Gelagat dan Ragam di Kota Bharu: Meninjau dari Mata A. Samad Ismail 26 February 2024 – Posted in: Essays

Pagi itu, saya hirup kopi usai menutup tirai novel Orang Kota Bharu, ditulis S. Othman Kelantan. Dalam novel itu, yang saya anggap juga sebagai rakaman sosial orang Kelantan pada masa itu, S. Othman Kelantan melukiskan suasana aktiviti pelacuran di ibu negeri Serambi Mekah. Tanpa sebarang sekatan, cocok dengan julukan Paris Malaya. Ia suatu yang menarik untuk ditelitikan. Misalnya, di Biaritz Park, dinyatakan show (atau disebut ‘so’) sudah seperti makanan ruji di situ. Aktiviti berdagang tubuh juga panas di Lorong Belakang Kota dan Lorong Cik Kadir.

Kemudiannya, entah bagaimana, saya teringatkan beberapa cerpen seorang guru bangsa, A. Samad Ismail. Beberapa hari sebelum kerja menulis karangan ini dibuat, saya baru saja menikmati suatu pengalaman yang mencelikkan. Syarahan Guru Bangsa (Siri Keempat), berlangsung malam hari Jumaat di UKM, menampilkan saudara Muhammad Ilyia yang telah membentangkan dengan gemilang sekali berkenaan A. Samad Ismail—seorang wartawan, intelektual, nasionalis, pejuang bahasa dan penulis hebat yang selalu saya gelumangi karyanya. Dalam pembentangannya ‘A. Samad Ismail: Ideologue Kemajmukan’; beliau menghidangkan huraiannya terhadap dua buah cerpen guru bangsa itu, iaitu ‘Ah Kaw Masuk Syurga’ dan ‘Cina Angkat Najis di Rumah Saya’. Jelas beliau, cerpen tersebut masing-masing membicarakan tentang kesolehan individu melawan kesolehan sosial juga tentang maruah dan empati.

Terdetik pula di hati saya untuk menuliskan apa pula yang dilihat dan dirakam A. Samad Ismail dalam bentuk cerpen ketika di Kelantan, lebih tepat di Kota Bharu. Yang menariknya, cerpen-cerpen ditulis guru bangsa itu mengambil latar waktu Serambi Mekah itu diperintah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang katanya melaksanakan lunas-lunas Islam versi mereka yang benar.

Semua wajar tahu, sastera tidak terhad sebagai penghibur tika lara, ia adalah sebuah rakaman zaman dan sosial sesebuah masyarakat. Melalui sesebuah karya juga kita dapat melihat pandangan seorang seniman itu terhadap zaman dan masyarakat yang ditempuhinya. Jadi, apabila membaca cerpen-cerpen A. Samad Ismail ini, kita dapat melihat apa yang ditempuhnya, bagaimana gelagat dan ragam masyarakat seputarnya dan apa pandangannya terhadap apa yang ditempuhnya itu.

Sebenarnya, aktiviti pelacuran di Kelantan wujud sejak zaman seorang lagi guru bangsa, iaitu Abdullah Munshi. Pembaca boleh merujuk karangan beliau, Kisah Pelayaran Abdullah, yang mana beliau ada merakam tentang kewujudan ‘jalang’ (istilah beliau beri untuk tunasusila) sewaktu di Pelabuhan di Kelantan.1 Ia masih berlanjutan sehinggalah zaman sebelum Perang Dunia Kedua dan masih berterusan sehinggalah selepas kemerdekaan.

