Gerakan Radikalisme di Malaysia (1938-1965)

RAMLAH ADAM adalah Profesor Sejarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya.

DBP (Cetakan Keempat, 2019)
511 halaman termasuk Bibliografi dan Indeks

RM55.00

Only 1 left in stock

Gerakan Radikalisme di Malaysia (1938-1965) cuba memberikan suatu perspektif berdasarkan kajian akademik yang bertanggungjawab terhadap gerakan radikal Melayu sebelum perang sehingga pembentukan Malaysia. Dengan menggunakan rekod-rekod rasmi, akhbar-akhbar sezaman dengannya, temu ramah dan memoir, di samping bahan rujukan sekunder, buku ini cuba melahirkan suatu keseimbangan dalam menelusuri kegiatan golongan radikal.

Gerakan politik radikal Melayu merupakan kegiatan yang dominan dan menarik dalam sejarah politik Malaysia, terutama ketika Zaman penjajahan British sehingga selepas merdeka. Gerakan ini boleh dianggap sebagai transformasi politik masyarakat Melayu yang begitu terkenal selama ini dengan sikap konservatif dan sentiasa menurut perintah golongan atasan dan raja.

Pada umumnya, kajian tentang golongan radikal ini kelihatan begitu mudah kerana pendukung-pendukung golongan radikal ini telah mengabadikan kegiatan dan pendapat mereka dalam bentuk buku, memoir, novel dan rencana-rencana akhbar. Tulisan-tulisan ini kerap kali dibuat dengan berdasarkan ingatan tanpa rekod dan dokumen yang khusus. Hal ini disebabkan kebanyakan bahan dan dokumen rasmi dan peribadi mereka telah dirampas dan dimusnahkan apabila mereka ditahan oleh pihak British dan kerajaan. Akibatnya, terdapat kadang-kadang penambahan yang berlebihan dalam usaha untuk menonjolkan diri sendiri, sehingga boleh melahirkan salah faham terhadap sesuatu peristiwa penting dalam sejarah politik negara.

Dengan itu, pembinaan semula sejarah kegiatan golongan radikal ini akan melahirkan dua keadaan. Pertama, bagi seseorang pengkaji yang bersikap objektif, keadaan ini rumit sekali. Pengkaji harus mencari semua dokumen yang sahih dalam pelbagai bentuk untuk membuat satu justifikasi tentang keterangan tersebut. Kerap kali, para pembaca akan berasa ragu dengan pendapat pengkaji seperti itu. Hal ini disebabkan pendapat yang sukar diubah yang diasaskan oleh pejuang gerakan radikal itu telah tersebar luas dan dipercayai dengan sepenuhnya oleh pembaca. Pendapat baru yang mungkin bertentangan dengan pendapat itu akan dipersoalkan; tambahan pula jika pendukung gerakan radikal itu telah menjadi tokoh sejarah dan masyarakat yang penting.

Keadaan ini sangat berbeza dengan seseorang pengkaji yang menerima terus tulisan dan pendapat pendukung-pendukung gerakan radikal itu. Tambahan pula jika pengkaji itu bergantung semata-mata pada tokoh-tokoh radikal yang masih hidup, yang telah diterima sebagai legenda dan kadang-kadang terus penting dalam masyarakat. Tulisan seperti ini selalunya bersifat popular akan dilancarkan dan dihebahkan ke seluruh negara. Ini akan melahirkan suatu keadaan yang kadang-kadang bertentangan dengan sejarah yang telah berlaku. Kesarjanaan tulisan seperti ini tentunya akan terjejas kerana memberi interpretasi yang salah.

Buku ini cuba untuk memberikan suatu perspektif berdasarkan kajian akademik yang bertanggungjawab terhadap gerakan radikal Melayu sebelum perang sehingga pembentukan Malaysia. Dengan menggunakan rekod-rekod rasmi, akhbar-akhbar sezaman dengannya, temu ramah dan memoir, di samping tulisan tulisan sekunder seperti buku, kertas kerja seminar dan majalah, buku ini cuba melahirkan suatu keseimbangan dalam membina semula sejarah kegiatan radikal ini. Penelitian terhadap sumber sumber itu memberikan suatu bentuk perkembangan, ideologi dan permasalahan dalam gerakan radikal yang tidak diutarakan atau diberi penekanan oleh pendukungpendukung golongan ini dalam tulisan-tulisan mereka.

Gerakan Radikalisme di Malaysia (1938-1965) diharap dapat memberikan suatu kronologi dan perkembangan sejarah gerakan golongan radikal Melayu di negara ini. Di samping itu juga, buku ini cuba memberikan interpretasi baharu yang dapat memperkaya lagi horizon pemikiran masyarakat pembaca terhadap kegiatan golongan radikal.

Weight0.596 kg
Dimensions21.5 × 14 × 2.5 cm
Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.