Perkembangan Tarekat Sufi di Pahang menelusuri perkembangan tarekat sufi sejak abad ke-15 dan 16 di Pahang yang menerima pengaruh dari Melaka dan Aceh, dengan pembawaan aliran Wahdah al-Wujud. Kemasukan agama Islam di Pahang diselitkan dengan ajaran tarekat sufi yang menjadi aliran penting waktu itu. Pengaruh ajaran tarekat sufi di Pahang ini jika diamati datang daripada dua kerajaan kesultanan Melayu, iaitu Melaka dan Aceh. Rentetan daripada itu, banyak kitab tasawuf telah dipelajari oleh ramai ulama Pahang dengan cara mengikuti pengajian sama ada di Melaka atau di Aceh dan sesetengahnya dibawa masuk untuk dipelajari oleh murid-murid pondok ketika itu. Pengajian tasawuf dan tarekat sufi berteraskan dua aliran atau bentuk, iaitu aliran Wahdah al-Wujud dan Martabat Tujuh pada satu pihak, manakala aliran Wahdah al-Syuhud pada satu pihak yang lain. Pada akhirnya, ajaran sufi yang diterima telah mempengaruhi perkembangannya di Pahang apabila berlaku pertembungan konflik pemikiran antara dua ulama besar ketika itu, iaitu Tok Mengkarak (1630-1730) dan Tok Shihabuddin bin Zainal Abidin al-Fahani (1650-1770).
Berdasarkan pengamatan oleh para sarjana dan penulis sejarah, ajaran tasawuf pertama yang sampai ke Pahang adalah dalam bentuk ajaran Wahdah al-Wujud dan Martabat Tujuh. Dalam hal 1n1, ajaran tasawuf Wahdah al-Wujud dan Martabat Tujuh merupakan ajaran yang terawal sampai di Pahang dan menjadi dominan beberapa ketika sehingga kemudiannya digantikan pula dengan tasawuf ajaran Wahdah al-Syuhud yang dibawa oleh Tok Shihabuddin dari Kampung Berhala Gantang, Temerloh. Peralihan daripada ajaran tasawuf yang berbentuk Wahdah al-Wujud dan Martabat Tujuh ke ajaran tasawuf berbentuk Wahdah al-Syuhud ini merupakan hasil usaha yang dilakukan oleh seorang tokoh ulama terkenal, iaitu Tok Shihabuddin bin Zainal Abidin al-Fahani bersama-sama para pengikutnya. Beliau bersama-sama anak dan muridnya sangat aktif berdakwah di Temerloh, Pahang dan kawasan di sekitarnya sehingga berjaya mengubah pengajian Martabat Tujuh kepada aliran Wahdah al-Syuhud yang murni.
Pemikiran daripada kedua-dua aliran ini telah membentuk suatu pandangan baharu dalam memperkenalkan tasawuf ke Pahang. Perkembangan tarekat sufi yang bermula dari abad ke-16 hingga ke hari ini terus berkembang dan semakin menarik minat ramai. Harus diakui, institusi tarekat sufi merupakan salah satu institusi penting dan agak berpengaruh di negeri tersebut. Di Pahang, institusi tarekat sufi diterima baik oleh masyarakat dan pihak pemerintah sama ada institusi istana mahupun pihak kerajaan negeri. Keadaan ini secara tidak langsung merancakkan lagi arus pembangunan dakwah dan agama Islam di negeri Pahang.
Reviews
There are no reviews yet