Ku Li: Memoir 205 memperagakan banyak perkara belakang tabir, terutama hal berkait hubungan Ku Li dengan empat tokoh awal pemimpin negara—Tunku, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, dan Tun Hussein Onn. Memoir ini memperlihatkan keikhlasan Ku Li berjuang untuk negara, jauh melangkaui keperluan dan kepentingan diri sendiri. Selain berkhidmat tanpa ganjaran, beliau berterusan menolak pangkat dan jawatan, baik dalam politik, mahupun kerajaan. Ku Li atau Tengku Razaleigh Tengku Mohd. Hamzah ialah putera kerabat Kelantan dari jalur keturunan Long Yunus yang memerintah negeri sehingga 1794, Lahir pada 1937, doktor ialah cita-citanya sejak kecil, namun hala tujunya berubah selepas lapan hari di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Pada 1955, ketika perjuangan negara membebaskan diri daripada belenggu penjajah hampir mencapai kemuncak, Ku Li dihantar ayahnya meninggalkan Tanah Melayu ke Belfast di Ireland.
Selepas tamat ijazah pertama pada 1958, Ku Li menyambung pengajian undang-undang di London. Namun pada Februari 1962, biar tinggal berbaki hanya satu peperiksaan, beliau terpaksa bergegas pulang. Berlaku peristiwa besar, sekali gus titik tolak yang mengubah serta-merta jalan kehidupan. Pada usia 25 tahun, Ku Li yang asalnya tidak pernah berhajat menyertai politik, mengalah apabila dipujuk Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk menyelesaikan misi besar menebus maruah UMNO. Sebagai persediaan, beliau dilantik senator dan dihantar mewakili negara ke Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-17 pada 1962. Namun takdir untuknya berliku sejak awal. Baru sehari tiba, jawatan senator dibatalkan dan lebih malang, beliau ‘terkandas’ empat bulan di New York dalam keadaan bersabung nyawa.
Ku Li hanya bertanding pilihan raya pada 1969, selepas Tunku ‘murka’ dan hampir putus asa memujuknya (berkali-kali). Ku Li hanya bersetuju menyertai Kabinet sebagai menteri pada 1976, menerusi ‘wasiat’ Tun Razak ketika nazak selepas kecewa memujuknya (berkali-kali). Di penghujung, hanya tinggal Hussein yang ‘gagal’. Dua kali Ku Li menolak permintaannya. Pertama pada 1976 apabila diminta mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri, dan kedua pada 1981 apabila didesak menggantikannya sebagai Perdana Menteri.
Reviews
There are no reviews yet