Biografi Sasterawan Negara Shahnon Ahmad: Anak Nan Bertuah menyingkap pahit manis kehidupan seorang Sasterawan Negara yang telah banyak menyumbangkan jasa dalam memartabatkan sastera Kebangsaan ke peringkat antarabangsa. Kisah riwayat hidup Shahnon Ahmad dipaparkan secara terperinci oleh penulis yang merupakan sahabat baiknya, iaitu Mohd. Yusof Hasan. Karya-karya Shahnon Ahmad mendapat tempat dalam hati pembaca kerana beliau merupakan seorang anak watan yang sentiasa berjuang untuk kesejahteraan bangsanya dalam aspek sosiobudaya, ekonomi, politik dan agama.
Penulisan biografi ini berdasarkan tiga kajian akademik di universiti seperti yang telah dinyatakan dan beberapa pembacaan dan pengalaman berinteraksi dengannya selama beberapa tahun. Penulis juga mengambil bahan daripada empat buah autobiografi Shahnon sendiri, iaitu Detik-detik Diri dari Daerah Daif (1991), Perjalananku Sejauh Ini (2006), Setitik Embun Semarak Api (2006) dan Weltanschauung: Suatu Perjalanan Kreatif (2008). Keempat-empat buah buku ini menjadi asas dan teras kepada penulisan biografi ini.
Penulis juga merujuk hampir kesemua karya kreatif Shahnon yang terdiri daripada 30 buah novel dan sekitar 150 buah cerpen, cerpen terjemahan dan lima buah drama. Di samping penghasilan karya sastera, Shahnon juga menulis banyak karya ilmiah yang bercorak kritikan kesusasteraan. Tidak kurang juga terdapat banyak kritikan dan ulasan dalam bentuk penyelidikan ilmiah daripada para sarjana di dalam dan di luar negara. Ulasan terhadap karya Shahnon, terutama yang banyak kontroversi memperlihatkan banyak pujian dan kejian. Penulisan biografi Shahnon Ahmad selama sekitar 80 tahun, iaitu bermula dari tarikh lahirnya pada tahun 1933 hingga tahun 2016 dan sekitar 60 tahun penglibatannya dalam penghasilan karya dari tahun 1954 hingga tahun 2014 dipersembahkan dalam lapan bab menerusi penulisan biografi ini.
Pada usia 21 tahun, iaitu pada tahun 1954, Shahnon mula menghasilkan karyanya. Cerpen dan novel yang telah dihasilkan menampilkan ciri-ciri keunikan dalam kesusasteraan tanah air iaitu dengan penjelmaan tema-tema daerah dan penderitaan rakyatnya kerana kemiskinan dan bencana alam. Karya Shahnon bukan sahaja menarik perhatian pembaca tanah air, tetap! memikat hati sarjana luar negara. Contohnya, oleh sebab terpikat dengan fiksyen Shahnon, Anthony H. Johns dari Australia telah menawarkan Shahnon pekerjaan dan peluang melanjutkan pelajaran di Australian National University.
Sewaktu berada di Canberra, Shahnon Ahmad menghadapi trauma dan dilema akibat daripada tragedi 13 Mei 1969. Perjuangan nasionalismenya, kerinduan yang mendalam pada kedua-dua orang tuanya dan kepincangan yang berlaku dalam kalangan pemimpin tanah air dan juga dalam kalangan diplomat Malaysia serta kegelisahan orang asli Australia dan orang yang tertindas dari negara kurang maju menimbulkan rasa kurang senang dan meruntun jiwanya. Kehidupan dalam keresahan ini membawa perubahan kepada penghasilan karya cerpen dan novel yang memperlihatkan tension and change diri pengarang dari sudut dalaman dan spiritual.
Di tengah-tengah kemelut itulah Shahnon mendapat kekuatan batin hasil daripada sokongan para sarjana Australia yang boleh dianggap sebagai tanda “persaudaraan”. Mereka adalah seperti Jim Cox @ Yaakub Abdullah yang asalnya seorang paderi Kristian tetapi tertarik dengan keperibadian Shahnon, lalu memeluk Islam; Anthony H. Johns yang sangat meminati Shahnon sehingga memberikan jawatan dan peluang belajar di universiti kepada Shahnon; Harry Aveling yang berkawan baik dan menterjemah karya Shahnon seperti novel Srengenge dan Rentong, dan cerpen terkenal Shahnon; dan Virginia Matheson Hooker yang banyak menelaah karya Shahnon sebagai asas penulisan bukunya, Writing A New Society.
N. Madasamy (Verified Reader) –
Im doing a collection of Shahnon Ahmad.