Ahmad Rashid Talu: Sasterawan Mendahului Zaman merupakan kumpulan kertas kajian yang mengetengahkan pandangan alam dan budaya fikir tokoh bernama Ahmad bin Haji Muhammad Rashid Talu, atau lebih dikenali dengan panggilan Ahmad Rashid Talu atau Ahmad Talu Ahmad Bogol. Talu di hujung namanya adalah nama suatu tempat di Sumatera, iaitu tempat asal usul keluarganya. Beliau telah dilahirkan di Lorong Lumut (Lumut Lane), Pulau Pinang pada tahun 1889. Orang tuanya berasal dari Sumatera. Terdapat juga pendapat lain yang mengatakan bahawa Ahmad Rashid Talu telah dilahirkan di sebuah kampung bernama Talu di Sumatera. Beliau kemudiannya dibawa ke Pulau Pinang oleh keluarganya dan tinggal di Lorong Lumut. Ahmad Rashid Talu suka mengembara ke beberapa buah negeri di Tanah Melayu. Sungguhpun Ahmad Rashid Talu suka mengembara, namun Pulau Pinang telah memberi kesan yang besar kepada kehidupannya. Sebagai sebuah jajahan Inggeris yang maju, Pulau Pinang telah menjadi suatu dataran pertemuan pelbagai lapisan masyarakat dengan pelbagai latar kehidupan.
Kepelbagaian ini telah membuahkan pelbagai aliran fikiran yang membincangkan pelbagai isu pula. Salah satu tempat yang menampung kepelbagaian itu ialah Lebuh Aceh (Acheen Street). Tempat ini telah melahirkan suatu iklim perkembangan intelektual yang pesat. Kawasan ini menjadi tumpuan pelbagai kegiatan, daripada kegiatan berpersatuan sehingga kepada kegiatan ekonomi antarabangsa. Begitu juga dengan kegiatan intelektual. Wujud beberapa kedai buku yang menjual beraneka buku terbitan dari Indonesia dan juga Timur Tengah dan tidak kurang daripada penerbit-penerbit tempatan. Keadaan ini telah memberi peluang kepada Ahmad Rashid Talu untuk belajar dan mengembangkan daya fikirnya melalui perbincangan ilmu dan pembacaannya yang luas sehingga menjadikannya sasterawan yang progresif.
Pengenalannya dengan beberapa tokoh seperti Syed Syeikh al-Hadi telah mengubah hidup Ahmad Rashid Talu. Hubungannya dengan Syed Syeikh al-Hadi telah mendorongnya untuk menghasilkan novel yang membawa fikiran yang ke hadapan khususnya dalam konteks emansipas wanita dan untung nasib masyarakat Melayu di Pulau Pinang Tertubuhnya beberapa syarikat percetakan seperti Mercantile Press, The United Press, Jelutong Press dan Persama Press merancakkan lag penerbitan novel di Pulau Pinang. Sehubungan dengan tertubuhny beberapa syarikat percetakan maka muncul beberapa akhbar dan majalah di Pulau Pinang seperti Idaran Zaman, Malaya, Al-Ikhwan, Saudara dan Persahabatan yang antaranya menampung fragmen-fragmen novel yang ditulis oleh sasterawan-sasterawan seperti Ahmad Rashid Talu.
Ahmad Rashid Talu telah menulis antara tahun 1920-an hingga 1930-an. Beliau telah melahirkan 6 buah novel dan 3 buah novelet. Novel sulungnya diterbitkan pada tahun 1927, iaitu Kawan Benar, diikuti dengan Iakah Salmah? (1929), Dua Belas Kali Sengsara (1929), Siapa Jahat? atau Datuk Cencano Perompak yang Termashor (1929), Rahmah binti Abdullah atau Peti Rahsia (1933 – hanya satu penggal bercetak) dan Perangkap Hitam atau Kelawar Pulau Pinang (1934). Tiga noveletnya ialah Silap atau Ciu yang Taat (1934), Sedih atau Riwayat Sekapur Sirih (1935), dan Dua Kali Selamat atau Selamah yang Beruntung (1935).
Dua aspek penting telah dikemukakan oleh Ahmad Rashid Talu sebagai seorang sasterawan yang progresif, iaitu persoalan-persoalan yang dikemukakan dan teknik penulisan yang digarapkan. Antara persoalanpersoalan yang dibincangkan oleh Ahmad Rashid Talu ialah emansipasi wanita, kelemahan-kelemahan masyarakat Melayu, kebaikan pendidikan Inggeris dan sikap golongan tua yang menghalang kemajuan. Sungguhpun persoalan tentang emansipasi tentang wanita telah pun dibincangkan oleh Syed Syeikh al-Hadi dalam novelnya Hikayat Faridah Hanom namun Ahmad Rashid Talu telah memberi pewarnaan yang berbeza tentang emansipasi wanita dalam Iakah Salmah?. Ahmad Rashid Talu telah memberi pewarnaan tempatan dalam Iakah Salmah?. Sedangkan Hikayat Faridah Hanom membawa latar luar, iaitu Mesir sebagai latar masyarakat dan tempat untuk mewarnai emansipasi wanitanya.
Persoalan tentang emansipasi wanita mendapat perhatian Ahmad Rashid Talu kerana angin perubahan yang dibawa oleh golongan muda atau Kaum Muda sedang bertiup kencang pada ketika itu. Kedudukan wanita yang terkebelakang telah dibela, Mereka disarankan mendapat pendidikan yang setaraf dengan lelaki. Salmah adalah watak utama dalam novel Ilakah Salimah? yang diperlihatkan mempunyai pelbagai kelebihan seperti pendidikan yang tinggi, keupayaan berhujah dengan golongan tua dan kebebasan memilih jodoh sendiri. Melalui Salmah juga, Ahmad Rashid Talu berpesan kepada masyarakat Melayu supaya memburu kemajuan dan menghindar amalan-amalan yang negatif seperti bermalasmalasan, berdengki sesama sendiri, mengamalkan kepercayaan yang karut lagi merugikan. Ahmad Rashid Talu menggesa masyarakat Melayu supaya cemburu kepada kemajuan yang dicapai oleh bangsa-bangsa asing, bermuafakat untuk mencapai kemajuan dan menerima pendidikan Inggeris sebagai tiket memajukan diri.
Novel-novel Ahmad Rashid Talu juga boleh dilihat dalam konteks sosiologi sastera, iaitu novel-novelnya itu dapat diangkat sebagai satu dokumen sosiobudaya masyarakat Melayu khususnya di Pulau Pinang pada ketika itu. Persoalan-persoalan tentang sikap, pendidikan, ekonomi, budaya, mobiliti sosial, integrasi kaum/sosial di bandar dan sebagainya dapat diselidiki melalui karya-karya yang dihasilkannya. Maka novel dan novelet yang dihasilkan oleh Ahmad Rashid Talu sangat penting dan perlu dimanfaatkan kerana persoalannya masih relevan untuk difikirkan oleh masyarakat masa kini.
Dalam konteks teknik penulisannya, Ahmad Rashid Talu membawa beberapa perubahan seperti membincangkan isu-isu secara panjang lebar yang dekat dengan dirinya dan pembaca, menggunakan latar tempatan, menggunakan banyak dialog, membawa masuk istilah-istilah Inggeris dan Arab dan menggunakan unsur personifikasi untuk mewujudkan dramah personaenya yang agak langka dalam dunia kesusasteraan Melayu moden.
Reviews
There are no reviews yet