Fiqh al-TaꜤayush Malaysia dalam Konteks Hubungan Sosio-Agama mengadunkan Ꜥurf, realiti dan keperluan hubungan sosio-agama tempatan yang berkonsepkan integrasi mesra berasaskan ikatan Kontrak Sosial dalam Perlembagaan Persekutuan yang melatari sejarah kemajmukan dan menjiwai prinsip-prinsip kesejagatan Islam dalam bertaꜤayush. Bersesuaian dengan fiqh yang kukuh dalam soal prinsip dan bersifat anjal dari sudut pelaksanaan yang biasanya dipengaruhi oleh faktor persekitaran, maka pentafsiran yang mengambil pendekatan tempatan sejauh yang dibenarkan oleh teori Ꜥurf diaplikasikan dalam buku ini sebagai hidangan istimewa buat masyarakat Malaysia yang dahagakan solusi kelestarian hubungan sosio-agama. Kemajmukan Malaysia yang terbentuk hasil dari perkembangan beberapa peristiwa yang melatari sejarah negara telah mewarnai keunikan hubungan sosio-agama tempatan. Kerencaman budaya, undang-undang negara dan isu-isunya yang tersendiri telah mencabar keintelektualan sarjana Islam sehingga munculnya seruan melestarikan hubungan sosio-agama menerusi pendekatan Fiqh al-TaꜤayush Malaysia. Walau bagaimanapun, konsep fiqh kontemporari yang dicanang sebagai solusi kelestarian hubungan sosio-agama ini sering tersirna dengan konsep fiqh hubungan kemasyarakatan silam atau di luar konteks tempatan.
Konsep Fiqh al-TaꜤayush kian popular di Malaysia setelah ia mula diwar-warkan oleh Asyraf Wajdi selaku Menteri Agama pada tahun 2017 sekali gus menjadi seruan dalam kalangan sarjana terutamanya pada awal tahun 2018 setelah Tahun Baharu Cina menjadikan anjing sebagai pelambangan dan kemuncaknya ketika himpunan ICERD. Realitinya di Malaysia, fiqh kontemporari ini sebagaimana dijelaskan dalam literatur, ia sering diimplementasikan oleh sesetengah pihak secara kosmetik luaran yang mana dalamannya masih lagi terkesan dengan latar belakang yang berbeza daripada realiti tempatan. Keunikan Malaysia dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan polarisasi kaum hasil peninggalan penjajah melalui pendekatan integrasi dengan meraikan kepelbagaian di samping mendaulatkan dasar afirmatif yang berpaksikan Kontrak Sosial serta bersendikan undang-undang Perlembagaan dan Rukun Negara di samping perbezaan adat dan budaya tempatan sudah pasti menatijahkan realiti dan hukumnya yang tersendiri.
Serentak dengan seruan Fiqh al-TaꜤayush juga, muncul tindakan-tindakan kontroversi daripada umat Islam itu sendiri yang dilihat bercanggah dengan Ꜥurf dan tuntutan hubungan sosio-agama tempatan. Kebanyakan orang Islam di Malaysia lebih gemar memencilkan diri dalam kelompok sendiri. Mereka kurang tahap sensitiviti kepelbagaian, kurang berinteraksi dengan orang bukan Islam sekali gus memupuk jarak sosial dan mampu melahirkan generasi Muslim yang cacat apabila berhadapan dengan masyarakat berlainan agama. Kewujudan dobi mesra Muslim yang mengkhususkan penggunaannya hanya untuk orang Islam, sembelihan lembu di sekolah kebangsaan secara terbuka, perarakan kepala lembu, pembakaran gereja, seruan membakar Bible terjemahan Melayu, pencerobohan kuil dan penghinaan terhadap agama lain adalah merupakan antara tindakan yang tidak mesra hubungan sosio-agama dalam konteks tempatan. Selain itu, persaingan berbentuk keeksklusifan keterlaluan khususnya orang Islam juga telah membawa kepada salah faham dan ketegangan. Malah hanya segelintir orang Islam sahaja yang menyatakan kesanggupan mereka untuk makan bersama dengan penganut agama lain, sedangkan penganut agama lain tidak mempunyai masalah untuk makan mahupun tinggal bersama dengan orang Islam.
Ternyata sikap sebegini menyebabkan orang bukan Islam terus menjadi salah faham tentang Islam, walaupun mereka sudah lama hidup bersama-sama dengan orang Islam. Dari sudut yang lain pula, tampil pelbagai tindakan umat Islam yang dilihat cenderung kepada fahaman liberal dalam konteks hubungan sosio-agama tempatan seperti menghadiri perayaan bukan Islam di rumah ibadat mereka, melakukan ritual agama bukan Islam, berkabung atas kematian orang bukan Islam dengan doa kesejahteraan, candlelight vigil dan nyanyian, keberadaan orang Islam sepentas bersama orang bukan Islam dalam majlis bacaan doa secara bergilir-gilir, berbuka puasa di rumah ibadat bukan Islam, pengagihan daging korban untuk orang bukan Islam serta terlibat dalam upacara memasak sakkarai pongal dalam pesta Ponggal. Di pihak lain pula, muncul pelbagai provokasi dan pertikaian terhadap kedudukan agama Islam dan hak istimewa Melayu yang sering dibangkitkan oleh golongan bukan Islam. Kepelbagaian tindakan ini secara tidak langsung memaparkan kecelaruan dalam melestarikan hubungan sosio-agama tempatan. Tanpa menafikan pelbagai faktor boleh dikaitkan, buku ini hanya memfokuskan tentang ketidakjelasan konsep Fiqh al-TaꜤayush Malaysia itu sendiri dalam melestarikan hubungan sosio-agama tempatan.
Reviews
There are no reviews yet