Barat daripada Cerminan Watan: Gelintaran Fikir al-Attas dan Za’ba merupakan sebuah usaha menggandingkan kesungguhan intelektual kedua-dua tokoh iaitu al-Attas dan Za’ba berhubung dengan subjek peradaban Barat. Kedua-duanya, lebih-lebih lagi al-Attas bolehlah dikatakan berada di barisan hadapan ilmuan tempatan dan antara yang terawal dalam memberikan banyak komentar, kritikan bahkan hujahan balas (counter argument) terhadap hegemoni Barat. Maka, ketulenan pandangan mereka dapatlah dicungkil sebagai mewakili cerminan keaslian fikiran watan dalam rangka memahami Barat daripada sudut falsafah dan teologinya. Manakala Za’ba sebagai ilmuan yang lahir daripada sistem pendidikan turath dan kontemporari yang pada zamannya sering terpisah turut mengkritik Barat sebagai kawan dan lawan bagi peradaban Melayu-Islam. Beliau menyinggung faham Barat dalam masalah teologi, pendidikan dan kehidupan amnya. Kedua-dua tokoh ini telah memainkan peranan besar terhadap perkembangan dan penerokaan disiplin falsafah dan ketamadunan yang berlegar di Alam Melayu.
Menjelang abad ke-19, hampir keseluruhan tanah di dunia telah menerima pendaratan Barat. Begitu juga budaya dan masyarakat ketanahan berkenaan ikut serta menyambut nilai-nilai yang dihamburkan ke atas mereka. Kedatangan Barat telah mengundang respons nyata daripada beberapa sisi; pertama telah memunculkan gerakan penentangan dan semangat nasionalisme tempatan, kedua; lebih halus lagi ialah, kelahiran gerombolan para pengkagum Barat yang terdiri daripada peribumi tempatan. Satunya penentangan fizikal tanpa disiplin dan kecukupan rohani dan jasmani, manakala yang kedua, penerimaan secara borong dan semberono terhadap segala yang datang daripada Barat tanpa menyaringnya secara rasional. Satunya menghalau Barat atas semangat nasionalisme yang tinggi, dan satu lagi menerima Barat malah terpesona dengan kelengkapan moden mereka.
Di sela-sela respons yang saling kontradiksi inilah, muncul gerakan ilmiah yang sihat, rasional dan substansif yang melakukan percubaan mencipta sintesis baharu sebagai alternatif menampung kelemahan pendekatan yang diambil oleh gerakan sebelumnya yang gagal bersikap terhadap Barat dengan rasional. Golongan ini melepaskan diri daripada sikap prejudis dan emosional. Merekalah yang memimpin gerakan tajdid dan keilmuan yang berpedoman kepada semangat hormat dan kritis dalam menanggapi Barat. Zainal Abidin bin Ahmad (Za’ba) dan Syed Muhammad Naquib al-Attas antara yang terkehadapan dalam gerakan ini, melancarkan ajuan mereka melalui lisan dan tulisan.
Reviews
There are no reviews yet