Patah Sayap Terbang Jua: A. Samad Ismail Merakam Kejam Jepun 1 December 2023 – Posted in: Essays
Sejarah adalah antara kegemaran saya hingga kini. Pengalaman-pengalaman silam yang berharga itu sudah tentu tidak dapat dirasakan sekarang (setidaknya mungkin pada masa kini) tapi dapat diketahui dengan membelek-belek catatan-catatan pengalaman, buku-buku dan (sudah tentu!) dengan bertanyakan kepada mereka yang pernah merasai pengalaman-pengalaman suatu zaman itu.
Selepas membaca beberapa cerpen-cerpen enak karangan gemulah A. Samad Ismail, Temasya Tinta, Tan Sri A. Samad Ismail Menulis dan Ingin Jadi Pujangga; tiba-tiba mula mekar rasa hendak cuba novelnya pula. Barangkali mendengar perbualan abang-abang dari reruai IBDE sewaktu di Sunway Putra Mall sempena Festival Buku Merdeka menjadi bajanya.
Lekas-lekas saya meminjam senaskhah Patah Sayap Terbang Jua1 dari perpustakaan. Ia antara novel-novel awal beliau. Luar biasa hebat kerana beliau, pada tahun 1967, telah dengan jayanya menghasilkan empat buah novel—termasuk Patah Sayap Terbang Jua—yang merakamkan kembali pengalaman-pengalaman dalam kerjaya kewartawanan dan politik sejak zaman dicengkam Jepun dan sesudahnya.
Novelnya, Patah Sayap Terbang Jua, menurut saya, telah mengkisahkan kembali perjuangan tokoh-tokoh politik dan kebangsaan sejak perang belum dan sedang pecah. Ishak Haji Muhammad, Abdul Rahim Kajai dan nama-nama lain juga misalnya. Nama mereka telah ditukar (sudah tentu) tapi masih agak mudah meneka dan tambahan lagi pengarang telah memberikan petunjuk-petunjuk tertentu yang pasti bikin pembaca rasa seperti, “Eh, macam pernah dengar!”
Karya merakam zaman. Penulis merakam seputarnya dan pengalamannya. Zaman dicengkam Jepun telah menjadi latar waktu bagi Patah Sayap Terbang Jua. Dalam novel ini, kita tidak hanya melihat pengalaman gemulah dalam bidang kewartawanan dalam Berita Malai (hasil gabungan Utusan Melayu dan Warta Melaya) semata tetapi juga telah merakam kejam zaman Jepun!
A. Samad Ismail merakam harapan orang-orang seputarnya yang memujakan kemakmuran apabila British jatuh berganti Jepun. Misalnya, ada dinyatakan dalam novel:
Dulu sebelum Jepun masuk, kita agak Jepun dapat memberi kemakmuran kepada kita. Kita agak barang-barang Jepun akan murah-murah seperti barang-barangnya di Bras Basah Road dulu… (Hal. 102)
Tetapi malang sekali ia cuma indah khabar dari rupa saja! Kita seterusnya menyaksikan pula kesusahan ditimpa ramai sewaktu Jepun mencengkam kuat. Orang ramai sukar mendapatkan makanan dan keperluan. Orang-orang ramai ditimpa bala penyakit. Orang-orang ramai hadapi kesukaran juga kekurangan. Ia tercatat di halaman seterusnya seperti begini:
… Tapi bila Jepun masuk, apa jadi? Orang makan beras kapur, daun ubi kayu. Perut buncit-buncit kerana penyakit. Kaki kudis-kudis. Badan sembab-sembab kena biri-biri. Kain-kain murah yang diharapkan tak ada. Ada tak ada kain guni. Hendak tanam mayat pun tak ada kain putih. Tanam dengan tikar saja… (Hal. 102-103)
Khabar Jepun datang membantu pada asalnya dianggap laba menjadi bala. Barang-barang mahal harganya hingga hendak mendapatkan kain putih menjadi sukar. Dalam halaman lain diterangkan yang keperluan lain mengurus jenazah seperti kemenyan dan papan sukar diperoleh. Mayat terpaksa dibungkus dengan tikar sesetengahnya—yang kurang bernasib baik.
Tidak segembira sebelumnya, kehadiran Jepun menjadi semacam luka pedih. Seluruhnya bermuram durja dan dalam ketakutan. Yang bernasib baik saja akan selamat dan senang. Seperti dalam novel:
… Banyak temannya seperti Salleh sekarang. Bila kadang-kadang tersua di Geylang, dia terkejut melihat mereka. Orang yang periang menjadi pendiam. Orang yang dahulu gemuk, tegap dan sihat, kurus kering atau cengkung seperti mayat.
… Atau setengah teman yang dahulu dikenalinya melarat tiba-tiba menjadi senang, gemuk dan gendut, kenyang dengan black market… (Hal. 122)
Bala lain juga adalah mereka tidak semata dijajah Jepun tetapi juga dijajah ketakutan! Di zaman itu, harus sentiasa berwaspada dalam bertingkah kerana ada buruknya kalau tersilap langkah! Contohnya bagi wartawan, menulis sesuatu di zaman itu jangan sembarangan. Tidak boleh melawan dan tiada juga kebebasan bersuara. Dinyatakan seperti nasib watak Winslow yang juga bekerja dengan surat khabar dalam novel seperti berikut:
“… Dia kena tangkap fasal bikin newslah,” kata Silva, menarik nafas panjang.
“Winslow tulis satu artikel. Dia tak suka tengok orang-orang tak ada makan, tak ada mandi, tak ada minum dalam lokap Central Polis,” kata Krishna, yang sekarang menolong Silva, mengikat pemidang besi di meja. (Hal. 53)
Akhirnya, watak Winslow menemui ajalnya.
