Khurriyyah (Kebebasan) 20 July 2018 – Posted in: Book Excerpts

وماظلمهم الله ولكن انفسهم يظلمون
[S 3:117]

Bermula tiap-tiap umat yang tiada ada bagi segala pekerjaannya itu pergantungan pada Ahlil-Hal wal-‘Aqd [Badan perombak dan penggubal undang-undang] dan tidak ada pula permesyuaratan pada segala muslihat yang diperlukannya hingga tiada didapati bekas kehendaknya itu pada segala manfaat yang umum hanyalah semata-mata menurut ia bagi raja yang satu apa kehendak rajanya ialah kanun (undang-undang) dan apa kesukaannya ialah kehendak (Ahlil-Hal wal-‘Aqd) (Perhimpunan Orang Besar-besar Negeri) menghukum ia apa yang disukainya dan memperbuat ia apa yang dikehendakinya.

Bermula umat yang demikian inilah yang tiada dapat sekali-kali teratur segala pekerjaannya dan tiada boleh lama kekalnya. Patut sekali jika tinggal ia di dalam lembah kehinaan dan kesusahan dan kepapaan hingga hancur ia kemudian daripada bercerai segala anggotanya. Lain pula jika didapati rajanya itu seorang yang cerdik sempurna fikiran tinggi hemah tinggi kehendak betul tabiat maka memerintah ia akan umatnya dengan siasah yang keadilan dan hikmah menaburkan di atas segala rakyatnya akan [h]amburan ilmu dan membukakan rakyatnya akan jalan kemudahan dan mata air kekayaan dan memudahkan ia bagi mereka itu perjalanan kepandaian pada segala kewajipan kehidupan dan membangkitkan pula pada tiap-tiap seorang dari! pada kaumnya akan nyawa kemegahan yang menunjuk mereka itu kepada menuntut akan pakaian yang kemuliaan dan perbezaan yang terpuji seumpama berani dan benar dan bebas pada perkataan (khariah) dan kelakuan dan berdahulu-dahulu pada tiap-tiap pekerjaan yang kebajikan yang terbit daripadanya sakdah (tuah) kaumnya pada dunia dan akhirat maka bolehlah diharapi jua akan kebajikan oleh firmannya, والعقبة للمتقين [Ertinya: dan balasan bagi orang-orang yang bertaqwa].

Adapun jika raja itu seorang yang jahil buruk tabiatnya rendah hemahnya loba penakut singkat fikiran akhmak busuk kehendaknya bengkok perjalanannya. Tak dapat tiada ialah akan menjatuhkan umat itu dengan perbuatannya kepada lubang kerugian dengan sebab bengkoknya daripada jalan yang sebenarnya. Ketika itu berbangkitlah kemenangan orang yang kuat pada memakan hal orang yang daif maka di sinilah kelak memanjangkan tangan sekalian kaum yang tamak daripada jirannya yang berkuasa yang sentiasa menghendap-hendap mereka itu akan dia tiadalah berapa lama kelak jadilah negerinya satu daripada pemerintahan bangsa yang lain dengan sebab jahat siasah rajanya dan ketakutan sekalian menterinya hendak membantahkannya dan kebodohan sekalian rakyatnya.

Bahkan jika adalah kiranya kadar sekelip mata sahaja padanya kehidupan pada umat-umat itu dan sebesar (semut) daripada akal pada kepala-kepala mereka itu maka bermuafakat mereka itu pada mencabutkan pokok yang bisa itu sebelum putus asa daripada ubatnya kemudian menanam mereka itu akan pohon yang baik asalnya diharapilah jua boleh keluar ia daripada lubangnya. Maka jika takut umat itu daripada mencabut akan pohon yang beracun atau anggota yang kusta itu sentiasa jua diserahkannya bulat sekali ehwalnya kepada raja yang buta memperlakukan ia apa jua yang cenderung kesukaannya yang menurut hawa nafsu syaitani bolehlah ia telahi akan mereka itu dengan perhambaan atau kehinaan atau kepapaan balasan takut dan kasih sayang yang dusta akan raja yang zalim itu:

فعليهاوماربك بظلم للعبيد
[S 41: 46] Ertinya: Tuhan kamu tidak menzalimi hambanya.

al-Imam: Jil. II, iii, Januari 1907 = Zulhijah 1325, hlmn. 213-214.

Rujukan Petikan

Abdul Aziz Mat Ton (2006). Pengislahan Masyarakat Melayu: Perbincangan al-Imam (1906-1908). 1st ed. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, pp.140-141.

Buy This Book