Walaupun diperintah sebuah kerajaan yang mendukung cita Islam, kita dapati dalam kedua-dua cerpen ini, isi tersirat yang sama dibawa: melanggani tunasusila ialah suatu yang agak mudah di Kota Bharu. Dapat dilihat dalam cerpen beliau tulis tahun 1967 dalam kumpulan cerpen Temasha Tinta. ‘Kisah Cinta di Kota Bharu’ sudah awal-awal lagi menghidangkan kita dengan nasib Nasir yang kecewa berada di Kota Bharu. Dinyatakan begini:

Nasir hampa dengan Kota Bharu. Pelacur yang dibayarnya lapan ringgit di hotelnya pada malam pertama dia sampai kelmarin, memakai gigi emas penuh dan rambutnya berbau minyak makan bercampur bunga rampai.2

Buat yang belum berpeluang membaca, A. Samad Ismail melukiskan kisah wartawan muda bernama Nasir diberi tugas ke Kelantan untuk mengikuti rombongan Tunku Abdul Rahman, perdana menteri ketika itu, untuk melihat PAS jinak dengan kerajaan pusat demi mendapatkan bantuan rancangan pembangunan luar bandar. Namun, dalam kunjungan itu, sempat dia mengejar mek-mek di Serambi Mekah.

Kelantan walaupun diperintah PAS waktu itu masih melekat dengan kemeriahan perdagangan tubuhnya. Bukan semata kain lelaki Kelantan tidak sempat basah, ia tidak terhad juga kepada para lelaki di luar kawasan Serambi Mekah itu. Dalam cerpen sama menceritakan pula tentang Pak Wan, lelaki yang telah tahu bagaimana hendak mencari tunasusila yang baik di Kelantan (juga di Golok) kerana telah banyak kali datang ke Kota Bharu atas alasan tugasan.3

Agak mudah mencari tunasusila di Kelantan. Tidak perlu bersusah payah. Nasir tanpa sengaja boleh ketemu sama seorang tunasusila di hotel dia menetap usai pusing-pusing keliling bandar seorang diri. Dinyatakan begini dalam cerpen:

…Hotel itu sunyi dan dia tercium semacam bau wangi di tangga. Dia sedang menghidu-hidu mencari bau itu, berpaling ke belakang, ke bawah tangga, apabila seorang wanita muda seperti menyergahnya. Nasir cepat-cepat menoleh.

… Manis, fikir Nasir lagi, mengawasi dada lebar wanita itu dan memerhatikan mukanya. Dia berdiri di tengah tangga seperti menghadang wanita. itu. Dan badan mereka bergesel, dadanya menekan bahu bulat wanita itu.

…Mereka naik bersama-sama dan Nasir lega melihat Taib tidak ada dalam biliknya. Mereka bergolek di katil dan sebentar lagi Nasir melepaskan kemarahannya dan kerunsingannya seperti seekor binatang buas, menggigit dan mencakar, hingga wanita itu mengeluh dan mengerang tetapi menyerah bulat kepada tenaga muda yang memulas dan menghempasnya ke katil.4

Perkara sama masih melekat lagi dan dapat dilihat dalam cerpen lain tulisan A. Samad Ismail. Kali ini kita meninjau terus ke tahun 1991. Cerpen berjudul ‘Ustaz’, pertama kali terbit pada tahun Mei 1991 menerusi Dewan Sastera, merakamkan watak utama tanpa nama terpaksa ke Kota Bharu untuk menemui Ustaz Shafiq yang merupakan seorang wartawan dan pengurus pejabat Utusan di sana.

Ditadbir kerajaan yang membawa cita Islam dan mengamalkan undang-undang yang konon lebih islami tidak menjamin lagi sahsiah masyarakatnya baik. Dalam cerpen tersebut, A. Samad Ismail melukiskan watak Ustaz Shafiq sebagai orang yang kurang memuaskan prestasinya dalam kerja-kerja sebagai wartawan. Belanjanya (belanja pejabat, keraian) juga tidak cermat. Paling keji, lelaki yang ‘cuma wajar jadi tuk imam kampung’ itu mengamalkan rasuah dan merendahkan pula taraf wanita.

Begini, dalam cerpen ini, watak utama tanpa nama bertemu Ustaz Shafiq di Kota Bharu atas hal kerja. Mahu beliau memilih sama ada untuk kekal sebagai wartawan atau pengurus pejabat saja. Jadi, bagi mengekalkan kedua-dua jawatan yang digenggam, Ustaz Shafiq telah menghantar seorang perempuan yang digelarnya ‘mi goreng’ pada waktu malam. Begini dinyatakan:

Malam itu saya keletihan dan sedang hendak baring di katil apabila saya mendengar bunyi pintu diketuk dari luar. Saya pun bergegas membuka pintu. Seorang wanita muda berdiri di pintu, tersenyum dengan manis sekali di hadapan saya.

