Halangan Lahirnya Golongan Intelektual 9 August 2024 – Posted in: Essays
Dalam keluaran Dewan Masyarakat Februari dan Mac lalu, saya telah bahaskan suatu gejala yang menghalang pertumbuhan sikap intelektual, umumnya dalam masyarakat sedang membangun. Gejala ini saya namakan bebalisme dengan ciri-cirinya sebagai anti-lojik, kusut pemikiran, subur dengan kurafat, tidak mengandungi rasa seni (unaesthetic), tidak mempunyai sikap memelihara, menerima segala sesuatu tanpa menimbang dengan akal, tidak mempedulikan hukum sebab (causation) dan hukum pertentangan (contradiction), bersikap kuasa-benar (authoritative), dan pemikiran malas, degil, serta buntu. Sebagai contoh, dalam beberapa sumber sejarah Islam terdapat huraian peristiwa lembu bercakap dalam bahasa Arab di zaman Nabi Muhammad s.a.w. Demikian juga dalam tulisan Seyf bin Umar Attamimi sekitar penaklukan Farsi di zaman Saidina Umar terdapat seekor lembu yang memberitahu tentera Islam di mana lembu-lembu lainnya telah disembunyikan oleh musuh. Yang percaya dengan cerita demikian mempunyai watak bebalisme.
Sungguhpun besar pengaruh bebalisme sebagai penghalang wujudnya watak intelektual, namun ia bukanlah satu-satunya pengaruh penghalang. Ada pengaruh penghalang lain dan saya telah bahaskan dalam satu simposium Universiti Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations University) di Kyoto, November 1978. Dalam sumbangan saya “Social Aspects of Endogenous Intellectual Creativity: The Problem of Obstacles — Guidelines for Research” (Kreativiti Intelektual Tempatan dalam Konteks Masyarakat: Masalah Penghalang — Panduan Penyelidikan), saya telah jelaskan gejala-gejala penghalang tadi.
Penghalang yang pertama ialah suasana di rumah. Pengetahuan intelektual tidak disanjung tinggi sebagaimana pengetahuan tentang agama dan adat. Keadaan demikian berlaku juga di kalangan masyarakat Islam, dan ini sebenarnya bertentangan dengan ajaran tentang fardu kifayah. Adanya golongan intelektual sebenarnya merupakan fardu kifayah sebagaimana masyarakat memerlukan ahli-ahli dan pakar-pakar dalam pelbagai bidang. Walaupun kita tidak mengharap tiap-tiap orang atau tiap-tiap keluarga melahirkan watak intelektual, tetapi kita perlu berharap sebahagian keluarga dan anggota masyarakat dapat menghasilkan semangat intelektual tadi. Di negara kita, umpamanya, kita dapati banyak keluarga menggalakkan sukan dan muzik tetapi tidak permainan catur dan membaca buku.
Di negara kita dan negara-negara membangun lainnya, tradisi intelektual sama sekali tidak ada ataupun lemah. Dalam sejarah Islam, tradisi intelektual kuat di zaman kerajaan Bani Umayyah dan Bani Abbas. Sekarang tradisi ini tidak hidup. Di beberapa negara pula tradisi ini hampir tidak ada. Tidak adanya tradisi atau lemahnya sesuatu tradisi merupakan suatu gejala penghalang. Di Asia Tenggara lebih banyak manusia yang suka menyabung ayam daripada yang gemar terlibat dengan pertikaian intelek, sedangkan di negeri Belanda terdapat beribu-ribu orang yang mengikuti perbahasan bertulis antara tulisan Toynbee dengan ahli sejarah Belanda Geyl tentang sifat sejarah. Di sini jelas sekali pengaruh Asia Tenggara, sehingga tradisi menyabung ayam lebih diutamakan daripada pertikaian intelek.
Penghalang yang ketiga adalah yang berkuasa. Mereka yang berkuasa, berkedudukan tinggi dan bertaraf dihormati, tidak menggalakkan kegiatan intelektual. Mereka tidak suka mendirikan khutub-khanah, menggalakkan tabiat membaca, menghormati ahli-ahli fikir dan sarjana-sarjana, menjadi penaung badan-badan intelektual atau menggalakkan penerbitan intelektual. Dalam hidup mereka, buku-buku tidak mempunyai tempat yang penting.
Golongan intelektual dalam negara membangun tidak diberikan taraf penghormatan sebagaimana pemuka-pemuka agama dan bintang-bintang filem. Masyarakat lebih gemar dan lebih meneliti jejak hidup bintang-bintang filem berbanding dengan usaha daripada pemikiran seorang intelektual.
Hubungan dengan tamadun Barat telah menyebabkan keadaan bergantung pada pengaruh luar. Dalam dunia pemikiran mudah sahaja berbagai-bagai pendapat didatangkan dan diterima tanpa pengolahan kritikal. Ini merupakan satu saingan dengan pemikiran dalam negeri. Keadaan ini juga menimbulkan golongan watak tertawan (captive mind) di kalangan inteligensia.
Yang terakhir ialah tidak adanya suasana mendesak dalam sejarah. Jika bangkit persoalan yang dirasa oleh umum dan kurang diperhatikan oleh golongan berkuasa maka akan timbul keinginan mencari rumusan. Umpamanya jika rasuah telah dianggap menganiaya sejumlah besar anggota masyarakat, dan kerajaan tidak berbuat apa-apa maka akan bangkitlah pemikiran tentang rasuah.
Inilah antara gejala-gejala besar yang menghalang timbulnya golongan intelektual yang berperanan dalam masyarakat kita. Soalnya bagi kita adalah memulakan tradisi intelektual tanpa mengharap bantuan dari sejarah lampau. Ini memerlukan keazaman mereka yang berminat dalam jurusan ini. Tugas ini adalah berat kerana tidak akan ada dorongan daripada mana-mana pihak.
Baca bahagian pertama: Bebalisme I
Baca bahagian kedua: Bebalisme II
Artikel ini telah disiarkan menerusi Dewan Masyarakat (April 1988), halaman 50.
Syed Hussein Alatas adalah bekas Naib Canselor Universiti Malaya.