Ḥizb al-Baḥr: Tradisi dan Peng‘amalannya di ‘Alam Melayu satu usaha untuk mengumpul ma‘lumat berkaitan Ḥizb al-Baḥr yang disusun oleh al-Imām Abū al-Ḥasan ‘Alī ibn ‘Abdi’Llāh al-Shādhilī yang tertumpu kepada tradisi dan peng‘amalannya di ‘Alam Melayu. Ma‘lumat yang cuba ditampilkan dalam buku ini adalah meliputi peng‘amalan, sanad dan pembudayaan Ḥizb al-Baḥr di kalangan ‘ulama Melayu serta keberadaannya dalam manuskrip-manuskrip serta kitab-kitab Jawi cetakan terdahulu. Selain itu, perkara yang disentuh juga adalah berkaitan pengaruh Ṭarīqat al-Shādhiliyyah di ‘Alam Melayu yang melibatkan peranan ‘alim ‘ulama Melayu dalam menerapkan pengajaran ṭariqat ini. Perkembangan tradisi peng‘amalan Ḥizb al-Baḥr adalah seiring dengan peng‘amalan Ṭarīqat al-Shādhiliyyah yang diasaskan oleh Quṭb al-Rabbānī al-‘Ārif bi’Llāh al-Imām Abū al-Ḥasan ‘Alī al-Shādhilī.
Ṭarīqat ini telah masyhur di serata dunia antaranya di Tunisia, Mesir, Algeria, Sudan, Syria, Semenanjung Tanah Arab, Indonesia khususnya di wilayah Jawa Tengah dan Jawa Timur serta di Malaysia. Ia juga diakui serta diwarithi oleh para ‘ulama yang mashhur seperti al-Imām Abu ‘Abdu’Llāh Muhammad bin Fattāh bin Abd al-Rahmān bin Sulaymān al-Jazūlī (pengarang kitab Dalā’il al-Khayrāt), al-Imām ‘Abd al-Wahhāb al-Sha’rānī, al-Imām Jalāl al-Dīn al-Suyuṭī (pengarang Tafsīr al-Jalālayn), al-Imām Abu ‘Abdu’Llāh Muhammad ibn Sa‘īd al-Busīrī (pengarang Qasīdah Burdah), Sulṭān al-‘Ulamā’ ‘Izz al-Dīn ibn ‘Abd al-Salām (‘alim besar madhhab al-Shāfi‘ī), al-Imām al-‘Ārif bi’Llāh ibn Aṭā’i’Llāh al-Sakandarī (pengarang kitab Ḥikam yang mashhur), al-Imām al-‘Ārif bi’Llāh Aḥmad Zarrūq al-Fāsī, al-Imām al-‘Ārif Aḥmad ibn Muṣṭafā al-‘Alawī, al-Imām al-‘Ārif bi’Llāh ‘Abd al-Qādir ‘Īsā (pengarang kitab Ḥaqā’iq ‘an al-Tasawwuf) dan ramai lagi.
Bagi peng‘amal Ṭarīqat al-Shādhiliyyah, Ḥizb al-Baḥr merupakan antara wirid yang di‘amalkan setiap hari di samping pembacaan satu juzu’ al-Qur’an sepertimana yang dinuqilkan daripada kitab Awrād al-Ṭarīqat al-Shādhiliyyah, iaitu berkata al-Imām Aṭā’i’Llāh al-Sakandarī: “ia merupakan wirid yang di‘amalkan selepas sembahyang ‘Asar sebagaimana yang disusun oleh al-Imām Abū al-‘Abbās al-Mursī.” Ḥizb al-Baḥr juga diamalkan oleh sejumlah ‘ulama yang mashhur dalam sejarah dunia sama ada dari peng‘amal Ṭarīqat al-Shādhiliyyah ataupun dari ṭarīqat yang lain. Quṭb al-Irshād al-Imām al-Habīb ‘Abdu’Llāh al-Ḥaddād juga meng‘amalkan Ḥizb al-Baḥr yang kebiasaannya di‘amalkan selepas ‘Asar.
Sebagaimana yang dima‘lumi, al-Imām ‘Abdu’Llāh al-Ḥaddād merupakan pengikut kepada Ṭarīqat al-‘Alawiyyah dan mempunyai wirid dan dhikir yang disusun oleh beliau sendiri, antara yang mashhur ialah Wird al-Laṭif dan Rātib al-Ḥaddād. Namun begitu beliau juga meng‘amalkan Ḥizb al-Baḥr dan ini dapat dilihat melalui kitab al-Dhikr al-Jāmi‘ wa al-Wird al-Nāfi‘ yang disusun oleh muridnya, al-Ḥabib ‘Umar bin ‘Abdu al-Raḥman bin ‘Umar al-Bār. Beliau telah membacakan seluruh isi kitab ini di hadapan al-Imām ‘Abdu’Llāh al-Ḥaddād dan gurunya itu telah memuji kitab ini dan memberi judul serta kata penutup. Di ‘Alam Melayu, Ḥizb al-Baḥr juga di‘amalkan oleh sejumlah ramai ‘ulama yang mashhur yang berṭarīqat al-Shādhiliyyah atau selainnya. Antara mereka adalah merupakan ‘ulama yang memiliki pengaruh yang besar dalam perkembangan dan tradisi keilmuan Islam di ‘Alam Melayu.
Reviews
There are no reviews yet