Pakatan Harapan Kalah Undi, Menang Kerusi: Implikasinya pada Masa Hadapan 29 November 2023 – Posted in: Essays
Saya adalah antara orang yang tidak mempercayai Pakatan Harapan akan menang dalam PRU14 yang lepas. Dan saya separuh benar. Pakatan Harapan kalah. Pakatan Harapan kalah undi popular tapi menang kerusi parlimen. BN dan PAS pula tidak kalah sepenuhnya. Adalah salah besar kalau kita mengatakan bahawa BN dan PAS sudah dikembirikan dalam PRU14 ini.
Fakta empirikal menunjukkan bahawa BN telah berjaya memperolehi sebanyak 4,080,797 undi atau 34% daripada jumlah keseluruhan undi yang diterima. Hampir 1/3 daripada pengundi di Malaysia masih mendukung BN. Itu belum dicampur lagi dengan jumlah undi yang dimenangi oleh PAS sebanyak 2,041,105 undi atau 17% daripada undi keseluruhan.
Kombinasi antara undi yang diterima oleh BN dan PAS berjumlah 6,121,902 undi atau 51% undi popular. Ini bermakna lebih daripada separuh undi popular (51%) adalah dimiliki oleh parti pembangkang (BN + PAS).
Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP, AMANAH dan BERSATU pula memperolehi sebanyak 5,518,638 undi. Jumlah undi yang diterima oleh Pakatan Harapan jelas lebih rendah daripada gabungan undi popular yang diterima oleh BN dan PAS.
Jika undi Parti Warisan dan juga calon Bebas dari Parlimen Batu, P. Prabakaran diambilkira, jumlah keseluruhan undi yang dimenangi oleh gabungan parti pemerintah (Pakatan Harapan + Warisan + Bebas) ialah sebanyak 5,837,283 atau 48% undi popular. Jumlah undi ini juga masih rendah daripada campuran jumlah undi yang diterima oleh BN dan PAS.
Manakala 1% lagi adalah undi yang dimenangi oleh calon-calon lain yang bertanding di atas tiket bebas dan juga parti-parti kecil lain.
Untuk memudahkan pemahaman kita tentang jumlah undi popular yang dimenangi oleh parti pemerintah dan parti pembangkang, berikut adalah jadualnya:
PARTI POLITIK | JUMLAH UNDI POPULAR YANG DITERIMA | PERATUSAN UNDI POPULAR |
---|---|---|
Pakatan Harapan + Parti Warisan + Calon Bebas Parlimen Batu (Parti Pemerintah Persekutuan) | 5,837,283 | 48% |
Barisan Nasional + PAS (Parti Pembangkang Persekutuan) | 6,121,902 | 51% |
Parti/Calon Lain | 123,246 | 1% |
Daripada jadual di atas, tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa sebahagian besar daripada undi popular yang diberikan kepada BN dan PAS adalah undi Melayu-Islam. Dalam konteks keputusan PRU14 yang lepas tatkala hampir semua calon-calon MCA, Gerakan dan MIC tewas agak kurang munasabah untuk sejumlah besar undi bukan Melayu diberikan kepada BN atau PAS.
Tambahan pula kalau kita meneliti jumlah anggota parlimen Muslim dan anggota parlimen bukan Muslim dalam gabungan Pakatan Harapan, kita akan dapati bahawa jumlah anggota parlimen Muslim kurang daripada 50% (58 kerusi) daripada jumlah keseluruhan 122 kerusi yang dimenangi oleh Pakatan Harapan.
Justeru itu, tidak menjadi ketempangan kalau saya rumuskan bahawa secara demografinya majoriti daripada undi popular yang diraih oleh BN dan PAS datangnya dari masyarakat Melayu-Islam. Manakala undi popular yang diperolehi oleh Pakatan Harapan datangnya dari undi campuran antara pengundi Melayu dan bukan Melayu (termasuk bumiputera bukan Muslim di Sabah dan Sarawak).
