Sultan Yang Menderhakai Rakyat 4 October 2018 – Posted in: Book Excerpts

Sekiranya pada masa lampau orang Melayu hidup untuk raja-raja, ataupun di bawah perintah mereka, Malayan Union boleh dikatakan telah mencetuskan satu perubahan revolusioner dalam pemikiran orang Melayu: kerana pada pendapat ramai orang Melayu, kesultanan Melayu bukan lagi tumpuan penting dalam pandangan dunia Melayu; kesultanan Melayu bukan lagi pelindung orang Melayu.

Ciri-ciri kemelayuan (Malayness) — ditakrifkan sebagai satu fahaman kepentingan bangsa Melayu mesti dipertahankan dalam apa jua pun —  semakin menjadi landasan kepada tumpuan orang Melayu, dan selagi raja-raja mempertahankan ciri-ciri kemelayuan, orang Melayu tidak akan menderhaka. Malah, kepentingan raja-raja diketepikan untuk tuntutan ciri-ciri kemelayuan. Perkara ini diakui dalam makalah yang diterbitkan oleh Majlis:

Tetapi hendaklah diingatkan bahawa pertubuhan Sultan-Sultan itu mustahak iaitu bukan mustahak pada jasadnya, tetapi mustahak sebagai jamin dan cogan kebangsaan Melayu melawan bangsa-bangsa asing dalam Malaya.69

Oleh itu apakah yang diharapkan dapat menggantikan kesultanan sebagai tumpuan jati diri Melayu? Daripada bukti-bukti yang sedia ada, penulis akan mempertengahkan hujah-hujah bahawa kesultanan boleh digantikan dengan bangsa. Masa depan bangsa Melayu dan keperluan untuk mewujudkan unsur kebangsaan Melayu boleh mengisi tempat raja-raja sebagai tumpuan jati diri Melayu. Raja-raja diketepikan untuk kepentingan kebangsaan Melayu dan fungsi mereka seterusnya bergantung kepadanya dan tidak lagi sebaliknya. Dalam keadaan sedemikian, konsep-konsep penting seperti derhaka, taat dan setia, kedaulatan rakyat dan kedaulatan raja diberi pentafsiran semula.

Konsep-konsep seperti taat dan setia sudah tidak lagi digunakan pada sebelah pihak sahaja: krisis Malayan Union telah membawa kepada penilaian semula konsep asas ini. Dato’ Abdul Rahman Yasin, yang merupakan Bendahari dan ahli Majlis Menteri Negeri Johor sebelum perang, dalam penulisannya yang dibuat berkenaan konflik ini antara dirinya dan Sultan Ibrahim iaitu sultan Johor, berkata: ‘Kepada seorang Muslim, ketaatan itu terletak pada kedua belah pihak. Walaupun Orang Melayu sehingga kini, sama ada kerana jahil ataupun sebaliknya, taat sepenuhnya, tetapi tidaklah bererti ketaatan itu hanya pada sebelah pihak sahaja.’70

Satu lagi contoh perubahan seperti ini boleh dilihat dalam Majlis yang mengisytiharkan bahawa sekiranya seorang raja itu melakukan sesuatu yang bercanggah dengan kepentingan rakyatnya, tindakan tersebut dilihat 
dari sudut berikut:

Tentang itu, bukannya rakyat yang derhaka kepada Raja, melainkan sebaliknya Raja yang derhaka kepada rakyat.71

Sultan Dituduh Derhaka dan ‘Disingkirkan’

Dalam sejarah Melayu belum pernah seorang raja secara terbuka dituduh derhaka kepada rakyatnya.72 Tuduhan yang sedemikian adalah sesuatu yang menggemparkan. Milner berkata ‘untuk menjatuhkan raja sendiri bermakna seseorang tersebut sudah rosak nilainya.’73 Oleh itu perkembangan ini merupakan satu pembaharuan yang besar dalam pemikiran politik Melayu apabila Majlis yang bertarikh 19 Februari membawa pernyataan bahawa Sultan Ibrahim sudah tidak lagi diiktiraf sebagai sultan oleh rakyatnya sendiri. Menurut laporan tersebut, dengan menandatangani perjanjian MacMichael yang mana beliau melepaskan negeri Johor kepada Britain, Sultan Ibrahim gagal merujuk kepada rakyatnya dan juga melanggar Artikel 15 Perlembagaan Negeri Johor yang menghalang pemerintah daripada memberikan mana-mana bahagian negeri tersebut kepada kuasa asing. Dengan melakukan perkara tersebut, beliau telah menderhaka terhadap takhtanya sendiri dan negeri dan rakyat Johor.74

