Iakah Salmah? ialah karya awal Ahmad Rashid Talu, dan menjadi salah sebuah novel Melayu pertama pernah dihasilkan selepas berlalunya zaman tradisi lisan dalam masyarakat Melayu. Ahmad Rashid Talu, atau Ahmad Talu adalah salah seorang pandai sastera tahun dua puluhan dan tiga puluhan yang karyanya masih dibaca pada hari ini. Bahawa novel ini masih dibaca dengan sendirinya menjadi bukti bakat pencerita yang ada padanya. Pada hari ini pun cerita-ceritanya masih dapat dibaca dengan asyik dan mengharukan. Hal ini adalah disebabkan penulis bukan saja pandai bercerita tapi tahu menggunakan kaedah dan gaya bercerita moden. Dengan itu dia merupakan seorang pembuka tradisi cerita moden bagi masyarakat Melayu. Baik ceritanya mahu pun kaedah penceritaannya sudah mulai meninggalkan tradisi bercerita zaman lampau sungguhpun harus diakui bahawa sebahagian daripada unsur-unsur tradisi masih lagi terlihat padanya.
Hal ini hal yang tidak dapat dielakkan kerana pertumbuhan kebudayaan adalah seperti arus air yang tidak dapat dipatahkan dengan serta-merta; yang baru tidak berpisah dengan yang lama secara mendadak. Ada zaman peralihan, iaitu letolapengaruh lama masih hidup sementara pengaruh baru sudah mula berkuasa. Ahmad Talu hidup dalam zaman ini dan dialah pembawa tradisi baru dari segi cerita moden sungguhpun dia tidak dapat melepaskan diri seratus peratus daripada cengkaman tradisi yang telah diwarisinya. Melihat pertembungan dua tradisi inilah, hal yang paling menarik pada diri dan karya Ahmad Talu.
Cerita ini menimbulkan kesan bahawa ada usaha yang sengaja daripada Ahmad Talu untuk menulis suatu cerita yang menarik dan segar, suatu cerita yang menggunakan plot yang sama sekali baru, yang tidak diambil daripada cerita-cerita mitos atau sejarah ataupun daripada cerita-cerita lain yang sebelumnya. Sungguhpun usaha ini tidak dapat dikatakan sudah seratus peratus berhasil, kita dengan mudah dapat membezakannya dengan plot cerita yang tradisional. Novel ini mengambil peristiwa-peristiwanya daripada pengalaman manusia yang sezaman, yang dekat dengan pembaca zamannya, yang mudah dikenali oleh mereka.
Bagaimanapun, plot novel ini dapat dikembalikan kepada pola plot Awang-Dara yang begitu lazim pada cerita-cerita tradisi Melayu khasnya cerita-cerita penglipur lara. Terdapat seorang wira yang mencari seorang wirawatinya. Lalu dia mengembara untuk mendapatkannya. Akhirnya sesudah mengalami banyak peristiwa sedih dan seram, dia berhasil mendapatkan wirawatinya. Iakah Salmah? memperlihatkan inovasi dari pola plot ini sungguhpun saki-baki unsur sensasi dan pengembaraan masih jelas terdapat padanya. Di sini “Sang Wira” pergi mengembara bukan untuk menemukan “Dara”-nya tapi kerana dihalau dan untuk melarikan diri daripada kekecewaannya.
Reviews
There are no reviews yet