Dinamisme Etnik dan Sosiobudaya Melayu mengandungi lapan makalah yang definisi kearifan tempatan tercermin melalui judulnya. Ia memperlihatkan kearifan tempatan dalam pelbagai sudut ilmu sebagai pembuktian yang jelas daripada kandungan makalah yang pertama hingga yang terakhir. Nyata, yang dinamakan kearifan tempatan yang ada itu tidaklah sempit ruang lingkupnya, sebaliknya mampu merentasi sempadan Nusantara. Malah, Malaysia sendiri kaya dengan budaya dan etniknya sendiri terutama di Sabah dan Sarawak. Hal ini juga menjadi simbolik bahawa kearifan tempatan itu mampu menghubungkan kearifan tempatan dan dunia Melayu dengan masyarakat di rantau Asia seperti masyarakat Jawa dan Vietnam.
Takrif ini dikuatkan melalui perbincangan yang terdapat dalam buku ini iaitu aspek bahasa, tradisi, manuskrip, arkeologi tempatan, kesenian sama ada seni ukir mahupun seni bina. Kesemua ini merupakan gabungan cambahan idea dan penyelidik daripada para akademik dalam mempelbagaikan bidang yang berkaitan dengan ilmu kearifan tempatan di rantau ini.
Kearifan tempatan merujuk kepada disiplin ilmu dan kepakaran yang berasal daripada budaya asli tempatan yang berkembang sejak zaman silam dan telah dipraktikkan sebagai sebahagian daripada cara hidup masyarakat. Kearifan tempatan telah menjadi warisan turun-temurun sejak zaman-berzaman lagi. Kearifan tempatan yang disorot dan diangkat ini berasal daripada budaya masyarakat Malaysia secara khusus, ataupun dari kepulauan Melayu secara amnya. Kajian terhadap kearifan tempatan ini bertujuan memudahkan proses transformasi sosial melalui perubahan paradigma yang ditangani oleh epistemologi tempatan dapat berjalan dengan baik.
Kumpulan tulisan ini terbahagi ke dalam dua subtopik utama iaitu budaya material dan bukan material. Kesemuanya mewakili budaya masyarakat Melayu khususnya dan budaya Malaysia amnya. Kesemua budaya ini jelas memperlihatkan hubung kait yang nyata jika dilihat daripada sudut kearifan tempatan masyarakat di Nusantara. Kearifan tempatan yang ditonjolkan bukan sahaja memperlihatkan kebijaksanaan orang Melayu yang memanfaatkan persekitarannya, tetapi juga jelas telah mengaplikasikan kemahiran mereka dalam konteks dinamisme sosiobudaya masyarakat itu sendiri. Mereka menghubungkaitkan segala tindakan dalam budaya material dan bukan material dengan persekitaran dan kegiatan harian mereka.
Bersesuaian dengan tajuk buku ini iaitu Dinamisme Etnik dan Sosiobudaya Melayu, maka buku yang mengandungi lapan makalah ini secara keseluruhannya mengetengahkan aspek-aspek yang berkaitan dengan aspek antropologi, pensejarahan, kesenian, kebudayaan, warisan dan persuratan yang ada perkaitannya dengan dunia Melayu dengan wilayah Nusantara yang lain. Hubungan ini diutuhkan melalui bukti fizikal keberadaannya dan pembuktian bahan-bahan tinggalan sejarah, seperti dalam bentuk manuskrip, pengaruh budaya dan bangsa serata pelosoknya seperti Vietnam, Jawa dan sebagainya.
Upaya untuk melestarikan segala bentuk budaya ini terpancar melalui makalah-makalah yang dimuatkan. Hal ini penting bagi memastikan generasi akan datang dapat melihat dan menggunakannya. Selain itu, semua warisan budaya ini jelas mempunyai fungsi dalam perkembangan budaya Melayu dan budaya tempatan itu sendiri.
Reviews
There are no reviews yet