“Ustaz kirim salam, encik. Dia suruh saya datang!” kata wanita itu.5

Esoknya, setelah berbincang tentang kedudukan Ustaz Shafiq sebagai ketua Utusan, merangkap wartawan, dia berjenaka, secara tak langsung mengaku, menghantar wanita yang digelarnya ‘mi hun’ pula malam itu.

…”Malam ini nanti saya kirim mihun untuk bung.” Melihat muka saya tertanya-tanya, Ustaz Shafiq menambah, “Malam semalam saya kirim mi goreng kepada bung!”

Di dalam bilik saya menunggu kiriman “mihun” Ustaz Shafiq. Kira-kira setengah jam setelah saya masuk ke bilik, kiriman Ustaz Shafiq pun tiba. Seorang wanita jelita, hidung mancung, mata bulat, mengetuk perlahan pintu bilik saya.6

Bukan sahaja masih timbul kegiatan berdagang tubuh, kita dapati dalam cerpen ini, taraf wanita juga direndahkan. Mereka disamakan dengan makanan. Terma-terma seperti ‘mi goreng’, ‘mihun goreng’ dan ‘ayam percik’ digunakan sebagai kiasan walaupun diperintah kerajaan yang dikatakan membawa imej agama (yang sepatutnya memartabatkan kaum wanita). Paling lucu, wanita-wanita ini dieksploitasi pula oleh orang yang ada panggilan ‘ustaz’ pada namanya demi mempertahankan kedudukannya yang bagai telur di bucu meja.

Situasi-situasi ini, secara tak langsung, menunjukkan kegagalan kerajaan negeri yang konon islami dalam membanteras gejala berdagang tubuh. Markah F juga dapat diberikan kerana gagal membanteras sifat-sifat buruk dalam masyarakat seperti yang timbul dalam cerpen ‘Ustaz’ ini iaitu semisal korupsi, sambil lewa dalam menjalankan tugas dan mengamalkan pembaziran. Tiada guna kalau mempergaya imej Islam semata kalau gagal dalam menjalankan tugas. Tiada guna juga melaksanakan undang-undang Islam kalau tiada inisiatif-inisiatif lain semisal memperbanyak usaha menarik pelaburan dan peluang pekerjaan juga kempen kesedaran serta membasmi kemiskinan.

Selain kegiatan berdagang tubuh, kegiatan berjudi di Serambi Mekah juga agak menarik untuk ditelitikan. Mungkin akan saya tulis berkenaan hal itu di kemudian hari. Banyak sebenarnya novel dan cerpen menarik yang wajar diteliti semua. Ia bagai sebuah pita rakaman yang boleh dimainkan semua (terutama generasi muda yang tidak pernah merasa) untuk mengetahui apa yang berlaku sebelum ini. Ia boleh dijadikan bahan rujuk untuk kita semua mengenali juga latar belakang sosial sesebuah masyarakat pada masa dahulu (dalam hal ini, negeri Kelantan) yang perlu dicerna, dikupas dan diwacanakan untuk kehidupan kita yang lebih baik untuk masa mendatang.

Nota Kaki

  1. Abdullah Munshi. Kesah Pelayaran Abdullah. Singapura: Malaya Publishing House Limited, 1928. ↩︎
  2. A. Samad Ismail. Ingin Jadi Pujangga: Kumpulan Cerpen. Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994: 619. ↩︎
  3. Ibid: 620. ↩︎
  4. Ibid: 629-630. ↩︎
  5. Ibid: 823. ↩︎
  6. Ibid: 831. ↩︎

AMIER SUHAIMI pengarang amatur lahir di Kuala Lumpur. Pernah tinggal di kota suci Kelantan juga Pahang dan kini mengaji bisnes secara formal dan sastera secara informal di Selangor.