Harun Aminurrashid: Pembangkit Semangat Kebangsaan merupakan sebuah biografi tulisan Abdullah Hussain mengenai seorang sosok pembina bangsa ulung, seorang patriot sejati bangsa Melayu, dan nasionalis tulen. Menurut penulis, beliau terpaksa berhenti menulis biografi ini sementelah mendapat nasihat daripada Arena Wati, yang menyarankan supaya “biarlah orang lain pula yang menyambungnya ataupun ditambah pada masa yang akan datang.”
Penulis bersetuju dengan pendapatnya itu, kerana lagi lama beliau membuat penyelidikan, lagi jauh tempat yang beliau mesti pergi dan lagi banyak orang yang beliau mesti dengar. Cerita tentang Harun Aminurrashid seolah-olah tidak habis dan tiap-tiap orang yang penulis jumpa ada belaka cerita yang mahu diceritakan olehnya, walaupun kebanyakan orang yang beliau jumpa itu usianya sudah pada lewat belaka, lima puluh tahun malah ada yang sudah mencapai enam puluh tahun, tetapi mereka cukup bersemangat, seolah-olah mendapat tenaga baru bila mendengar nama Harun, mereka gembira menceritakan kisahnya waktu belajar di Sultan Idris Training College, Tanjong Malim lebih-lebih lagi yang mengenai Harun.
Penulis terpaksa memberhentikan penyelidikannya hanya sampai setakat ini saja dulu, kerana penulis mesti menyiapkan bukunya. Buku ini mungkin tidak akan siap kalau penulis mengikut perasaan hati, sebab masih banyak orang yang perlu beliau jumpai dan banyak pula bahan yang mesti beliau cari dan baca.
Tetapi walaupun buku ini belum begitu sempurna, namun para pembaca dan masyarakat Malaysia terutama sekali masyarakat Melayu akan dapat melihat wajah Harun dalam posisinya yang sebenar. Penulis mencuba seberapa boleh untuk tidak membuat komen atau penilaian tentang dirinya, penulis mencuba untuk berada di luar pagar dan menjadi sebagai seorang katalis saja antara Harun dengan orang ramai, supaya Harun yang penulis perkenalkan di dalam buku ini bukan Harun milik penulis, tetapi Harun yang diceritakan orang kepada beliau. Seorang patriot sejati bangsa Melayu, nasionalis tulen seperti yang banyak diucapkan oleh bekas murid-muridnya yang berselerak di seluruh ceruk rantau tanah air dan negeri Brunei, serta dari kawan seperjuangannya di bumi Singapura, tanah tempat tumpah darahnya.
“Kita sekarang ini mencari hero hingga menimbulkan percekcokan yang hebat, kita lalu mencari di luar. Padahal hero itu ada di dekat kita sendiri, dalam negara kita sendiri yang kita tidak mahu akui. Dulu kita ada hero Hang Tuah untuk orang-orang yang bersikap moderat dan Hang Jebat pula untuk orang-orang yang suka memberontak. Saya yakin dan percaya Cikgu Harun ialah seorang pahlawan, seorang hero budiman. kerana apa yang dicita-citakan oleh Cikgu Harun sekarang telah nampak dengan jelas, baik di dalam politik. bahasa dan kebudayaan. Beliau seorang sosialis tetapi sosialis yang berpusat kepada kebangsaan Melayu, tanpa mengira faham politiknya dia adalah seorang hero kita,” demikianlah kata-kata yang penulis dengar dari mulut Datuk Aziz Tapa, dalam salah satu perjumpaan silaturahim Hari Raya Haji di Melaka, pada bulan Oktober 1980 yang dianjurkan oleh Lembaga Bahasa Melayu.
Penulis berasa satu kehormatan yang mulia kerana diberi kepercayaan untuk menulis kembali riwayat hidup hero yang dikatakan oleh Datuk Aziz Tapa itu, yang kini hidup terpencil tiga beranak di sebuah rumah petak di Fidelio Street Opera Estate, Siglap, Singapura.
Memang satu hal yang malang, kalau boleh penulis gunakan perkataan itu, bahawa Harun kini tinggal menetap di Singapura sehingga jasa-jasa dan perjuangannya, “dalam membentuk semangat, kepercayaan dan keperibadian bangsa yang telah menjadi dasar perjuangan kita”, seperti yang diucapkan oleh Prof. Ismail Hussein, ketika dalam pertemuan di Melaka itu, terlindung oleh kepesatan pembangunan fizikal kota metropolitan, yang tidak pernah lagi memandang ke belakang. Mudah-mudahan dengan buku yang kecil ini jasa dan perjuangan Harun akan dapat dikenang dan diketahui oleh generasi yang akan datang.
Kawah Buku (store manager) –
“Demikian gambaran harapan Harun kepada bangsanya. Dan, harapan serupa ini telah berulang-ulang disuarakan olehnya, kerana keadaan politik tanah air kian menarik perhatiannya. Perhatiannya tertumpu kepada gerakan-gerakan kebangsaan yang cergas supaya “tercapai ke dunia raya”. Dan dalam menarik masyarakat kepada gerakan-gerakan nasional, Harun tidak lagi lupa kepada keperluan pelajaran dan pendidikan, terutama untuk generasi akan datang.”— A. Ghani Hamid, Karya-karya Harun Aminurrashid: Satu Apresiasi Ringkas
Anonymous (store manager) –