Memahami Dinamik UMNO-Pakatan Harapan 15 June 2023 – Posted in: Essays

Rundingan UMNO-Pakatan Harapan untuk agihan kerusi di PRN15 berada di titik paling rumit. Di tingkat kepimpinan atas ia mungkin dapat ditangani tetapi sukar untuk dipastikan sentimen sebenarnya di tingkat kepimpinan pertengahan, bawah dan anggota akar umbi serta penyokong mereka. Puncanya kekurangan kepercayaan antara satu sama lain.

Kepercayaan sukar untuk dibina hanya dalam masa setengah tahun bersama. Masa perlu diberikan kepada kedua-dua pihak UMNO dan Pakatan Harapan. Namun, kedua-duanya, UMNO dan Pakatan Harapan tidak punya masa yang panjang. Dengan DUN untuk enam negeri dijangka bubar pada bulan ini kekusutan pengagihan kerusi antara kedua-dua pihak sukar untuk dirungkaikan.

Simpulan kekusutan antara keduanya terletak kepada tiga permasalahan pokok. Pertamanya ideologi. Keduanya ekonomi-politik. Dan ketiganya DAP. Ketiga-tiga unsur ini saling berkait antara satu sama lain sehingga membentuk suatu ikatan yang hampir tersimpul mati dan ia mempengaruhi kepercayaan khususnya di tingkat kepimpinan pertengahan, bawah, anggota akar umbi dan para penyokong.

Ideologi

Ideologi secara ringkasnya adalah suatu set keyakinan yang memandu tindakan dan tingkah laku sesebuah organisasi politik di dalam kehidupan dan perjalanan politiknya. Ideologi UMNO mengikut sejarahnya adalah nasionalisme Melayu sebagai teras perjuangannya dan Bangsa Melayu sebagai pusat kesetiaannya.

Bangsa Melayu dan keMelayuan menjadi teras yang memandu perjalanan sejarah politik UMNO. Walaupun idea nasionalisme Melayu dan keMelayuan UMNO hanyalah salah satu varian daripada pelbagai jalur nasionalisme Melayu yang wujud di Malaysia tetapi ia hadir dalam jiwa dan tubuh UMNO sebagai organisasi politik dan terserap pula ke dalam emosi, sanubari dan sentimen anggota-anggotanya baik di tingkat atas, pertengahan, bawah, mahu pun akar umbi.

Pakatan Harapan pula adalah sebuah pakatan yang terbentuk daripada tiga parti politik yang punya kecenderungan berbeza-beza. Antara ketiga-tiga parti yang membentuk Pakatan Harapan, hanya DAP yang punya kejelasan ideologi berteraskan “Malaysian Malaysia”. Walaupun ungkapan “Malaysian Malaysia” DAP dimaknai dengan pelbagai tafsiran dan tindakan di dalam sejarah dan perjalanan politiknya, namun yang jelas DAP menolak sebarang idea untuk meletakkan identiti Melayu sebagai teras kepada keperibadian Malaysia.

Manakala PKR pula masih kabur apa yang menjadi ideologi anutannya selain daripada konsep Madani yang longgar dan samar. AMANAH juga sebagai sebuah parti politik tidak dapat ditangkap secara jelas apa ideologi yang menjadi sandarannya selain daripada idea “maqasid-shariah” atau “Islam-demokrat” yang juga longgar dan samar.

Namun dari sudut strukturnya PKR dan AMANAH adalah dua parti politik yang berkepimpinan Melayu dengan majoriti anggotanya juga adalah Melayu. Manakala DAP pula berkepimpinan Cina dengan majoriti anggotanya juga adalah Cina.

Justeru, walaupun ketiga-tiga parti ini punya kecenderungan yang berbeza-beza, namun tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa ketiga-tiga parti yang membentuk Pakatan Harapan sebagai suatu gabungan politik tidak memusatkan Bangsa Melayu dan keMelayuan sebagai teras kepada perjuangannya. Tidak berlebihan juga untuk saya rumuskan bahawa ketiga-tiga parti ini adalah sebuah wadah yang cuba mengangkat idea-idea keMalaysian yang merentasi sentimen etnik sebagai pusat tumpuan dan juga agenda kepada perjuangannya.

