Rahib Hitam dan Kekacauan Jiwa merupakan dua buah cerpen penjang tulisan Anton Chekhov, yang cuba mengkaji keadaan mental seseorang individu berhadapan dengan egoisme, moraliti dan kerancuan paradigma dunia. Mempunyai kerjaya sebagai seorang doktor dan menganggap sastera sebagai ‘perempuan simpanannya’, Chekov memainkan peranan penting di dalam mempengaruhi bidang drama dan cerpen melalui realisme dan simbolisme yang diterapkan di dalam karya-karyanya. Kedua-dua cerpen ini menunjukkan minat Chekhov untuk memahami psikologi manusia. Menerusi watak dan perwatakan yang nampaknya biasa, Chekhov menerokai kerumitan penyakit mental yang meninggalkan dampak mendalam kepada pembacanya.
Rahib Hitam memperkenalkan watak Kovrin, seorang pelajar falsafah yang terjerat dengan halusinasi. Suatu bayangan misteri, Rahib Hitam, muncul kepadanya, menyalakan delusi keagungan dan pengasingannya. Kovrin percaya dirinya seorang genius yang ditakdirkan untuk suatu keagungan, sementara Rahib itu membesarkan keraguan dan kegelisahannya. Apabila garisan antara realiti dan fantasi menjadi kabur, kesihatan mental Kovrin merosot, membawa kepada gangguan mental dan rawatan. Cerita ini meninggalkan kita tertanya-tanya sama ada Rahib itu ciptaan minda Kovrin yang bermasalah atau suatu pemangkin kepada kemerudumannya.
Kekacauan Jiwa menyelidiki psikologi Vasilyev yang terseksa, seorang lelaki yang dibebani rasa bersalah dan malu. Selepas mengunjungi rumah pelacuran, dia menjadi taksub dengan “wanita-wanita yang tidak berdaya” dan penderitaan mereka. Mindanya mencipta khayalan yang mengganggu, mengaburkan garisan antara perbuatannya dan akibat yang dibayangkan. Ketakutan menguasainya, membawa kepada gangguan mental. Cerita ini menelusuri kuasa rasa bersalah dan tekanan masyarakat untuk memutarbelitkan persepsi dan mencetuskan keruntuhan mental.
Reviews
There are no reviews yet