awal sampai ke akhirnya, meskipun sebesar butiran pasir. Akhlak digunakan sebagai alat untuk menghancurkan masyarakat lama yang menindas… Kami tidak percaya dengan akhlak yang abadi dan kita dedahkan kepalsuan pada legals dongeng akhlak.”5

Punca-punca ekonomi yang membawa kepada kehancuran negara Marxist memang jelas. Negara Marxist mengamalkan sistem titah dalam urusan ekonomi perintah (command economy) yang strukturnya sama seperti organisasi tentera. Tidak ada sistem yang terbentuk daripada kegiatan dan pertukaran bebas, sukarela dan spontan anggota masyarakat sebagai pelaku ekonomi. Pengeluaran dan pengagihan barangan—apa yang patut dikeluarkan dan siapa yang akan memperolehi apa—ditentukan oleh birokrat atau pentadbir, bukan untuk memenuhi keperluan masyarakat tetapi tuntutan negara seperti yang difahami oleh para nomenklatura.

Peranan penting sistem harga sebagai pembawa clan pemprosesan maklumat ditekan, mengakibatkan terjadinya herotan dalam sistem. Pilihan pengguna dibatasi. Mereka hanya bebas untuk memilih barang-barang yang dibekalkan oleh perancang kepada kedai pemerintah dan pengeluaran tidak disusun sebagai jawapan kepada kekurangan dan kelebihan.

Negara-negara membangun tertarik kepada Marxisme terutama kerana slogan dan retorika anti-imperialismenya. Bagi negara yang pernah dizalimi dan ditindas oleh penjajah, Marxisme menyediakan dorongan untuk menggembleng rakyat untuk bertindak. Fikiran Marxist menyediakan alat analisis untuk memahami dan mengucapkan kesukaran yang dihadapi oleh masyarakat pasca-penjajahan. Ia menawarkan petunjuk pada setiap lapangan kegiatan manusia dengan penyelesaian khusus untuk hampir setiap masalah politik. Sifat pemikiran Marxist menjadi begitu dogmatis serta menyeluruh kerana ia juga ideologi sosioekonomi serta menjadi program indoktrinasi di kalangan kader dan masyarakat begitu memukau. la dapat meyakinkan masyarakat yang memang sudah kehilangan arah sebagai akibat daripada pergelutan perjuangan kemerdekaan yang sering menumpahkan darah.

Pemimpin-pemimpin Dunia Ketiga yang mabuk dengan fikiran Marxisme merumuskan ideologi nasional mereka untuk menghalalkan percubaan sosial yang revolusioner. Di Asia dan Afrika, Marxisme dan sosialisme muncul dalam pelbagai kacukan. Di Asia Barat, sosialisme Arab (al-ishtirakiyya al-arabiyya) didakyahkan sebagai program reformasi sosial dan politik. Di Indonesia, Sukarno melancarkan konsep yang dikatakan Marhaenisme (dari Marhaen, rakyat kecil di Jawa), suatu kacukan sosialisme-Marxisme yang disesuaikan kepada masyarakat dan semangat Indonesia. Ia juga menciptakan gagasan NASAKOM, penggabungan antara NASionalisme, Agama dan KOMunisme, tiga aliran nasionalisme yang besar yang sebelumnya berhasil mengusir Belanda. Di Tanzania, Julius Nyerere membentuk program nasional bernama ujamaa atau ‘kekeluargaan’; gabungan antara sosialisme, struktur sosial dan politik Afrika. Dalam amalannya, sebagaimana halnya ideologi totalitarian yang lain, ia anti keluarga. Ujamaa hanyalah suatu nama molek kepada program kelompok ekonomi dan sosial secara paksa, dan sebagai falsafah autoritarian yang lebih terperinci dan disaluti oleh slogan indah serta muluk-muluk.

Kesimpulan umum yang dapat diambil daripada pengalaman negara membangun ialah adanya hubungan terbalik antara kejayaan nasional dan sosialisme. Secara langsung sosialisme menyebabkan terjadinya kemiskinan dan kepapaan rakyat terbanyak.

