Bebalisme I 4 August 2024 – Posted in: Essays
Sebelum saya menyentuh beberapa masalah masyarakat kita sekadar menerapkan cara kupasan intelektual, ingin saya memperkenalkan satu konsep baru, iaitu bebalisme, berdasarkan karya saya Intellectuals in Developing Societies, London, 1977. Bebalisme digunakan di sini dengan cara saintifik untuk menerangkan satu gejala dan bukan dengan niat untuk mengatakan seseorang itu tidak berguna atau bodoh. Walaupun perkataan dasarnya, iaitu bebal, bermakna bodoh, bukan ini yang dimaksudkan.
Bebalisme adalah satu orientasi yang mengandungi beberapa jenis sifat. Manifestasi akhirnya termasuklah kejahilan dan kedegilan yang terus mendesak, pemalas, diikuti dengan sikap acuh tak acuh, berbanding dengan daya usaha yang gigih.
Walaupun ia didapati di merata tempat di dunia, gejala ini amat ketara di negara-negara membangun. Bebalisme ini, bukan satu ideologi atau sistem kepercayaan dan boleh didapati dalam ideologi-ideologi dan sistem-sistem kepercayaan yang pelbagai jenis seperti Hinduisme, Buddhisme, Kristian, Islam atau Komunisme. Ia tidak terhad kepada sesuatu kebudayaan, tempat atau masa. Bebalisme melihat sesuatu kejadian dan gejala dengan logikanya sendiri.
Seorang bebalis tiada daya menduga kejadian terlebih dahulu. Mereka selalunya beraksi hanya setelah sesuatu kejadian telah berlaku. Dengan perkataan lain berpayung hanya setelah ditimpa hujan. (Sikap ini terutama sekali merbahaya jikalau terdapat dalam pentadbiran dan perancangan pemerintah). Seorang bebalis tiada daya kreatif dan tidak mempunyai sikap rasional yang substantif mahupun yang fungsional. Sikap rasional substantif bermakna keupayaan seseorang memahami dengan baik segala persoalan dalam keadaan tertentu berdasarkan daya pengertiannya. Sebagai contoh, latar belakang dasar tentang keputusan-keputusan yang dibuat oleh sesebuah firma. Rasionaliti fungsional pula adalah tindakan-tindakan yang diperlukan untuk mencapai tujuan dasar itu, sebagai pelaksanaan dasar keputusan sesebuah firma. Jikalau orang-orang bebalis nampaknya bertindak secara rasional untuk menghuraikan sesuatu masalah Serius, itu adalah kerana orang lain telah melakukan pemikiran untuk mereka.
Bebalisme ini bersifat berkuasa benar (authoritarian), tidak suka merenung dan berfikir dan tidak suka menguji (non-experimental). Satu ciri bebalisme adalah menghendaki orang lain mempercayai apa yang disarankan atau diperkatakan tanpa memberi sebab-sebab atau penjelasan yang cukup mengenai sesuatu yang luar daripada kebiasaan. Sebagai contoh ucapan Henry Keppel, seorang pegawai tinggi laut British, yang telah mengatakan sesuatu tentang kerbau. Keppel mempunyai prasangka yang buruk tentang kerbau dan percaya bahawa kerbau adalah anti-orang Eropah. Menurut beliau, “Kerbau adalah binatang yang banyak digunakan bagi pekerjaan membajak di Singapura. Ia adalah binatang yang besar, berat, bodoh dan lambat bekerja, dan pada fikiran saya, sangat hodoh rupanya; tetapi taat kepada penjaganya. Walau bagaimanapun ia sangat benci kepada orang Eropah, dan akan mengecamnya walaupun orang itu berada dalam kumpulan ramai.”1 Keppel berlagak seperti seorang ahli membaca fikiran kerbau. Masukkah dalam akal kerbau tidak suka orang Eropah?
Unsur authoritarian pada bebalisme menyebabkannya condong kepada membuat tanggapan-tanggapan dengan gopoh. Satu contoh lagi seorang Perancis yang telah mengembara ke India, Jepun dan Asia Tenggara. Ia telah menulis sebuah buku mengenai orang China. Beliau berkata, bahawa sebelum orang China dapat memahami sesuatu dengan jelas, ia mesti dijadikan kusut dahulu. Supaya hidupnya lebih jelas dan bermakna dia mesti ada sekurang-kurangnya 10 orang anak dan seorang gundek. Ada banyak lagi kata-kata tajam yang saya tidak petik, dan semua tanggapan ini dinyatakan dengan cara yang tidak kritikal. Beliau hanya bersandarkan kata-katanya atas kuasanya (authority) seperti seorang hakim yang berpengalaman tentang semua perkara di atas bumi.
Bebalisme tidak suka kepada sifat teratur dan perbahasan secara rasional dan tidak menghargai kedua-duanya sama sekali. Apabila seorang bebalis bertindak secara rasional, ini adalah kerana pengaruh daripada kebiasaan dan bukan pemikiran mendalam secara rasional dan kerana terapan agama atau kuasa luar. Apabila mereka bertanya, ia menampakkan kurangnya kefahaman mereka tentang: Prinsip-prinsip dan dengan itu soalan mereka menjadi sia-sia. Sebagai contoh, menurut hukum Islam seorang yang sedang dalam keadaan junub mesti mandi supaya boleh kembali kepada keadaan sucinya. Ada satu kes seorang telah meninggal setelah bersetubuh dan mufti telah ditanya sama ada perlu memandikan si mati mengikut cara biasa seperti yang hidup. Mufti mengatakan bahawa mandi mayat sahaja sudah memadai. Unsur bebalisme dalam masalah ini adalah orang yang bertanya tidak dapat membezakan antara tanggungjawab seorang apabila dia hidup dengan sesudah dia mati.
- Lihat Henry Keppel, A Visit to Indian Archipelago, vol. 1, London, 1853, hal. 11-12 ↩︎
Baca bahagian kedua: Bebalisme II
Artikel ini telah disiarkan menerusi Dewan Masyarakat (Februari 1988), halaman 50.
Syed Hussein Alatas adalah bekas Naib Canselor Universiti Malaya.