Ini bukan bermakna bahawa Pakatan Harapan tidak mendapat sokongan pengundi-pengundi daripada masyarakat Melayu-Islam. Tetapi jumlah pengundi Melayu-Islam yang memberi sokongan kepada Pakatan Harapan jauh lebih rendah berbanding sokongan yang mereka berikan kepada BN dan PAS.
Ini juga membawa makna sokongan pengundi kepada Pakatan Harapan lebih berbentuk “keMalaysiaan” daripada keMelayuan atau keIslaman. Gabungan undi daripada pengundi Melayu dan bukan Melayu telah memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan. Tsunami kali ini bukan lagi tsunami Cina dan bukan juga tsunami Melayu tetapi gelombang perubahan yang dicetuskan oleh semua anak-anak Bangsa Malaysia.
Ini sebenarnya suatu fenomena julung-julung kali yang seharusnya diangkat dan diolah secara strategik oleh aktivis masyarakat, aktivis mahasiswa dan kepimpinan politik untuk membentuk suatu naratif baru buat tanah air kita yang lebih merangkum (inklusif) dan bersifat keMalaysiaan tanpa mengetepikan “teras Melayu” yang sudah sedia wujud dan terberi dalam tradisi dan sejarah politik Malaysia yang berakar-umbi daripada sejarah politi-politi Melayu dahulu kala.
Malahan kalau perlu dibuat suatu upacara simbolik untuk memperingati detik perubahan ini sebagai suatu bentuk memori kolektif bersama, maka tiada salahnya untuk kita lakukan dengan tujuan untuk memperkukuhkan lagi sebuah naratif yang lebih terangkum (inklusif) dan bersifat “keMalaysiaan”.
Tentunya apa itu yang dimaksudkan dengan “keMalaysiaan” itu tak mungkin dapat kita tuntaskan dalam masa yang singkat. Tetapi kemenangan ini telah membuka ruang untuk kita membahaskan dengan lebih rinci tentang apakah naratif baru yang berbentuk “keMalaysiaan” ini. “KeMalaysiaan” bagi saya adalah suatu proses. Dan dari proses yang dilalui secara bersama-sama atau kolektif inilah naratif “keMalaysiaan” akan lahir. Kata kunci di sini adalah ‘bersama-sama/kolektif’.
Pada masa yang sama dalam proses melahirkan “keMalaysiaan” di masa-masa transisi ini tentunya akan mengundang pelbagai kegusaran, keresahan, keinginan dan juga harapan yang pelbagai dan berbeza-beza antara satu komuniti dengan komuniti yang lain yang membentuk masyarakat Malaysia yang berbilang etnik dan agama ini.
Menguruskan sebuah masyarakat yang rencam seperti Malaysia ini bukanlah mudah. Kerencaman ini bukan hanya dari sisi etnik dan agama tetapi juga dari sisi-sisi lain seperti perbezaan gender, wilayah geografi khususnya antara desa dan bandar serta Semenanjung dan Borneo, jurang generasi antara yang tua dan muda, perbezaan medium bahasa perantaraan, budaya, ideologi, kelas sosio-ekonomi antara kaya-miskin dan berpendidikan-kurang pendidikan, perbezaan orientasi seksual antara majoriti seksual-minoriti seksual, istana dan bukan istana, pekerja tempatan dan pekerja asing serta mereka yang bernegara dan mereka yang tidak bernegara tapi bermastautin di wilayah politik yang dinamakan Malaysia ini.
Kerencaman-kerencaman ini rumit untuk diuruskan kerana terdapat pelbagai kepentingan yang perlu dicermati, diperhalusi dan ditangani sebelum sesuatu keputusan atau pendirian sikap itu dibuat. Tetapi dalam konteks struktur sosial masyarakat Malaysia yang rencam ini sisi perbezaan yang paling mencolok tentunya etnik dan agama (terkandung dalam etnik dan agama ini juga adalah permasalahan bahasa yang tidak terangkum).
Ini bukanlah bermakna sisi-sisi lain itu tidak penting tetapi wacana yang lebih dominan di dalam ruang awam umumnya adalah yang berkaitan dengan isu etnik serta agama. Ini tak dapat dielakkan kerana struktur masyarakat Malaysia ini masih kental dengan institusi-institusi yang sudah terbina sejak sekian lama yang berdasarkan etnik dan agama yang sebahagian besarnya adalah warisan pemerintahan penjajah British.
