Asia Pasifik Sejak 1945: Perubahan Struktur Antarabangsa dan Percaturan Politik Serantau membincangkan perkembangan politik dan percaturan kuasa yang berlaku di rantau Asia Pasifik sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua pada akhir 1945 sehingga kini. Rantau Asia Pasifik menjadi sebuah rantau yang unik daripada segi perkembangan politik dan percaturan kuasa berbanding dengan rantau lain dunia. Rantau ini wujudnya sebuah negara bukan Eropah, iaitu Jepun yang luar biasa pencapaian ekonomi, politik dan kekuatan ketenteraan sejak awal abad ke-20. Di rantau ini juga wujudnya negara China yang mempunyai penduduk yang paling ramai di dunia dengan sifat unik sistem ekonomi yang mengamalkan ekonomi pasaran bebas dan ideologi politik yang masih berpegang kepada ideologi komunis. Pada masa sama juga terbentuknya Negara Industri Baharu dalam masa yang singkat (Newly Industrialised Countries), iaitu Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong, dan Singapura yang mengalami kadar pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang luar biasa sejak tahun awal berakhirnya Perang Dunia Kedua dan bermulanya Perang Dingin.
Buku ini dipersembahkan kepada pembaca bagi memberikan satu gambaran perkembangan yang berlaku sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua sehingga kini. Keruntuhan struktur multipolar (politik dunia yang dikuasai oleh banyak kuasa besar, iaitu Amerika Syarikat, Great Britain, Perancis, Jepun, Kesatuan Soviet, Jerman, dan Itali) selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua dan bermulanya struktur kuasa bersifat bipolar (iaitu hanya dua kuasa besar sahaja yang menguasai politik dunia Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet) selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua telah memberikan makna yang besar kepada perkembangan dan perubahan politik dan ekonomi yang berlaku di rantau Asia Pasifik. Struktur yang bersifat bipolar ini sangat penting dalam memahami bagaimana terbentuknya struktur dan percaturan kuasa serta pembangunan ekonomi yang pesat. Dalam perbincangan ini, dapat dilihat dengan jelas bagaimana berlakunya perubahan struktur antarabangsa memberi kesan kepada keputusan dasar luar dan percaturan kuasa serantau dengan kuasa utama dunia. Antara perkembangan dalam era bipolar adalah bagaimana tercetusnya Perang Saudara China antara Kuomintang pimpinan Chiang Kai-Shek dan komunis pimpinan Mao Tse-tung yang membawa kepada terbentuknya negara China Komunis Oktober 1949 dan juga berlakunya Perang Korea 1950-1953.
Terbentuknya dua China (China Komunis dan Taiwan) merupakan perkembangan politik yang memberikan kesan yang besar kepada rantau Asia Pasifik. Bagaimana Amerika Syarikat bertindak mengukuhkan kuasa dan pengaruhnya di Korea Selatan, Jepun, Taiwan dan negara-negara bukan komunis di Asia Tenggara dengan membentuk pakatan-pakatan keselamatan dan juga organisasi bukan ketenteraan yang mempunyai hubungan dengan matlamat keselamatan dan ketenteraan secara tidak langsung. Bagaimana proses ini penting kepada pembentukan kestabilan serantau yang memberikan kesan yang besar kepada kestabilan sosial dan pertumbuhan serta pembangunan ekonomi.
Perkembangan kuasa China Komunis pada awal tahun 1970-an serta pengiktirafan sebagai salah sebuah kuasa besar oleh Amerika Syarikat pada 1972 telah membawa kepada pembentukan struktur tiga kuasa (tripolarity structure) di rantau Asia Pasifik. Tiga kuasa yang memainkan peranan yang dominan di rantau Asia Pasifik selepas 1972 ialah Amerika Syarikat, Kesatuan Soviet dan China Komunis. Struktur tripolar ini hanya terbentuk di rantau Asia Pasifik dan tidak terdapat di rantau lain dunia. Keunikan ini sangat penting dalam memahami percaturan kuasa dan politik serantau dalam era tripolar (pada 1971 hingga 1991). Perkembangan politik serantau dalam tempoh masa ini sukar difahami tanpa memahami peranan dan hubungan kuasa yang berlaku dan dimainkan oleh tiga buah kuasa besar utama ini. Bukan hanya terhad dalam era tripolar 1971-1991 sahaja, struktur ini penting dalam kajian politik antarabangsa Asia Pasifik, tetapi juga dalam memahami bentuk percaturan kuasa yang berlaku dalam era pasca-Perang Dingin selepas 1991. Adalah sukar bagi seseorang itu memahami struktur kuasa di peringkat regional dalam era pasca-Perang Dingin, tanpa memahami bentuk percaturan kuasa yang didominasi oleh tiga buah kuasa berlaku dalam era tripolar.
Sekiranya hubungan Amerika Syarikat-China dalam era tripolar ini tidak berlaku sebagaimana yang sudah berlaku, transformasi ekonomi China di bawah pimpinan Deng Xiaoping tidak mungkin berlaku. Tanpa transformasi ekonomi di bawah pentadbiran Presiden Deng Xiaoping, kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar dunia mulai akhir 2010 tidak mungkin berlaku. Perkembangan politik dan percaturan kuasa antara kuasa besar utama dunia ini sangat penting dalam memahami percaturan kuasa dan ekonomi politik Asia Pasifik yang wujud pada hari ini.
Persoalan-persoalan yang dibincangkan dalam buku ini sangat berguna bagi memahami rantau Asia Pasifik yang wujud pada hari ini. Asas-asas utama yang terbentuk dalam tahun-tahun awal bermulanya struktur bipolar masih berfungsi dan memainkan peranan berkesan dalam membentuk kestabilan serantau sehingga ke hari ini. Adalah tidak mungkin seseorang itu dapat memahami politik dan ekonomi rantau Asia Pasifik pada hari ini tanpa mengikuti perkembangan awal rantau Asia Pasifik seperti yang dibincangkan dalam buku ini. Diharapkan buku ini akan memberi manfaat besar kepada sesiapa sahaja yang berminat memahami dan mengkaji rantau Asia Pasifik, khususnya kepada para mahasiswa dalam bidang hubungan antarabangsa, sains politik, ekonomipolitik, sejarah, dan bidang-bidang lain yang berkaitan. Perbincangan yang mudah, menyeluruh dan agak analitis yang dipaparkan dalam buku ini diharapkan dapat membina asas pemahaman yang berguna kepada semua peringkat, khususnya bagi mahasiswa dan mereka yang baru mula memahami dan mempelajari rantau Asia Pasifik.
Reviews
There are no reviews yet