Buat pertama kali dalam sejarah Melayu, sultan yang memerintah dituduh menderhaka terhadap takhta, negeri dan rakyat Johor. Sultan tidak boleh lagi mendakwa dirinya sebagai lambang negeri, malah baginda sebenarnya tertakluk di bawahnya. Baginda sebenarnya tidak lebih daripada penjawat awam negeri, yang wajib bertanggungjawab menjaga kesucian dan kedaulatan negeri. Konsep Barat berkenaan ‘negara’ (state) telah diguna pakai dan sultan diberi peranan sebagai raja berperlembagaan yang terpaksa akur kepada peraturan Perlembagaan. Tafsiran moden berkaitan dengan peranan sultan ini digunakan dalam tuduhan bahawa baginda telah menderhaka kepada rakyat yang sepatutnya baginda mempertanggungjawabkan dan yang sebenarnya mempunyai kuasa untuk menghakimi tindakan baginda.

Walaupun pengaruh logik Barat digunakan terhadap Sultan Ibrahim, orang Melayu tidak berupaya mengikis sepenuhnya kepercayaan turun-temurun bahawa seseorang raja itu ada hak ketuhanan untuk melakukan apa jua yang baginda ingini. Tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang mendakwa sultan menderhaka dapat mencadangkan hukuman sepatutnya; begitulah daulat yang dirasai oleh mereka terhadap baginda sehinggakan hanya Tuhan sahaja yang dapat menghukumnya, yang dapat dilakukan hanyalah setakat membebaskan rakyat daripada taat setia terhadap baginda.

Perubahan hubungan antara raja dan rakyat ditonjolkan oleh Majlis: “Yang berdaulat itu bukannya raja melainkan rakyat itu lebih tinggi daulatnya lagi. Jika tiada rakyat, tiada raja, tetapi tiada raja, rakyat boleh jadi raja.”75

Pernyataan yang amat radikal terhadap monarki ini merupakan petanda jelas wujudnya keinginan demokrasi yang kuat —  kepercayaan terhadap kedaulatan rakyat. Penyataan yang revolusioner ini, menandakan ketidakpuasan yang meluap-luap terhadap raja-raja wujud apabila mereka mengambil tindakan yang bertentangan dengan kepentingan bangsa, terutamanya apabila mereka tidak merujuk kepada rakyat terlebih dahulu. Belum pernah dalam sejarah bahawa Raja hampir disingkirkan oleh rakyatnya sendiri.

Dalam Bab 7 tentang masyarakat, penulis akan menekankan bahawa Malayan Union membawa bersamanya satu tanggapan baru orang Melayu tentang raja-raja mereka.

References

69. Majlis, 13 April 1946.
70. R.C.J. No. 217/46: Dato’ Abdul Rahman kepada Pegawai Residen, Johor, 8 Julai 1946. 
71. Majlis, 13 April 1946. 
72. Chandrasekaran Pillay, ‘Some Dominant Concepts and Dissenting Ideas on Malay Rule and Malay Society from Malacca Sultanate to the Colonial and Merdeka Periods’, tesis Doktor Falsafah, University of Singapore, 1976. 
73. Milner, Kerajaan, ms. 104. 
74. Majlis, 19 Februari 1946. Pernyataan ini dikeluarkan oleh golongan elit Johor yang tidak berpuas hati dengan Sultan Ibrahim juga membincangkan Artikel 15 Perlembagaan Negeri Johor yang disebar luar oleh Almarhum Sultan Abu Bakar dalam 1895. Terjemahan bahasa Inggeris boleh didapati dalam Allen, The Malayan Union, ms. 173-4.
75. Majlis, 6 Februari 1946.

Excerpt Source

“Bab 2: Malayan Union: Krisis Identiti — Perubahan Revolusi Dalam Hubungan Antara Pemerintah Dan Rakyat.” Bangsa Melayu: Konsep Bangsa Melayu Dalam Demokrasi Dan Komuniti, 1945-1950. By Ariffin Omar. 2nd ed. Petaling Jaya: SIRD, 2017. 68-71. Print.

Author

Ariffin Omar kini berkhidmat di Penang Institute dan kajian penyelidikan beliau menumpukan negara, nasionalisme, perhubungan kaum dan kebebasan agama. Beliau juga adalah mantan ahli senat yang mewakili Pulau Pinang di parlimen Malaysia (2012–2015).

Buy This Book