Syarikat-syarikat, persatuan-persatuan dan dewan-dewan perniagaan di ruang ekonomi yang dibangunkan hanya untuk menjaga dan mempertahankan kepentingan ekonomi etnik masing-masing, parti-parti politik yang didirikan berasaskan kepentingan etnik dan agama, institusi-institusi pendidikan dari peringkat rendah hingga tinggi yang maseh berasaskan etnik, agama dan bahasa selain daripada bahasa kebangsaan, media massa pelbagai aliran bahasa yang cenderung membawa wacana-wacana mengikut kepentingan etnik masing-masing, kawasan-kawasan penempatan yang cenderung mono-etnik warisan penjajahan British yang tidak menggalakkan interaksi serta pergaulan antara etnik yang lebih intim, perlembagaan negara yang membezakan antara bumiputera dan bukan bumiputera, adalah antara struktur-struktur yang wujud dalam masyarakat yang menjadikan usaha ke arah penyatuan kebangsaan dan masyarakat terangkum (inklusif) lebih mencabar lagi.
Cabaran dari sisi etnik dan agama ini menjadi lebih getir apabila parti pemerintah sekarang iaitu Pakatan Harapan buat pertama kalinya dianggotai oleh ahli-ahli parlimen yang majoritinya adalah bukan Melayu dan bukan Muslim. Walaupun pimpinan tertinggi eksekutif negara diterajui oleh pemimpin Melayu dan Islam tetapi di tingkat legislatifnya majoriti anggota parlimen yang berada di sebelah pemerintah adalah bukan Melayu dan bukan Islam.
Kegetiran ini diperkuatkan lagi oleh fakta pengundian yang dibentangkan di atas tatkala kerajaan Pakatan Harapan tidak mendapat sokongan majoriti daripada pengundi Melayu-Islam yang menjadi teras kepada politik Malaysia. Sebaliknya majoriti pengundi Melayu-Islam dalam PRU14 yang lepas nampaknya telah memilih BN (yang diterajui oleh UMNO) dan juga parti Islam PAS.
Fakta dan keadaan ini kalau tidak ditangani dengan cermat dan berhati-hati boleh mengundang implikasi yang boleh membantutkan usaha-usaha ke arah penyatuan nasional.
Cita-cita untuk membangunkan sebuah negara Bangsa Malaysia yang terangkum dan sepadu (kohesif) mungkin akan terhambat jika sekiranya usaha untuk merungkaikan permasalahan etnik dan agama yang berbangkit dilakukan dengan menggunakan pendekatan yang kasar, tergopoh-gapah dan melulu tanpa adanya kecermatan analisa dan kesantunan bahasa dalam mengajukan pandangan atau hujah.
Berbekalkan jumlah anggota parlimen Melayu dan Islam yang terbanyak dan dukungan daripada majoriti pengundi-pengundi Melayu-Islam yang merupakan teras politik negara ini, UMNO serta PAS sebenarnya punya sumber massa yang cukup ampuh dan strategik untuk melakukan penyusunan semula bagi merebut kembali kekuasaan jika sekiranya Pakatan Harapan tidak berhati-hati dan terlalu gopoh-gapah dalam menangani sesuatu kemelut politik, ekonomi atau sosial yang timbul.
Sumber massa Melayu-Islam yang mendukung sama ada BN atau PAS ini boleh sahaja dan mudah sahaja dieksploitasi sentimen emosi mereka untuk tujuan politik etnik yang sempit dan eksklusif.
Sekarang ini sahaja kalau kita teliti di ruangan seumpama maya Facebook, twitter, ruang-ruang komentar dalam portal-portal media atas talian akan kelihatan pola dikotomi yang agak jelas antara yang Melayu-Islam dengan yang bukan Melayu-bukan Islam bila isu yang menyentuh kepentingan etnik atau agama timbul.