Perbezaan ideologi kedua-dua pihak ini, UMNO dan Pakatan Harapan, pada hemat saya merupakan tenaga sosial di lapisan akar yang menyulitkan pengagihan kerusi untuk PRN yang akan datang. Ia tak ternampak jelas di permukaan tetapi menjadi tenaga terpendam yang melahirkan rasa ketidakpercayaan antara satu sama lain di samping sejarah permusuhan yang panjang antara mereka sehingga menyulitkan lagi proses pengagihan kerusi antara UMNO dan Pakatan Harapan.

Ekonomi-Politik

Terkait dengan ideologi adalah persoalan ekonomi-politik. UMNO bukan hanya berideologikan Melayu sebagai teras perjuangan politiknya tetapi juga adalah pengagih sumber-sumber ekonomi menerusi pemberian kontrak, projek, kedudukan dan jawatan kepada kepimpinan dan anggota-anggotanya yang juga Melayu.

Nasionalisme Melayu dan keMelayuan versi UMNO perlu dizahirkan kepada anggota-anggotanya menerusi pengagihan sumber-sumber ekonomi yang membolehkan penerimanya mengagihkan pula kepada anggota-anggota di bawahnya yang strategik untuk mendapatkan kesetiaan dan kepatuhan atau untuk memperlihatkan bahawa UMNO “melindungi Melayu”. Ideologi Melayu versi UMNO menuntut tindakan seperti itu dilakukan sebagai sebahagian daripada penonjolan keMelayuannya.

Untuk lebih adil perkara yang sama juga cenderung berlaku kepada parti-parti politik berkepimpinan Melayu baik di dalam Pakatan Harapan mahu pun Perikatan Nasional. Kuasa politik menjadi sarana untuk agihan sumber-sumber ekonomi. Menaungi dan dinaungi adalah sebahagian daripada struktur politik Melayu yang masih belum dapat dirungkaikan simpulannya.

Hanya DAP pada hemat saya yang tidak terjebak secara ketara di dalam politik naungan ini. Komuniti Cina secara ekonominya adalah lebih mandiri berbanding komuniti Melayu atau peribumi lainnya. Komuniti Cina tidak perlu bergantung kepada naungan politik semata-mata untuk menguasai ekonomi. Pengalaman, kemahiran, jaringan perniagaan di dalam dan luar negara, modal yang mereka miliki serta sebagai komuniti pemula (pelopor) di dalam sejumlah besar sektor-sektor perniagaan menjadikan komuniti Cina secara relatifnya tidak memerlukan kebergantungan politik sepertimana komuniti Melayu dan peribumi lainnya.

Hal ini sebenarnya adalah sangat rumit. Sebahagian besarnya adalah warisan sejarah silam khususnya sejarah penjajahan. Sistem ekonomi kapitalisme penjajah dan ideologi ras yang mereka bawa telah meminggirkan penyertaan Melayu dan peribumi lainnya daripada terlibat di dalam ekonomi berasaskan pasar dan modal selama mereka menjajah Semenanjung Malaysia dan juga Sabah serta Sarawak.

Keadaan ini diperumitkan lagi apabila penguasaan  ekonomi khususnya di kota-kota besar dan juga pekan-pekan kecil yang cenderung mengutamakan hubungan keetnikan sebagai asas kepada kepercayaan di dalam sesuatu urusan atau kegiatan perniagaan. Ini jelas terlihat dengan berdirinya persatuan-persatuan dagang dan juga dewan-dewan perniagaan yang bukan hanya mewakili etnik Cina tetapi juga bertindak sebagai pelindung kepentingan-kepentingan ekonomi Cina sejak dari zaman penjajahan lagi dan ia kekal berlangsung beratus tahun hingga sekarang.

Masalah struktural seperti ini yang sudah tersulam kejap di dalam tenunan kehidupan ekonomi-politik Malaysia menyebabkan pertimbangan etnik di dalam proses menentukan agihan kerusi tidak terelakkan. Mendapatkan kerusi adalah langkah pertama yang cukup penting bagi memastikan peluang untuk mengagihkan sumber ekonomi sekiranya menang, dapat dilaksanakan.

Sama ada agihan tersebut kemudiannya dilakukan benar-benar untuk kepentingan Melayu atau untuk mendapatkan kesetiaan serta kepatuhan atau untuk kekayaan peribadi bukanlah perkara utama dalam proses agihan kerusi. Yang lebih utama adalah kerusi perlu didapatkan terlebih dahulu. Jika menang ia adalah peluang untuk parti tersebut menonjolkan keMelayuannya menerusi agihan sumber-sumber ekonomi kepada kepimpinan bawah, anggota-anggota dan penyokong parti serta komuniti Melayu yang menjadi pengundi-pengundinya.

