Islam dan Emansipasi Wanita bertujuan untuk membincangkan emansipasi atau kebebasan wanita secara lebih mendalam, serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Matlamat buku ini adalah untuk mencari idea-idea baru yang boleh diguna pakai bagi memperbaiki status dan kedudukan wanita dalam masyarakat. Pembebasan wanita dan persamaan hak merupakan suatu isu yang menjadi perdebatan hebat dalam kalangan wanita moden pada masa ini. Islam dan Emansipasi Wanita memberi tumpuan kepada fenomena yang berlaku, akibat pergolakan semasa dan salah faham terhadap kebebasan menyebabkan wanita khususnya, terheret sama dengan arus kebangkitan moden sama ada ia dipengaruhi oleh pihak luaran atau masalah dalaman wanita itu sendiri dalam memperjuangkan hak mereka, yang pada andaiannya didiskriminasikan oleh pihak lelaki. Berlatarbelakangkan masalah wanita dengan isu pembebasan dalam bidang pendidikan, pekerjaan, sosial, hak-hak wanita dalam sistem kekeluargaan dan sebagainya, isu ini menjadi perdebatan dalam kalangan penyokong emansipasi dan ia telah menular dalam kalangan masyarakat Islam sendiri.
Islam dan Emansipasi Wanita juga bertujuan untuk melihat dan menilai status wanita dalam menuntut hak-hak tersebut. Permasalahan tentang isu tersebut pada masa ini telah agak serius kerana terdapat ramai dalam kalangan intelektual wanita menentang secara terbuka terhadap beberapa perkara berkaitan dengan hukum Allah seperti mempertikaikan pembahagian harta pusaka, poligami dan sebagainya. Mereka berselindung di sebalik undang-undang sivil untuk mencapai kehendak mereka. Oleh itu, perlu dicari satu kaedah yang boleh diguna pakai bagi membanteras permasalahan ini daripada terus menghantui pemikiran wanita, khususnya wanita Islam. Islam dan Emansipasi Wanita hanya memfokuskan emansipasi atau kebebasan wanita yang merujuk kepada gerakan pembebasan wanita Barat atau feminisme dan gerakan pembebasan wanita Islam di Iraq, Mesir, Turki dan Iran dengan tumpuan kepada beberapa perkara yang menjadi tuntutan gerakan pembebasan wanita, terutamanya dari sudut ekonomi, politik dan pendidikan. Begitu juga dengan gerakan pembebasan wanita Islam yang menuntut persamaan dari sudut perceraian, poligami dan pembahagian harta pusaka serta pengecaman terhadap ketidakadilan yang berlaku dalam sistem patriarch.
Walau bagaimanapun, Islam dan Emansipasi Wanita turut memaparkan kajian lapangan yang dibuat terhadap sekumpulan pelajar dan kakitangan yang dibahagikan kepada kakitangan akademik dan kakitangan bukan akademik di Shah Alam, Selangor bagi melihat pemahaman mereka terhadap persoalan tentang emansipasi wanita. Kajian ini menggunakan metodologi pengumpulan data yang melibatkan pengedaran borang soal selidik dan observasi. Emansipasi berasal daripada perkataan Inggeris “emancipate“, tetapi elah dimelayukan menjadi “emansipasi”. Perkataan ini telah diterima pakai penggunaannya dalam Kamus Dewan. “Emansipasi Wanita” atau juga dikenali dengan “Women’s Liberation” atau “Women’s Rights” atau “Feminisme” ialah istilah-istilah yang diterima pakai serta mempunyai kaitan dengan gerakan pembebasan wanita. Huraian istilah berdasarkan istilah-istilah tersebut perlu dibuat untuk mencari maksud sebenar “emansipasi wanita” dan hubung kait wanita dengan masyarakat. Istilah “emansipasi” menurut Kamus Dewan membawa maksud: (i) pembebasan dari perhambaan, dan (ii) pemberian hak yang sama dengan hukum (wanita mendapat hak yang sama dengan lelaki). Menurut Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan, emansipasi didefinisikan sebagai: (i) pembebasan dari perhambaan, dan (ii) persamaan hak.
Menurut Kamus Inggeris Melayu Dewan, “emancipate” (verb): membebaskan, “emancipated” (adjective): bebas dan “emancipation” (noun): pembebasan atau kemerdekaan. The emancipation of women: pembebasan wanita. Emansipasi wanita membawa maksud pembebasan wanita daripada prasangka, kongkongan dan lain-lain. Manakala “Emancipate” menurut Longman Dictionary of English Language and Culture ialah “to make free socially, politically, or legally” dan “Emancipation” pula bermakna “the emancipation of slaves/women“. Dalam Lexicon Webster Dictionary, menyatakan “emancipate” membawa erti “to restore from bondage to freedom, a free from bondage to liberate from subjection, controlling power or influence“. Sementara Webster’s New World Dictionary menyatakan “emancipate” ialah “to set free as from parental control, from slavery or from a ruling habit“. Pengisytiharan pembebasan telah dibuat oleh Presiden Abraham Lincoln pada September 1862 dan berkuat kuasa pada 1 Januari 1863 bagi menamatkan penindasan dalam negeri-negeri Gabungan Amerika semasa berlakunya perang di Amerika dengan termeterainya 13th Amendment. Kesimpulannya, emansipasi wanita membawa maksud wanita bebas daripada sebarang kongkongan sama ada dari aspek ekonomi, sosial dan politik.
Reviews
There are no reviews yet