Dunia Sahibul Hikayat

NORIAH TASLIM adalah Profesor Madya Kesusasteraan Melayu di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia. Bidang pengkhususan beliau adalah sastera tradisional, terutama dalam aspek teori dan kritikan; kajian filologi dan suntingan naskhah; kajian budaya (pascakolonial. gender. sosiologi sastera); dan kajian interdisiplin dalam kesusasteraan.

DBP (Cetakan Pertama, 2006)
273 halaman termasuk Bibliografi dan Indeks

RM24.00

In stock

If you purchase this book you will earn 5 reward points!

Dunia Sahibul Hikayat adalah satu percubaan untuk menyediakan satu spektrum esei yang agak luas bagi tujuan memunculkan kesan perhubungan antara teks, pengarang dan konteks. Ia menjangkau dunia lisan dan tulisan, penutur cerita dan penulis cerita, pengarang istana dan penglipur lara. Sesungguhnya dunia sahibul hikayat itu adalah dunia yang amat rencam dan mencabar. Walaupun karya-karyanya kadangkala kelihatan dangkal dan stereotaip, tetapi dalam kedangkalan tersebut sebenarnya ada siratan pengaruh sosial dan budaya yang kuat, malah dapat disabitkan dengan punca-punca luaran yang mengawal kreativitinya.

Dengan mengaplikasikan teori-teori sastera yang dikemukakan oleh Teeuw, Errington, Barthes, Bremond, Culler, Maeir, dan Kristeva antaranya, penulis meneliti genre Sastera Melayu tradisional secara perbincangan, kritikan, dan tafsiran. Melalui pendekatan ini, penulis memberikan pembaharuan dalam penelitian sastera tradisional yang selama ini lebih tertumpu pada pendekatan struktural sahaja. Sudut-sudut yang ditinjau oleh penulis juga berupaya menjadi pencetus kepada pengkaji-pengkaji sastera tradisional yang lain untuk melihat betapa luas dan mendalamnya suratan dan siratan makna yang masih belum diterokai dalam sastera tradisional.

Sungguhpun perbincangan tentang teks-teks sastera tradisional dalam buku ini dibincangkan secara akademik, tetapi bahasa dan gaya penulisa yang digunakan oleh penulisnya agak sederhana dan mudah difahami. Ini menjadikan perbincangan teks-teks Melayu tradisional lisan dan tulisan dalam buku ini menarik untuk diikuti pembacaannya.

Penulis mulakan dengan Bab I, yang merupakan satu percubaan untuk membuka dialog dengan masa silam melalui kaedah-kaedah bacaan yang dianggap wajar dan munasabah. Sebagai permulaan, bab ini akan meletakkan teks-teks silam dalam satu ruang yang dapat dicapai oleh pembaca moden dengan selesa.

Bab II, akan terus meninjau dunia Tun Seri Lanang melalui rumit-rumit baris prolognya. Daripadanya kita akan cuba faham tentang proses kreatif, tuntutan-tuntutan politik dan moral yang menekan dirinya.

Bab III membawa kita menelusuri seorang lagi pujangga istana yang besar yakni Raja Ali Haji. Bab ini akan meletakkan Raja Ali Haji dalam naungan tradisi sastera zamannya dan meneliti sikapnya terhadap tradisi tersebut, dan dengan merujuk kepada lapangan interteks Raja Ali Haji akan dijelaskan mengapa sikapnya terhadap wewenang tradisi itu berbeza daripada pengarang-pengarang lain.

Bab IV cuba membanding dua jenis pengarang pencerita/narator lisan dan pencerita/narator tulisan. Bab ini akan cuba menunjukkan kemungkinan dan keterbatasan proses kreatif akibat perbezaan teknologi penyampaian yang disediakan oleb zaman dan persekitaran masing-masing.

Bab V meneliti perubahan persepsi pengarang terhadap objek penceritaannya akibat perubahan sistem kepercayaan. Yang dibandingkan ialah pengarang yang mencipta di bawah naungan pemikiran Islam dan animisme. Objek yang mendapat sorotan pengarang-pengarang ialah alam istana dan raja.

Bab VI dan VII masih memberi tumpuan kepada pengaruh sistem kepercayaan ke atas persepsi dan visi pengarang, Bab VI melihat konsep ketenteraman sosio-kosmik yang lahir akibat sintetis ideologi politik Hindu-Buddha dan Islam. Dan, berapa sintesis dua ideologi tersebut dimanfaatkan dengan baik oleh para pengarang awal karya-karya anal untuk tujuan menserasikan idealisme istana dengan tuntutan moral.

Bab VII memfokus kepada pengaruh kepercayaan metafizik Hindu-Buddha tentang kosmos dan kesannya ke atas penstrukturan ruang di dalam karya-karya Melayu tradisional, terutama yang kuat dipengaruhi Hindu, contohnya Hikayat Seri Rama.