Tanpa ditonjolkan keMelayuannya itu kelangsungan parti berteraskan Melayu (baca: UMNO) atau berkepimpinan Melayu (baca: PKR dan AMANAH) akan tergugat khususnya di kalangan pengundi-pengundi Melayu serta anggota dan penyokong mereka sendiri yang turut terikat dalam budaya politik naungan.

Budaya politik sebegitu rupa yang diamalkan oleh parti teras Melayu (baca: UMNO) dan parti berkepimpinan Melayu (baca: PKR dan AMANAH) merumitkan lagi proses agihan kerusi.

UMNO dalam konteks ini memerlukan lebih banyak kerusi untuk meningkatkan peluang kemenangan agar fungsinya sebagai pengagih sumber-sumber ekonomi kepada Melayu dapat ditonjolkan. Jika fungsi “melindungi Melayu” itu gagal ditonjolkan lantaran peluang kemenangan yang mengecil akibat daripada kerusi yang diperolehi terlalu sedikit, maka pesaingnya BERSATU dan PAS sudah sedia menanti untuk menggantikannya. Malahan berdasarkan kepada keputusan PRU15 yang lepas BERSATU dan PAS sudah pun menjadi pilihan kepada majoriti pengundi-pengundi Melayu sebagai “pelindung” mereka yang baru.

Dalam konteks UMNO sekarang menghadapi masalah kemerosotan kepercayaan khususnya di kalangan pengundi-pengundi Melayu, mengurangkan kerusi UMNO bermakna peluang untuk merebut kerusi DUN juga semakin kecil. Semakin kecil kerusi yang UMNO miliki semakin kurang fungsi ekonomi-politik UMNO sebagai “pelindung Melayu”, semakin pudar pula bintang UMNO dalam landskap politik Melayu yang rencam serta banyak pesaing-pesaingnya. Tidak mustahil UMNO akan menjadi sejarah yang dikenang bukan lagi parti yang mampu menang. Justeru, UMNO memerlukan agihan kerusi yang lebih munasabah untuk membolehkan ia mengembalikan wibawanya di mata pengundi-pengundi Melayu.

Pada masa yang sama AMANAH khususnya dan PKR umumnya turut memerlukan kepercayaan daripada pengundi-pengundi di kawasan-kawasan yang majoriti Melayunya besar. AMANAH dan PKR berada di dalam suatu pakatan politik yang sama. Manakala UMNO bukan. Memberikan lebih banyak kerusi kepada UMNO bererti melepaskan peluang kepada kedua-dua parti berkepimpinan Melayu ini untuk menonjolkan diri mereka kepada pengundi-pengundi Melayu bahawa walaupun mereka bukan parti berteraskan Melayu tetapi kepentingan-kepentingan Melayu tidak akan dipinggirkan jika mereka menang di kawasan-kawasan tersebut.

Kemenangan AMANAH atau PKR di kawasan-kawasan majoriti besar Melayu boleh menjadi langkah pertama untuk membuktikan kepada pengundi Melayu bahawa mereka tidak memerlukan parti berteraskan Melayu untuk “melindungi Melayu”. Malahan fungsi ekonomi-politik yang menuntut agihan sumber-sumber ekonomi kepada komuniti Melayu menerusi kuasa politik yang dimiliki tetap boleh diteruskan, hatta melalui parti seperti AMANAH dan PKR sekali pun.

Di kala AMANAH dan PKR juga menghadapi masalah untuk memperolehi undi Melayu, agihan kerusi DUN yang memihak kepada mereka akan membolehkan mereka menonjolkan sisi-sisi keMelayuan mereka di kalangan pengundi Melayu. AMANAH dan PKR memerlukan kepercayaan daripada pengundi Melayu untuk menghadapi PRU16 lima tahun lagi yang berkemungkinan UMNO memilih untuk tidak lagi bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

Di ketika itu Pakatan Harapan tidak lagi boleh mengharapkan UMNO untuk mendapatkan undi Melayu bagi pihak mereka. AMANAH dan PKR perlu mandiri di dalam meraih sokongan daripada pengundi Melayu. Mendapatkan kerusi DUN di kawasan-kawasan majoriti Melayu yang besar adalah langkah permulaan buat AMANAH dan PKR di dalam kerangka untuk memperolehi keyakinan pengundi-pengundi Melayu terhadap mereka.