Contoh yang paling jelas ialah bila isu tentang cadangan untuk membuka UiTM kepada bukan bumiputera diusulkan oleh Hindraf 2.0; suatu petisyen bantahan terhadap cadangan ini telah dilancarkan. Hanya dalam tempoh masa kurang daripada 24 jam, lebih daripada 100,000 orang (yang saya syaki kesemuanya adalah Melayu/bumiputera) telah menyatakan sokongan terhadap petisyen bantahan ini.
Pada masa yang sama apabila exco pendidikan ARMADA Parti BERSATU, Mohd. Ashraf Mustaqim mengajukan cadangan sekolah satu aliran untuk semua pelajar bagi mengukuhkan pembinaan Bangsa Malaysia, cadangan beliau itu telah dihujat dengan kritik-kritik yang bernada emosional dan marah oleh sebahagian besar masyarakat bukan Melayu seolah-olah cadangan itu adalah cubaan jahat untuk merampas identiti etnik bukan Melayu dan “meMelayukan” bukan Melayu.
Begitu juga dengan usulan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad untuk mengkaji semula kedudukan institusi agama JAKIM telah ditanggapi dengan pernyataan yang berbentuk emosi, kecewa dan marah dalam kalangan netizen Muslim serta persatuan-persatuan Islam walau pun belum diketahui dengan jelas kajian semula yang sebagai mana yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri itu.
Begitu juga dengan isu perlantikan Tommy Thomas seorang bukan Melayu penganut agama Kristian sebagai Peguam Negara baru-baru ini yang telah mencetuskan perdebatan sengit khususnya di ruang maya. Dan ianya menjadi lebih rumit bila turut melibatkan institusi tradisional Melayu iaitu Majlis Raja-Raja Melayu dalam kemelut tersebut.
Walau pun akhirnya ia dapat diselesaikan secara aman tetapi di ruang maya masih terdapat garis pemisah yang bersifat etnik dan agama dalam memberi sokongan atau membantah perlantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang baru.
Justeru itu, tidak boleh dinafikan bahawa masyarakat Malaysia masih lagi terpolarisasi mengikut garis etnik, agama dan juga bahasa. Dan kelihatannya masih ramai anggota masyarakat yang cenderung mengambil pendirian untuk tidak bertolak-ansur dalam hal-hal yang menyentuh kepentingan etnik dan agama masing-masing.
Apa yang ingin saya hujahkan ialah isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan etnik dan agama kalau tidak ditangani dengan cermat, halus dan santun boleh menjadi hambatan besar bukan sahaja kepada usaha untuk membina Bangsa Malaysia yang lebih terangkum (inklusif) tetapi juga berupaya merencatkan proses demokratisasi yang sedang berlangsung kini.
Mujurnya polarisasi etnik dan agama yang jelas ketara di masa-masa transisi ini tidak mencetuskan penggembelingan massa oleh UMNO atau/dan PAS untuk tujuan aksi politik dari pihak mereka. Kemujuran ini pada pandangan saya disebabkan oleh dua faktor utama.
Pertama, magnitud rasuah, salahguna kuasa dan korupsi yang terbongkar hari demi hari yang dilakukan oleh regim lama pimpinan Datuk Seri Najib Razak terlalu besar sehingga ia mengejutkan masyarakat dan fokus masyarakat pelbagai etnik kini tertumpu untuk melihat kejahatan-kejahatan regim lama ini dihukum dan dibalas dengan setimpal.
Kedua, UMNO dalam keadaan yang terbarai, kucar-kacir, terputus sumber kewangan dan kehilangan arah halatuju serta mengalami krisis kepimpinan yang parah sehinggakan mereka tidak mampu untuk melakukan penyusunan semula organisasi dan massa mereka buat waktu sekarang.
Manakala PAS pula maseh dalam sikap memerhati serta membaca situasi dan mengambil posisi berjarak daripada Datuk Seri Najib Razak memandangkan beliau sudah pun terpalit dengan skandal rasuah dan korupsi yang terbesar dalam sejarah tanah air kita.
