Cendekiawan Bahasa Melayu dalam Tradisi Kesarjanaan Barat menggarap tajuk-tajuk tentang sejarah kedatangan sarjana Barat ke Alam Melayu yang didorong oleh pelbagai faktor. Faktor kesarjanaan merupakan antara faktor penting yang natijahnya berupaya menghasilkan karya-karya penting tentang bahasa dan bangsa Melayu di Alam Melayu.
Cendekiawan Bahasa Melayu dalam Tradisi Kesarjanaan Barat memaparkan kajian tentang kelompok keluarga bahasa-bahasa Austronesia yang diusahakan oleh para cendekiawan dalam bidang ini. Selain itu dimuatkan juga sejarah kajian perkamusan Melayu, tradisi kajian dan penyusunan kamus serta sejarah pengajian Melayu beserta dengan tokoh-tokoh yang berperanan penting dalam menjayakan penerbitan kamus dwibahasa dan dalam bidang pengajian Melayu.
Semua tulisan dalam Cendekiawan Bahasa Melayu dalam Tradisi Kesarjanaan Barat asalnya ialah makalah yang penulis hasilkan, yang tersiar dalam jurnal Dewan Bahasa keluaran dari tahun 1989 hingga 1997. Semuanya telah penulis ubahsuaikan menurut perkembangan semasa dan keperluan untuk penerbitan buku. Harapan penulis, mudah-mudahan buku ini ada manfaatnya untuk meningkatkan pengetahuan dalam kalangan pelajar dan pendidik khususnya, dan peminat bahasa umumnya di samping menambah khazanah kepustakaan Melayu.
Dalam tradisi kesarjanaan bahasa Austronesia, sejak abad ke-18, beberapa kajian dan pemerhatian telah diusahakan untuk melihat kesamaan dan kekerabatan antara bahasa-bahasa Madagascar, Indonesia dan Polinesia. Sehinggalah pada abad ke-19, bahasa-bahasa di Pasifik Barat didapati tergolong dalam keluarga yang sama. Banyak kajian perbandingan bahasa-bahasa Austronesia pada peringkat awal telah diusahakan oleh para sarjana Barat, antaranya termasuklah H.N. Van der Tuuk (1824-1894), J.H.C. Kern (1833-1917), J.T. Ernest Hamy (1842-1908), J.L.A. Brandes (1857-1905), Charles otto Blagden (1864-1949), Otto Von Dempwolff (1871-1938), J. Gonda (1905-1991), EM. Uhlenbeck (1913), dan Jacobus Noorduyn (1926-1994).
Sejak abad ke-15, sarjana Barat berbangsa Inggeris, Belanda, Perancis, Itali, Jerman dan lain-lain amat berminat mengumpulkan ribuan kosa kata dalam bahasa Melayu dan kemudian mengusahakan penyusunan dan penerbitannya dalam bentuk daftar kata dan kamus. Semua kosa kata yang terkumpul itu diberikan maknanya dalam bahasa masing-masing dengan memasukkan cara penyebutan kata-kata tersebut dalam bahasa Melayu menurut sistem ejaan masing-masing juga.
Tujuan asalnya adalah untuk membantu para mubaligh Kristian dan pegawai tadbir Syarikat Hindia Timur Belanda dan Inggeris khususnya untuk mempelajari bahasa Melayu sebelum mula berkhidmat di alam Melayu, terutamanya di Semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan Indonesia. Minat dan kesungguhan mereka dalam usaha pengumpulan ribuan kosakata tersebut melahirkan golongan cendekiawan Barat seperti Antonio Pigafetta (1491-1534), Cornelis & Frederick de Houtman, Thomas Bowrey (1650-1713), William Marsden (1754-1836), H.C. Klinkert (1829-1913), WG. Shellabear (1862-1947), R.J. Wilkinson, dan R.O. Winstedt (1878-1966).
