Sebuah penerbitan berkala di Malaysia yang memberi tumpuan kepada perihal budaya. Diterbitkan empat kali setahun, Svara (Isu 12) sebahagiannya menghimpunkan esei-esei panjang, cerpen dan sajak daripada pelbagai penulis meliputi hal-hal berkaitan kritik sastera, filem, muzik, wawancara dan lain-lain. Menghiasi muka depan ialah “Sayap Jibril”, sebuah fotograf oleh Zarif Ismail, yang mendorong dan merujuk kita kepada sebuah esei dengan judul sama seperti yang tertera, tulisan Mad Koy, berkaitan pemerhatian terhadap gejolak gelombang TikTok dan PAS/PN ketika PRU15 lalu.
Isu Svara kali ini juga menampilkan Pauline Fan sebagai editor tamu, dengan tema “Tanah” yang menghimpunkan tujuh tulisan dan terjemahan seputar hal itu, termasuk penulisan berkaitan budaya/pensejarahan Sabah dan Sarawak. Ada juga pemerhatian tentang tubuh dan psiki perempuan oleh Azielahaneem Idris, serta cerita Bulat, seekor beruk yang menghampar kepada kita persoalan biodiversiti yang lebih luas oleh Amir Imran (sekadar menyebut beberapa nama); kedua-duanya penulis yang pertama kali hasil kerja mereka diterbitkan dalam bentuk sedemikian oleh Svara.
Reviews
There are no reviews yet