Dilema agihan kerusi buat UMNO dan Pakatan Harapan dari sisi ekonomi-politik seperti yang saya huraikan di atas mempunyai implikasi jangka pendek dan panjang kepada kedua-dua pihak. Kerumitan-kerumitan tersebut tidak terelakkan di kala hegemoni politik Melayu telah pecah tetapi sentimen etnik dan agama masih kuat mempengaruhi landskap politik Malaysia.

Namun seyogia diingatkan, proses pengagihan kerusi akan jauh lebih rumit buat UMNO jika ia bersama BERSATU dan PAS daripada ia bersama dengan Pakatan Harapan. Ini munasabah sahaja kerana ketiga-tiga parti teras Melayu itu (UMNO, BERSATU dan PAS) bersaing antara satu sama lain di kawasan-kawasan yang hampir sama.

DAP

Dalam konteks pertimbangan ideologi dan ekonomi-politik yang mempengaruhi proses pengagihan kerusi antara UMNO-Pakatan Harapan kita juga tidak dapat mengetepikan persoalan yang melibatkan kehadiran DAP di dalam Pakatan Harapan. DAP pada umumnya masih dianggap oleh ramai orang Melayu sebagai sebuah parti yang mewakili kepentingan-kepentingan Cina. Dengan kata lain ia merupakan sebuah parti yang menolak cita-cita nasionalisme Melayu yang menjadi teras perjuangan UMNO. Namun, UMNO kini adalah salah satu rakan kerjasama DAP di dalam “kerajaan perpaduan” yang ditunjangi oleh Pakatan Harapan.

DAP sendiri tidak bermasalah di dalam mendapatkan kerusi kerana kebanyakan kerusi yang dimenanginya adalah di kawasan-kawasan majoriti pengundi Cina atau di kawasan campuran yang pengundi Melayunya adalah majoriti kecil. DAP tidak perlu bersaing dengan parti-parti teras Melayu atau parti berkepimpinan Melayu yang lain.

Kawasan yang ditandingi oleh DAP relatifnya tidak tergugat. MCA dan MIC yang berada di dalam BN sudah tidak lagi mendapat kepercayaan daripada komuniti mereka sendiri.  Justeru, DAP tidak punya masalah untuk mengajukan kerusi-kerusi DUN yang menjadi pilihan mereka pada PRN15 nanti. Kewujudan DAP dalam Pakatan Harapan sebenarnya lebih membawa masalah kepada agihan kerusi antara UMNO dengan PKR dan AMANAH.

Dari satu sisi UMNO memerlukan lebih banyak kerusi di DUN untuk memastikan ia terus hidup dan bernafas. Lebih banyak kerusi yang diperolehi bermakna kebarangkalian untuk menang lebih banyak DUN juga lebih besar. Namun memberikan lebih banyak kerusi kepada UMNO ada risikonya. Sanggupkah penyokong dan anggota UMNO khususnya serta pengundi-pengundi Melayu di kawasan-kawasan majoriti besar Melayu umumnya, memberikan undi mereka kepada UMNO yang kini bekerjasama dengan DAP, sebuah parti yang menolak Melayu dan keMelayuan sebagai teras kepada identiti dan keperibadian Malaysia? Secara peribadi saya musykil.

Momok-momok negatif mengenai DAP sudah terlalu lama. Bukan setahun dua. Tapi puluhan tahun ia berlangsung dan membekas kejap di hati sanubari penyokong dan anggota UMNO serta sebahagian besar pengundi-pengundi Melayu, muda dan tua. Tambahan pula imej serta wibawa UMNO sendiri sudah terhakis di mata ramai orang Melayu lantaran kes-kes rasuah dan korupsi yang terpalit pada tubuh sebahagian daripada kepimpinan tertingginya. Justeru, tidak menghairankan pada PRU15 yang lepas UMNO kehilangan banyak kerusi Parlimen yang ditandinginya manakala sokongan Melayu beralih kepada “pelindung” baru yang dianggap lebih bersih, yakni BERSATU dan PAS.

Namun mengurangkan kerusi UMNO di PRN15 nanti tidak kurang besar risikonya juga. Mengurangkan kerusi untuk UMNO bermakna memberikan lebih kerusi kepada PKR dan AMANAH. Soalan yang sama juga boleh diajukan – sanggupkah penyokong dan anggota UMNO khususnya serta pengundi-pengundi Melayu di kawasan-kawasan majoriti besar Melayu umumnya, memberikan undi mereka kepada PKR dan AMANAH yang bergabung dengan DAP sebagai sebuah pakatan bersama?