Bagaimanapun, terdapat juga sarjana Barat yang bukan merupakan pegawai tadbir Inggeris atau Belanda tetapi mereka ialah sarjana yang sememangnya berminat membuat kajian dan penelitian tentang bahasa Melayu dalam pelbagai aspek, seperti Profesor A.Teeuw (1921), Pierre Labrousse (1839) dan John M. Echols (1913-1982). Setiap sarjana tersebut memainkan peranan penting dalam pengumpulan, penyusunan, dan pendokumentasian bahan-bahan kajian dalam bentuk senarai dan daftar kata sebagai sumber rujukan bukan sahaja untuk penyelidik Barat malah juga pengkaji di sebelah Timur. Hasil kajian dan penerbitan tersebut telah menyumbang kepada pengayaan kepustakaan Melayu.
Penghasilan kamus-kamus ini juga merupakan sumber tambahan khazanah Melayu dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Kajian yang dibuat oleh R.J. Wilkinson (1903) iaitu A Malay-English Dictionary yang memuatkan transliterasi jawi telah menjadikan kamusnya mempunyai nilai tambah berbanding dengan kamus-kamus sebelumnya seperti Kamus Pigafetta. Dalam konteks ini, DBP memainkan peranan penting dalam usaha mengaturkan program perkamusan sejajar dengan keperluan pengguna dan perkembangan teknologi terkini.
Sebagai usaha menghasilkan kamus yang tuntas, kajian yang dibuat merangkumi segala aspek tentang setiap kosa kata yang terdapat dalam sesuatu bahasa, seperti ejaan, sebutan, golongan kata, makna kata, cara penggunaan kata, etimologi dan sebagainya. Oleh itu, kamus bermutu dapat dijadikan pegangan dan bimbingan kepada pengguna bahasa. Kamus yang berwibawa dapat dijadikan rujukan utama dalam hal kebahasaan dan sebagai cermin kegemilangan budaya dan keintelektualan bangsa Malaysia.
Dalam hal ‘Pengajian Melayu’ pula, ia merupakan topik yang dirancang, dibincangkan dan dijadikan subjek penting dalam kalangan pentadbir kerajaan kolonial untuk mempermudah komunikasi, interaksi dan penguasaan terhadap penduduk di sebelah Timur, khususnya orang Melayu. Pelbagai program telah diadakan untuk mendekati masyarakat Melayu dengan cara memahami dan menghayati bahasa, budaya, dan sejarah mereka. Antara cendekiawan Barat yang berperanan penting dalam Pengajian Melayu, termasuklah John Crawfurd (1783-1868), J. Pijnappel, A.A. Fokker, C.A. Mees, C.C. Brown, J.R Logan (1819-1869), William Maxwell (1846-1897), Frank A. Swettenham (1850-1946), Ch. A. Van Ophuysen (1856-1917), Hugh Charles Clifford (1866-1941), W.W. Skeat (1866-1953), O.T. Dussek, A.W. Hamilton (1887-1967), G.WJ. Drewes (1899-1992), R. Roolvink, M.B. Lewis, W.A. Linehan, dan Alessandro Bausani (1921-1988).
Usaha awal menjadikan Pengajian Melayu sebagai satu disiplin telah dirintis oleh para pentadbir Inggeris yang bertugas di Tanah Melayu pada zaman penjajahan, seperti R.O. Winstedt, R.J. Wilkinson, Marsden, Shellabear, Clifford, dan lain-lain yang mempunyai minat yang mendalam untuk memahami masyarakat dan tamadun Melayu serta Nusantara pada akhir abad ke-18.
Cendekiawan Barat telah memperkenalkan gagasan Malay Studies dan memberikan perhatian yang mendalam terhadap kajian manuskrip Melayu, kajian teks Sejarah Melayu, sistem politik, undang-undang adat, hukum kanun, sistem sosial, dan sebagainya sehinggakan bahan-bahan tersebut kemudiannya menjadi asas terpenting dalam bidang Pengajian Melayu. Cendekiawan Barat yang banyak memberikan sumbangan dalam Pengajian Melayu dibincangkan dengan lebih mendalam dalam Cendekiawan Bahasa Melayu dalam Tradisi Kesarjanaan Barat.
Reviews
There are no reviews yet