Biografi Akademik Nik Safiah Karim: Menyusur Gemilang Bahasa Melayu memperincikan biografi dan ulasan karya akademik dan buku-buku yang dihasilkan oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim yang dimuatkan dalam satu buku. Sebelum ini, belum pernah ada penerbitan yang memuatkan analisis berkaitan buku-buku akademik beliau. Buku ini terbahagi kepada lima bab mengikut bidang yang ada dalam kajian bahasa. Bermula dengan bab tentang biografi Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim secara ringkas, seterusnya bab mengenai Teori Bahasa, Tatabahasa Bahasa Melayu, Sosiolinguistik, Perkamusan serta Epilog.
Buku ini dihasilkan dengan tujuan mengabadikan sumbangan akademik Nik Safiah Karim dalam usaha memperjuang dan meningkatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Nik Safiah Karim merupakan seorang tokoh dan srikandi negara yang banyak berjasa dalam dunia akademik mahupun kerja-kerja kebajikan. Buku ini sesuai dijadikan bahan rujukan kepada pengkaji bahasa yang berminat untuk memahami dan mendalami teori bahasa Melayu dan juga mengkaji hasil penulisan tokoh bahasa.
Antara hal yang dimuatkan dalam Biografi Akademik Nik Safiah Karim: Menyusur Gemilang Bahasa Melayu adalah kisah hidup dan perjalanan akademik serta kerjaya Nik Safiah Karim dari awal pendidikan sekolah rendah sehinggalah beliau tamat pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah. Turut dimuatkan juga tentang perjalanan kerjaya dan penglibatan beliau dalam persatuan dan juga sumbangan beliau terhadap perkembangan bahasa Melayu. Buku ini turut memuatkan karya-karya beliau yang berfokus kepada Teori Bahasa. Bahagian ini membincangkan tentang hasil penulisan Nik Safiah Karim dalam menghuraikan tentang Teori Bahasa yang boleh diaplikasikan dalam perkembangan bahasa Melayu.
Penulis juga ada yang membicarakan huraian tentang hasil penulisan Nik Safiah Karim dalam bidang Sosiolinguistik. Bahagian ini mengulas secara ringkas dan padat dua buku berkaitan dengan sosiolinguistik yang ditulis oleh Nik Safiah Karim iaitu Sosiolinguistik: Satu Pengenalan (Terjemahan) dan Bahasa Melayu dalam Dekad 90-an. Penulis turut fokus kepada sumbangan Nik Safiah Karim dalam dunia perkamusan. Buku yang dibincangkan dalam bab ini adalah Sepintas Lalu Perkamusan Melayu dan Kamus Bergambar Bahasa Malaysia-Cina serta buku Bahasa Melayu Kelantan.
Sepanjang penglibatan beliau dunia akademik dan kerjaya Nik Safiah Karim telah beberapa kali diundang sebagai pengucap utama dalam seminar dan persidangan. Dalam bab khusus ini dimasukkan ulasan ringkas beberapa ucap utama dan syarahan yang telah dikendalikan oleh beliau, antaranya Syarahan Raja Ali Haji 2003, Syarahan Kijang Kencana 2017, Syarahan Perdana dan beberapa syarahan lain. Kesemuanya dibincangkan dengan teliti dalam bab Epilog.
Reviews
There are no reviews yet