Memiliki sebarang alatan dan mendengar sembarangan perkara juga menjadi satu kesalahan! Rakaman zaman Jepun oleh A. Samad Ismail menunjukkan hanya khabar-khabar tertentu saja yang dapat diperdengar dan dipertunjukkan. Ini menunjukkan bahawasanya orang-orang awam dikawal segala perlakuan dalam keterseksaan. Contohnya seperti memiliki radio wave untuk mendengar berita versi luar yang dilarang Jepun:
“… Sekak kena tangkap. Kau kenal Sekak bukan? Dia simpan radio short wave. Dia punya bodoh, berita-berita Radio Australia yang didengarnya di- taip dan disebarkannya pada kawan-kawan.” (Hal. 126)
Masyarakat dibelenggu dan kalau ikatan itu cuba dilerai akan hadapi akibatnya. Kita sudah sedia maklum dengan cara Jepun menyeksa tahanan mereka—orang-orang yang melakukan perkara terlarang. Dipancung kepala sudah jadi satu kelaziman. Begitu kejam Jepun, mereka juga menularkan ketakutan kepada orang-orang ramai sebagai ugutan dan ancaman supaya mereka tidak berani melawan. Selain mempamer kepala-kepala orang yang dipancung di kawasan laluan orang, seksaan lain seperti minum berbaldi air juga turut diceritakan:
“… Kena pukul teruk di rumah pasung. Kena minum air berbaldi-baldi. Perutnya kembung, kebanyakan air,” kata Osman. Dia memberhentikan guntingnya yang sedang merayapi tengkuk budak yang duduk bertenggek di kerusi yang boleh berpusing-pusing.
Wak Kusen yang sedang mengetuk-ngetuk palu di tapak capal kulitnya pun berhenti memukul palunya. Dia mendongak pada Wahab.
“Tak lamalah tu. Besok lusa mayatnya saja yang dibawa balik.” (Hal. 127)
Masih banyak kekejaman sewaktu Jepun mencengkam, tetapi lebih baik jikalau pembaca meneliti sendiri buku ini. Namun, yang pasti dicekik Jepun telah menyedarkan warga Tanah Melayu itu sendiri akan sesuatu yang penting. Pendudukan Jepun selama tiga tahun setengah itu telah menghantukkan kesedaran tentang nilai keamanan dan kebebasan. Dalam novel ini, ada dilukiskan perbualan tentang lebih gemar dan rela dijajah British berbanding Jepun kerana kurang perit cengkamannya dan (sekurang-kurangnya) tidak seteruk kuasa pentadbiran Jepun. Ada beberapa halaman menceritakan, misalnya:
… Salleh tentulah mendoakan British menang. Banyak orang mendoakan British menang, termasuk ayahnya sendiri. Mereka mendoakan supaya mereka dapat makan mentega, merasakan rokok Craven A sekali lagi, boleh membeli baju murah dan basikal Releigh… (Hal. 124)
“… Saya pun tak suka British, Wahab. Siapa yang pernah kerja dengan Pak Mustapha, bergaul dengan dia, bertahun-tahun lamanya seperti saya, sebanyak sedikit ada semangat kebangsaan. Tapi saya juga tak suka dengan Jepun. Wahab suka dengan Jepun?”
Pak Dollah berhenti tiba-tiba, sepatunya yang berat terhentak kuat di kaki lima. Wahab menggeleng-geleng.
“Saya mahu British menang. Bukan kerana saya suka British. Tapi saya mahu pencennya, untuk pulang kampung, dirikan rumah tempat anak-anak dapat berlindung dan berteduh.” (Hal. 137)
Merasai detik kejam Jepun semacam satu titik kesedaran orang di Tanah Melayu. Mereka, kebanyakkan, telah alami kesedaran politik dan bercita-cita hendak membentuk pemerintahan sendiri serta membentuk dunia yang baru. Mereka sudah tidak bergantung kepada kuasa luar untuk mendapatkan keamanan. Jadi, usai Jepun serah diri, mereka sudah membentuk berbagai jenis nasionalisme. Misalnya, nasionalisme kenegerian yang terhad kepada ingin kembali kepada kedaulatan tiap negeri walaupun terpaksa menerima akan ada campur tangan penasihat British dalam segala urusan (kecuali hal agama Islam dan adat istiadat). Nasionalisme jenis ini juga bergasak dengan desakan membentuk Indonesia Raya—ini mungkin akan dibicarakan nanti.
Saya menulis karangan ini dengan matlamat: untuk mencerahkan kepada ramai (yang belum tercerah) bahawa sebuah novel atau fiksyen genre lain juga itu tidak terhad bercerita tentang watak rekaan tapi merakam zaman, merakam apa yang berlaku di seputar penulisnya. Ada tersurat dan yang tersirat. Karangan ini juga ditulis sebagai peringatan kepada diri supaya tidak menulis sekadar menulis tetapi merakam zaman dan perkara seputar supaya menyedarkan orang sezaman dan yang mendatang kelak.
Nota Kaki
- A. Samad Ismail. Patah Sayap Terbang Jua, Creative Enterprise (1993). ↩︎
Esei ini disiarkan pertama kali oleh Lestari Hikmah pada 27 Oktober 2023. Suntingan dan siaran semula adalah atas ihsan dan izin penulis.
AMIER SUHAIMI pengarang amatur lahir di Kuala Lumpur. Pernah tinggal di kota suci Kelantan juga Pahang dan kini mengaji bisnes secara formal dan sastera secara informal di Selangor.