Kedua-dua faktor ini menyebabkan penggembelingan massa melalui kaedah memanipulasi sentimen etnik dan/atau agama dalam isu-isu berbangkit di masa-masa transisi ini tidak dapat dilakukan walau pun dari pemerhatian saya di ruang maya masyarakat Malaysia masih terpolarisasi mengikut garis etnik dan agama bila dihadapkan dengan isu-isu yang menyentuh kepentingan etnik masing-masing ini.
Namun begitu saya berpandangan apabila kejahatan-kejahatan regim lama telah dibersihkan dan penjahat-penjahatnya sudah terhukum dan UMNO kembali stabil semula manakala PAS pula sudah selesai membuat perkiraan untung-rugi mereka, tidak mustahil jika sekiranya sentimen etnik dan agama akan terus menjadi alat mobilisasi massa di masa hadapan. Ini adalah kerana sebahagian besar pengundi yang menjadi teras kepada politik Malaysia (pengundi Melayu-Islam) berada di sebelah UMNO dan PAS.
Dan jika sekiranya pemerintah sekarang gagal untuk memperbaiki keadaan ekonomi negara atau keadaan ekonomi negara menjadi bertambah parah, di kala itulah sentimen etnik dan agama akan dipicu untuk memunculkan wajah buruknya.
Dengan berbekalkan massa Melayu-Islam yang menjadi sumber sokongan kepada kedua-dua parti UMNO dan PAS ini, etnik dan agama boleh menjadi senjata yang paling berbisa untuk digembleng bagi membuat “come back” di persada kekuasaan negara.
Menjangkakan keadaan ini mungkin akan berlaku di masa hadapan soalan yang paling mustahak untuk ditanya ialah apa yang perlu kita lakukan supaya naratif “keMalaysiaan” dapat hidup sihat, subur dan berkembang dalam masyarakat awam manakala naratif etnik dan agama yang melampau dapat dilunakkan kalau pun tidak dapat dihapuskan sepenuhnya.
Apa yang perlu dilakukan bagi saya tidak dapat tidak adalah melalui proses demokratisasi yang berterusan dan merangkumi setiap aspek kehidupan khususnya dalam hubungan antara pemerintah dan masyarakat.
Dan proses demokratisasi ini tidak dapat lari daripada keperluan untuk meruntuhkan struktur-struktur yang tidak demokratik yang masih lagi wujud khususnya undang-undang yang menghalang demokrasi daripada tumbuh segar dan sihat. Tapi tentunya perubahan undang-undang tidak semestinya menjamin perubahan nilai dan budaya yang lebih demokratik.
Dalam konteks perubahan regim yang sudah berlaku ini saya fikir lebih mudah untuk mengubah undang-undang daripada mengubah nilai dan budaya kerana ianya lebih abstrak dan sifatnya pula lebih mengakar kerana nilai dan budaya itu lahir hasil daripada proses sejarah dan sosialisasi yang panjang hingga ia tersulam menjadi sebahagian daripada cara pandang, cara buat dan cara hidup masyarakat itu sendiri.
Namun begitu saya seorang yang percaya bahawa perubahan di tingkat struktural akan turut membantu ke arah perubahan nilai dan budaya yang lebih demokratik. Justeru itu, di waktu-waktu transisi ini, perjuangan untuk meruntuhkan struktur-struktur anti-demokrasi ini perlu berjalan seiring dengan perjuangan untuk mengubah nilai dan budaya masyarakat ke arah yang lebih demokratik lagi.
Dan kaedahnya pula pada pandangan saya adalah melalui pengisian ruang awam yang semakin terbuka ini dengan memperbanyakkan lagi dialog, diskusi dan perbincangan yang bersifat rentas-etnik dan rentas-agama ke seluruh pelusuk negara serta program-program pemerkasaan masyarakat di tingkat akar umbi. Ruang awam yang hidup, aktif dan gencar adalah salah satu daripada tiang seri utama yang menopang dan mendukung demokrasi.
Peluasan ruang demokrasi melalui dialog, diskusi dan perbincangan rentas-etnik dan rentas-agama serta program pemerkasaan masyarakat di tingkat akar umbi ini seharusnyalah tidak lagi hanya terpusat di Kuala Lumpur semata-mata. Ia harus membumi merangkumi bandar-bandar lain, sekolah, universiti dan institut-institut pengajian, desa-desa dan kawasan-kawasan penempatan kelas menengah hingga ke kelas pekerja.
