Bebalisme II 4 August 2024 – Posted in: Essays
Seseorang bebalis tidak menghargai dan menghormati sains dan tidak mempunyai pemikiran yang saintifik. Walaupun mereka menggunakan hasil sains, tetapi jikalau sebarang masalah besar timbul yang melibatkan pertentangan dengan sains, sifat bebalisme yang telah berakar umbi tetap menguasai mereka.
Oleh kerana tidak menghargai logika, butir-butir empirical atau pemikiran rasional, seorang bebalis senang ditipu dan diperbodohkan. Sebagai contoh, ada seorang lelaki, dari perkhidmatan awam, telah memberi wang kepada seorang penipu untuk disimpan di dalam kotak yang telah ditutup. Lelaki ini percaya bahawa wangnya akan berganda menurut si penipu. Apabila dibuka kotak itu didapatinya ada batu. Di Asia Tenggara dan tempat-tempat lain di dunia membangun, penipuan ini sering berlaku.
Seorang bebalis juga berjiwa kasar. Kehalusan pekerti tidak ada pada mereka. Mereka tidak berasa malu kepada kesalahan yang bersifat bodoh ataupun terperanjat dengan kekurangan intelektual.
Semangat bertindak bersama sambil menambah ilmu tidak ada pada taraf intelektual dan juga dalam kehidupan biasa seseorang individu. Sebagai contoh, al-Biruni (973-1048) telah menyambung usaha bangsa Yunani purba. India dan tamadun Islam. Pertumbuhan sains yang bersejarah itu didasarkan atas semangat tersebut. Apabila semangat ini hidup dalam dada orang Islam, mereka telah memberi sumbangan yang penting dalam sejarah sains; mereka meninggalkan konsep dunia yang statik orang Yunani purba dan memperkenalkan konsep yang dinamik. Mereka menghargai pelajaran, mengumpul buku. membina khutubkhanah dan memajukan banyak cabang pelajaran. Mereka menjadi faktor utama kebangkitan sains di Barat. Usaha-usaha ini telah ditinggalkan apabila bebalisme bertambah meluas. Oleh itu Ibn Khaldun (1332-1406) yang pertama memperkenalkan ilmu sosiologi tidak ada penggantinya dalam dunia Islam dan hanya pada abad ke-19 perhatian kepada dirinya telah ditimbulkan oleh tokoh ilmiah Eropah, Flint dan Gumplowicz. Di Turki, Ibn Khaldun telah mendapat perhatian.
Dalam kehidupan biasa pula, kehilangan semangat ini menyebabkan kepincangan sikap memperbaiki dan memelihara sesuatu. Walaupun masyarakat tradisional menjaga dengan baik perahu ikan, jala, tanam-tanaman, alat-alat dan binatang ternakan mereka, masyarakat di negara membangun pula mempunyai semangat sebaliknya. Dalam masyarakat seperti ini bangunan yang bersih dan cantik menjadi kotor dan tertinggal. Di sebuah negara di Asia Tenggara, mental yang antipelihara, telah menimbulkan kemalangan jalan raya yang baru. Sebuah kereta telah ditinggalkan dengan kesemua empat rodanya lenyap; sebuah jambatan runtuh apabila sebuah bas sedang berada di atasnya.
Untuk menggulung tajuk ini, saya ingin menekankan sekali lagi bahawa bebalisme bukan satu ideologi atau sistem kepercayaan atau kebudayaan atau falsafah tetapi orientasi pemikiran yang malas, tidak berfikir, tidak berlogik, kadang-kadang kasar, tidak ambil tahu, terlalu cepat percaya tanpa bukti, tidak saintifik, berhamburan, tiada haluan, pasif, tidak kreatif dan tiada tujuan yang terang.
Bebalisme adalah lintah bagi pemikiran. Ia tiada penyokong, tiada pembela dan tiada tuntutan kepada apa pun. Ia tidak diajarkan, tidak dicatat atau disebarkan sebagai satu trend. Sifat lintahnya bertindak melalui mental tanpa kesedaran. Sebagai lintah ia berada dalam berbagai-bagai golongan masyarakat; tidak kira umur, jantina, kebudayaan, bangsa, agama, falsafah, keadaan, waktu dan tempat. Ia adalah tumbuhan yang menjalar di bawah lapisan mental yang sedar. Justeru itu, bebalisme menjadi unsur utama menghalang pertumbuhan intelektual.
Teruknya jangkitan bebalisme pada pemikiran seseorang individu melalui berbagai-bagai ukuran. Golongan inteligensia dan profesional juga boleh dijangkiti bebalisme buat beberapa ketika dalam kegiatan mental mereka. Bebalisme menyebabkan golongan terpelajar menjadi buta terhadap beberapa perkara dalam pemikiran mereka. Ia melemahkan daya menyekat pemikiran dan sentimen yang kasar. Oleh kerana keadaan semangatnya yang malas dan terapung-apung, bebalisme boleh menghidupkan sikap tolak ansur. Apa sahaja diterima, berbagai-bagai pendapat, berbagai-bagai khurafat, berbagal- bagai keanehan dan keganjilan dan segala yang tidak masuk akal seperti lembu bercakap atau wanita melahirkan buaya. Sebaliknya bebalisme juga dapat mengaitkan dirinya dengan aliran fanatik.
Baca bahagian pertama: Bebalisme I
Artikel ini telah disiarkan menerusi Dewan Masyarakat (March 1988), halaman 50.
Syed Hussein Alatas adalah bekas Naib Canselor Universiti Malaya.