Bab VIII masih membicarakan manusia dan kepercayaan. Ia melihat manusia dalam dunia sihir dan mantera. Betapa dilihat magis hanya berkesan dalam medium yang mempercayainya. Maka bahasa dalam konteks kepercayaan tersebut mempunyai kuasa magis untuk menjejas, menguasai jasad, pemikiran dan roh manusia dan makhluk-makhluk lain (termasuk binatang dan alam), sama ada secara baik atau jahat. Bab ini meneliti keberkesanan mantera sebagai ejen kawalan sosial melalui kuasa bahasanya.

Bab IX hampir sama dengan Bab VIII, namun melihat legenda sebagai alat kawalan sosial, walaupun bukan dalam konteks esoterik seperti mantera. Di sini difokus kepada legenda pendosa yang muncul agak jenuh sejak akhir-akhir ini. Kemunculan genre tradisional ini dalam latar semasa menimbulkan persoalan yang menarik. Di sini ia dikaitkan dengan situasi kemerosotan nilai dan akhlak dalam masyarakat masa kini. Dalam keadaan demikian, cerita-cerita tentang pendosa dimunculkan dengan tujuan didaktik dan moral. Ciri-ciri legenda pendosa yang arketaip, dan bentuk legenda yang khusus dimanfaatkan untuk menjadikan cerita-cerita tersebut sebagai kawalan sosial yang berkesan.

Bab X hingga XIV agak berbeza daripada bab-bab yang lalu, Ia melihat pengaruh faktor-faktor konteks termasuk persekitaran sosiopolitik ke atas pengarang dan karyanya.

Bab X meneliti pengaruh kebanggaan jati diri dan akar budaya ke atas penulisan karya annal pasca-Melaka, dengan tumpuan kepada karya Sejarah Melayu. Betapa pengaruh tersebut telah melahirkan kecenderungan-kecenderungan yang disebut sebagi etnosentrisme dan etnisisme dalam karya tersebut.

Bab XI pula meneliti pengaruh faktor sosiopolitik contohnya kehilangan kuasa dan kesetiaan rakyat, asakan-asakan kuasa luar yang melatari penulisan teks yang sama. Situasi yang dilihat sebagai menjelmakan semacam nasionalisme politik pada abad tersebut telah mendorong pengarang menulis Sejarah Melayu dan mencorakkannya untuk menonjolkan perasaan/semangat tersebut.

Bab XII lebih bertujuan untuk melihat pantulan budaya, atau lebih tepat pelbagai pusat budaya yang berbeza dalam karya sastera. Di sini, teks yang dikaji ialah Syair Raja Muda Perlis yang ditulis di bawah naungan wewenang budaya Melayu dan Siam.

Daripada analisis struktur teks diketarakan pengaruh pusat budaya yang lebih dominan mempengaruhi pemikiran pengarang. Pengaruh tersebut kemudiannya dikaitkan dengan aspirasi politik penduduk kawasan berkenaan.

Bab XIII masih menyangkutkan teks dalam ruang budaya yang melahirkannya. Ia melihat satu jaringan sistem sokongan budaya yang menyenggarai sebuah karya tradisional untuk tujuan ketahanan hayatnya. Dalam latar budaya moden yang memberi kepentingan kepada bentuk-bentuk seni/sastera yang popular, bentuk hikayat mengalami proses pemupusan dan penyingkiran. Namun, keadaan amat berbeza daripada Hikayat Seri Rama di utara Semenanjung. Teks ini telah mendapat satu sistem sokongan budaya yang baik termasuk melalui persembahan, tulisan dan lisan. Natijahnya teks ini masih dapat membaharui dirinya dan melanjutkan hayatnya kerana ia masih mendapat sokongan khalayak.

Bab XIV yang mengakhiri buku ini melihat pengarang tradisional dalam pertembungannya dengan fenomena budaya baru di Timur yakni modenisme. Tumpuan diberi kepada Raja Ali Haji di Riau, pusat keintelektualan pujangga istana yang terakhir. Era yang difokuskan ialah kurun ke-19, ketika Riau berdepan dengan kemasukan Belanda dan Inggeris.

Bab ini melihat sikap keanjalan Raja Ali Haji yang menarik dalam mendepani arus modenisme, di samping bergayut kuat kepada tradisi dan Islam.

Berdasarkan empat belas bab dalam Dunia Sahibul Hikayat tersebut diharapkan dapat diketarakan betapa teks, pengarang dan konteks adalah tiga entiti yang sentiasa berhubung jalin dan bertimbal balik.

Weight 0.382 kg
Dimensions 21.5 × 14 × 1.7 cm
Edition

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Dunia Sahibul Hikayat”

Your email address will not be published. Required fields are marked *