PKR dan AMANAH secara relatifnya lebih bersih daripada UMNO. Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim sebagai teras kekuatan Pakatan Harapan juga adalah sosok popular bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara. Wibawa beliau tak ternafikan. Namun berdasarkan kepada keputusan PRU15 yang lepas, ketokohan beliau semata-mata masih tidak dapat membawa PKR dan AMANAH untuk meraih undi yang lebih besar di kawasan-kawasan majoriti besar Melayu. Pakatan Harapan mengikut kajian Bridget Welsh hanya mampu mengaut antara 11% – 13% undi Melayu sahaja. Apakah dalam tempoh kurang 6 bulan Anwar Ibrahim menjadi PM, beliau mampu untuk meningkatkan undi Melayu kepada PKR dan AMANAH, jika kerusi DUN dilebihkan kepada mereka?

Sekali lagi saya musykil.

Melebihkan kerusi untuk PKR dan AMANAH di kawasan-kawasan majoriti besar Melayu berkemungkinan besar mengundang ketidakpuasan hati daripada UMNO. Jika ini yang berlaku ia akan memudahkan anasir-anasir dalaman UMNO yang sekarang “bermain wayang” untuk memasukkan jarum kebencian bagi menggoncang kestabilan “kerajaan perpaduan”. Jika tidak halus dan lunak di dalam menguruskan permasalahan ini, kemungkinan “kerajaan perpaduan” gagal untuk menghabiskan penggalnya tidak boleh diambil lewa.

Keperluan Kerajaan Stabil

Namun pada akhirnya, proses agihan kerusi antara UMNO-Pakatan Harapan tentunya akan diselesaikan juga sama ada secara seia sekata atau pun terpaksa di tingkat kepimpinan atas yang merundingkannya. Di tingkat pertengahan, bawah, akar umbi dan penyokong belum tentu mereka sepakat. Malahan yang tumbuh mungkin sahaja dengki dan hasad apabila apa yang dicitakan tidak kesampaian. Keputusan daripada proses rundingan agihan kerusi yang sedang berlangsung sekarang bisa mengukuhkan “kerajaan perpaduan” dan bisa juga menjadi peruntuh jika sekiranya perasaan saling tidak mempercayai antara satu sama lain dibiarkan tidak terurus.

Menguruskan kepercayaan dalam masa yang singkat adalah tugas yang sukar tetapi tidak mustahil jika sekiranya kedua-dua pihak sanggup bertolak-ansur untuk melihat bingkai yang lebih besar yakni memastikan “kerajaan perpaduan” terus stabil demi mendepani cabaran-cabaran sosio-ekonomi pasca-pandemik yang getir dan sukar.

Saya secara peribadi berpendirian “kerajaan perpaduan” perlu diberikan masa untuk menghabiskan penggalnya. Ketidakstabilan yang terhasil daripada pertukaran kerajaan yang kerap seperti yang kita alami pasca-langkah Sheraton tidak membawa sebarang manfaat kepada negara dan juga rakyat. Malah merugikan pula. Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang stabil tanpa ditebuk atap dan dindingnya agar ia bisa menguruskan cabaran-cabaran pasca-pandemik yang rumit tanpa sebarang gangguan dan goncangan politik yang berterusan.

Namun saya juga faham dalam konteks politik negara Malaysia yang teras kestabilannya (baca: Melayu) telah terbarai, pecah dan berantakan, yang terhasil adalah herot-berot politik yang tidak berkesudahan. Ketidakpercayaan antara satu sama lain akan menajam. Manakala agihan kerusi baik untuk PRU atau PRN di waktu mendatang di kalangan parti teras Melayu dan parti berkepimpinan Melayu akan menjadi semakin rumit!

Justeru, selagi Melayu gagal menemukan jalan untuk menyusun semula politiknya yang berantakan itu dalam suatu bentuk yang lebih bersepadu, Malaysia akan turut terheret sama ke dalam kancah herot-berot politik yang berpanjangan. Ditelan mati mak diluah mati bapa. Dipukul lutut sakit direngkuh siku nyilu. Bak membelah kepayang muda, dimakan mabuk dibuang sayang. Rumit!


RUHAN SHAHRIR adalah penyelidik bebas dan pemerhati politik nasional.