Masyarakat dari pelbagai etnik, agama dan strata sosial perlu dibiasakan dan dibudayakan dengan perbezaan pandangan. Berbeza pandangan bukanlah sesuatu yang perlu digusarkan. Selagi perbezaan pandangan itu bertembung dalam suasana yang santun dan selamat ianya adalah sebahagian daripada proses demokrasi itu sendiri.
Dan dari proses demokrasi inilah kepelbagaian pandangan akan bertemu, berdialog, berbincang dan berunding untuk memahami antara satu sama lain. Walau pun mungkin kita tak akan dapat mencapai kata sepakat dalam beberapa hal akan tetapi saya percaya bahawa proses memahami inilah yang akan menjadi benih ke arah membina naratif baru yang lebih bersifat “keMalaysiaan”.
Dan untuk dialog, diskusi dan perbincangan rentas-etnik dan rentas-agama ini berjalan lancar dan santun tanpa rasa takut atau terancam, maka undang-undang anti-demokrasi yang merupakan sebahagian daripada struktur negara ini perlulah dimansuhkan dengan segera supaya masyarakat yang menyertainya merasa selamat dan terjamin.
Namun begitu semua ini hanya akan tinggal cadangan dan idea semata-mata jika tiada orang yang membuatnya dan tiada pemikir serta aktivis yang menggerakkannya. Dan untuk membuat dan menggerakkan inilah kita memerlukan warga masyarakat, anak muda dan mahasiswa yang bukan hanya sekadar sedar tetapi juga aktif serta bergiat cergas dalam aktiviti-aktiviti peluasan ruang demokrasi dan pemerkasaan masyarakat akar umbi.
Berdasarkan pecahan undi pada PRU14 yang lepas majoriti daripada undi Melayu-Islam berada di sebelah UMNO dan PAS. Begitu juga anggota parlimen pembangkang Melayu-Islam majoritinya juga berada di pihak BN dan PAS. Kemungkinan sentimen etnik dan agama akan dieksploitasi oleh parti UMNO dan PAS adalah sesuatu yang tidak boleh kita ketepikan kerana kewujudan parti-parti ini sendiri adalah untuk mempertahankan etnik dan agama masing-masing. Akan tetapi sama ada masyarakat akan terpancing dengan permainan sentimen etnik dan agama ini bergantung kepada sejauh mana proses demokratisasi kita berjaya dilaksanakan
Memetik kata-kata seorang teman saya saudara Aqil Fithri yang sentiasa optimis dengan perubahan yang sedang berlaku ini, “Tumbangnya regim dan terbukanya ruang demokrasi akan menjadikan politik etnik dan agama hanya fatamorgana semata-mata. Lambat-laun politik etnik dan agama ini akan lebur dimamah demokrasi.”
Saya ingin sangat untuk mempercayai kata-kata teman saya ini tapi naluri saya cenderung untuk berkata tidak. Tapi yang lebih penting buat saya bukanlah apa yang naluri saya kata tapi apa yang saya buat untuk membantu proses demokratisasi ini agar kita bisa membangunkan naratif Malaysia baru yang lebih “keMalaysiaan”, terangkum, adil dan saksama.
- Malaysiakini, 15 Mei 2018. Undi popular PRU14 – laporan media bercanggah. Akses: https://www.malaysiakini.com/news/425082 ↩︎
Makalah ini ditulis pada 11 Jun 2018, lebih kurang sebulan selepas kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14 sebagai sisipan lengkap kepada pembentangan yang diadakan di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia. Diterbitkan semula, dengan beberapa suntingan, atas izin dan ihsan penulis. Kurang daripada dua tahun setelah makalah ini ditulis, kerajaan Pakatan Harapan akhirnya dijatuhkan menerusi Langkah Sheraton.
RUHAN SHAHRIR adalah penyelidik bebas dan pemerhati politik nasional.