Alternatif Ekonomi Islam: Perspektif Kritis dan Haluan Baru menilai ekonomi Islam, iaitu teori, andaian, konsep, dan alternatif yang dikemukakan oleh ekonomi ini secara kritis. Di samping perbincangan kritis tertumpu kepada Islamisasi sezaman dan kepentingan melindungi dasar ekonomi tersebut, buku ini menganalisis pertalian semasa alternatif dasar progresif yang didorong oleh norma kesusilaan atau kebenaran ekonomi Islam. Secara menyeluruh, rencana-rencana dalam buku ini meninjau alternatif-alternatif ekonomi Islam secara kritis dari dua segi. Pada suatu pihak, beberapa makalah, terutamanya tulisan pembukaan oleh Timur Kuran, mengkritik tulisan-tulisan kini yang kononnya mengemukakan, membincangkan dan menjelaskan alternatif ekonomi Islam. Di pihak lain pula, sebahagian besar dari tulisan ini saling melengkapi dalam menerokai jalan ke arah apa yang dikemukakan sebagai alternatif ekonomi Islam yang lebih menyeluruh, sahih dan progresif, berdasarkan kepada utusan Islam dan diilhamkan olehnya khususnya prinsip-prinsip etikanya. Ini bukannya bermakna terdapat suatu sistem ekonomi Islam tetap yang termaktub dan dijelaskan secara tepat dan khusus.
Sebaliknya, beberapa jenis hubungan, institusi dan struktur ekonomi, yang konsisten dengan prinsip berkenaan, boleh difikirkan secara teoritis. Lebih tepat lagi, pendekatan yang dikembangkan dalam buku ini membolehkan pelbagai susunan ekonomi yang seharusnya dibentuk mengikut konteksnya, iaitu dengan mengambil kira warisan ekonomi, keadaan ekonomi dan persekitaran ekonomi yang dihadapi. Begitu juga, sebahagian besar daripada para penulis ini tidak berpendapat bahawa Islam telah memperkembangkan suatu aliran pemikiran ekonomi yang khusus, melainkan dengan maksud sempit yang dihujahkan oleh Baqir Al-Sadr. Dari satu segi, ini bermaksud Islam tidak perlu membina semula teori ekonominya yang tersendiri. Tetapi, ini juga tidak bermakna bahawa pemikiran sebalik alternatif ekonomi Islam yang dikemukakan dalam buku ini bersifat rambang ataupun rojak. Malah, soal usuluddin serta falsafah yang terlibat tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Bagaimanapun, nampaknya, perspektif ekonomi Islam yang sejati jelas lebih konsisten dengan teori nilai (dan agihan) kerja, bukannya dengan teori kepuasan marginal atau pemilihan subjektif, iaitu teori neoklasik.
Reviews
There are no reviews yet