Marxisme juga berkaitan dengan kemunculan liberation theology yang merupakan kacukan faham Kristian dan komunis, dan aliran dependencia dalam disiplin ekonomi pembangunan yang melihat perkembangan ekonomi konvensional sebagai ketergantungan negara-negara membangun kepada pusat kewangan kapitalis yang ada di Utara. Golongan kiri juga mempergunakan laporan Club of Rome (yang sebenarnya tidak dikenali sebagai pertubuhan simpatisan kepada teori dan rumusan ekonomi Marxist) berjudul The Limits to Growth6 (Keterbatasan Pertumbuhan) sebagai kemuncak kepada gerakan anti-pertumbuhan. Laporan tersebut memberi sumbangan besar untuk menimbulkan kesedaran tentang kesan buruk terhadap alam sekitar daripada keghairahan melulu terhadap pertumbuhan.

Ia kononnya mengemukakan bukti ilmiah bahawa pertumbuhan mempunyai kesan amat buruk kepada ekonomi sejagat. Sumber asli dan bekalan makanan dunia akan pupus dengan cepat sementara alam sekitar akan musnah dan mungkin sukar dipulihkan semula. Laporan itu menarik perhatian secara meluas pada mulanya diterima sebagai bukti ilmiah tentang usaha pemerintah yang memulakan langkah memperlahankan pertumbuhan. Tetapi kelemahan dasar dalam metodologi laporan tersebut tampak dengan segera dan beberapa kesimpulan pentingnya dicabar. Pada ketika yang sama, laporan tersebut melihat segalagalanya dari sudut pandangan negara industri. Memang benar sementara negara industri dibebani oleh pertumbuhan yang berlebihan, negara membangun pula dibebani oleh kelembapan pertumbuhan dan kelesuan ekonomi. justeru itu laporan tersebut tidak begitu bermakna kepada negara membangun. Kebimbangan rakyat negara membangun ialah sama ada mereka akan memperolehi makanan yang cukup untuk hari esok dan bukannya Sesuatu yang akan terjadi pada dunia dalam tahun 2050.

Seharusnya kita dapat mengambil beberapa iktibar daripada kemunculan dan kejatuhan Komunisme. Pertama, tujuan yang mulia tidak mungkin dicapai hanya dengan niat baik atau dengan kata-kata lain matlamat tidak menghalalkan cara. Kita mesti mengetahui secara pasti akan cara untuk mencapai tujuan. Km tidak boleh menukarkan suatu yang nyata, meskipun tidak sempurna, dengan suatu yang nampak sempurna tetapi sebenarnya hanyalah khayalan. Kedua, akhirnya kita dapat belajar bahawa sesuatu perkumpulan yang dibangunkan melalui kerasan pasti akan digulingkan oleh kekerasan yang lain pada kemudian hari.

References

5. Lenin, Vladimir, 1994. Collected Works, dikutip dalam Lloyd’s Introduction to Jurisprudence, Edisi Keenam, oleh M.D.A. Freeman. London: Sweet and Maxwell Ltd.
6. Meadows, Donella H., Meadows, Dannis L., Randers, Jorgen, W. Behreeus III, William, 1972. The Limits to Growth, A Report for the Club of Rome’s Project on the Predicament of Mankind, London: Pan Books.

Excerpt Source

“Akhlak Dan Ekonomi.” Gelombang Kebangkitan Asia. By Anwar Ibrahim. 1st ed. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997. 84-88. Print.

Author

Anwar Ibrahim (b. 10 August 1947) is a Malaysian politician who is currently the president of Parti KeAdilan Rakyat and leader of the Pakatan Harapan coalition. Anwar served as the Deputy Prime Minister of Malaysia from 1993 to 1998 and Finance Minister from 1991 to 1998 when he was a member of UMNO. However, he was removed from his post by Prime Minister Mahathir Mohamad and jailed in April 1999 and released in 2004. Anwar began another five-year prison sentence in 2015, after a second sodomy conviction was upheld. Human rights groups again called the conviction politically motivated. However, he received a royal pardon from Sultan Muhammad V, and was released from prison on 16 May 2018.

Buy This Book