Out of stock

Cerpen-Cerpen Pak Sako

Ishak Haji Muhammad (b. 1909 – d. 1991), atau lebih dikenali dengan nama penanya Pak Sako, merupakan seorang penulis, budayawan Malayasia yang aktif dalam era 1930-an sehingga 1950-an. Seorang nasionalis yang percaya kepada idea Melayu Raya iaitu gabungan padu antara Malaysia, Indonesia dan Brunei.

Diselenggara oleh HASHIM AWANG dan A. KARIM HAJI ABDULLAH

DBP (Cetakan pertama 1995)
293 halaman

 


PENAFIAN: Judul ini menepati keadaan NOS, atau “naskhah baru stok lama”. Justeru, sesetengah naskhah berkemungkinan mempunyai kesan cacat seumpama halaman bernoda, sumbing, melengkung, lusuh, dan sebagainya. Pelanggan dinasihatkan agar meneliti gambar tambahan yang disediakan untuk mendapat gambaran lebih jelas mengenai keadaan naskhah sebelum membuat pembelian.

RM50.00

Out of stock

Adalah amat benar dan tepat apabila Ishak Haji Muhammad atau nama penanya Pak Sako, dalam upacara penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Kesusasteraan (D. Lit.) untuknya pada 29 Jun l973 di Universiti Malaya telah diberikan gelaran “Gergasi Kesusasteraan Melayu”. Sifat ‘kegergasiannya’ terlihat jelas bukan sahaja pada keupayaan dan tenaganya untuk terus menulis sehingga kini, tetapi juga pada nilai kekuatan yang terdapat dalam karya-karya sastera penghasilan beliau. Ini jelas terlihat pada sejumlah besar karya-karya cerpen yang tercipta dalam zaman sebelum Perang Dunia II, iaitu sekitar tahun-tahun 30-an dan awal 40-an yang tersaji dalam antologi Cerpen-Cerpen Pak Sako. Cerpen-cerpen dalam antologi Cerpen-Cerpen Pak Sako memperlihatkan beberapa keistimewaan tersendiri. Pertama: Persoalan-persoalan yang mendapat tumpuan garapannya. Hampir keseluruhan cerpennya berkisar pada kehidupan golongan rakyat bawahan yang tinggal di kampung, yang memiliki cara hidup mudah dengan sifat-sifat rendah diri dan selalu jujur serta beradab sopan. Mereka ini dipertentangkan dengan golongan bangsawan atau pemimpin yang hidup mewah tetapi berkelakuan buruk, iaitu kelakuan yang merangkumi sifat-sifat hipokrit, tamak, penzina dan pengkhianat bangsa.

Golongan bangsawan yang demikian sifatnya sering digambarkan sebagai berada dalam kelalaian sehingga mereka dapat dijadikan alat oleh orang-orang luar untuk kepentingan tertentu. khususnya untuk kepentingan-kepentingan politik dan ekonomi. Akibatnya golongan rakyat kampung yang rata-ratanya jujur dan taat setia itu, menjadi korban. Kehidupan mereka tertindas, terkebelakang dan miskin. sedangkan golongan luar atau pendatang bergerak maju dan mewah. Keruntuhan kehidupan rakyat yang jujur digambarkan pula bukan sahaja bersebab daripada golongan bangsawan yang lalai dan pendatang yang licin, tetapi juga oleh golongan-golongan DKA dan DKK yang tamak tetapi kedekut. Ekoran daripada itu, persoalan takrif Melayu yang dihubungkan dengan penglahiran dan penglibatan golongan-golongan DKA serta DKK dalam kehidupan masyarakat Melayu turut mendapat perhatian olahan pengarang dengan agak besar dan berat. Demikianlah apa yang dapat dilihat dalam sebahagian cerpen-cerpen di dalam antologi Cerpen-Cerpen Pak Sako seperti “Satu Cerita dari Kampung”, “Hilang di Mata”, “Jalan Hiburan”, “Musim Gelora”, “Istana Berembun”, “Anak Dibuat Denak”, “Amin! Kepada Encik Amin dan Aminah” dan “Siti Muhibah”.

Keistimewaan kedua terlihat pada cara atau teknik pengarang mengungkapkan persoalan-persoalan tadi. Dalam konteks ini, pengarang menggunakan beberapa kaedah tertentu. Apa yang jelas terlihat ialah beliau banyak mengambil teknik dalam cerita-cerita rakyat Melayu, terutamanya cerita-cerita jenis penglipur lara. Salah satu daripada kaedah-kaedah tersebut yang paling biasa digunakan ialah memasukkan unsur ‘pengembaraan’. Unsur ini digunakan sebagai satu cara menggerakkan watak dan mencetuskan banyak peristiwa. Ia juga menjadi sebab untuk cerita memiliki sifat episodik dan panjang, seperti yang biasa terlihat pada cerita-cerita penglipur lara.

Dalam penceritaan begini, watak utama atau wira diletakkan dalam suatu keadaan yang memaksanya untuk keluar mengembara. Dia melakukannya untuk mencari sesuatu mungkin kerja, rahsia, kekuatan atau identiti sendiri. Dalam proses pencarian itu, wira seringkali akan mengalami pelbagai masalah sebelum matlamat atau sasaran akhirnya diperolehi. Walau bagaimanapun, wira akan berjaya mengatasinya kerana dia seringkali pula mempunyai kebolehan atau kekuatan yang agak besar. Sekiranya dia agak lemah, maka ada pertolongan yang akan diterimanya dari orang tua budiman atau punca-punca lain. Demikianlah maka urutan cerita dapat bergerak dengan lebih menarik dan penuh tanda tanya seperti yang terdapat dalam cerpen-cerpen “Anak Luar”, “Jalan Hiburan”, “Musim Gelora”, “Anak Harimau!”, “Menuba Ikan”, “Mari Kita Menyanyi”, “Surat-surat Sesaat” dan “Di sini Kita Bukannya Orang Dagang”.

Seiringan dengan ini terdapat pula unsur penyamaran yang biasa dapat ditemui dalam cerita-cerita Panji Melayu. Penyamaran itu diberikan dalam beberapa bentuk atau corak tertentu pula. Ada penyamaran yang bercorak pura-pura pertukaran jantina; biasanya watak wanita berpura-pura menjadi lelaki. Pada tempat-tempat tertentu penyamaran berlaku dalam bentuk pertukaran nama; biasanya nama yang diambil oleh watak untuk maksud penyamaran ialah nama golongan bangsawan. Penyamaran yang demikian sesungguhnya dapat melahirkan kebaikan-kebaikan tertentu apabila dilihat dari segi teknik penceritaan dengan sendirinya dapat menimbulkan rasa ingin tahu di kalangan pembaca dan si pembaca akan terus berasa dalam ketegangan sebelum cerita berakhir. Penceritaan itu juga dapat ditonjolkan dalam pergerakan yang agak lambat, tetapi lebih bertenaga dan mudah untuk diperpanjangkan. Begitulah yang terlihat pada sejumlah cerpen-cerpen dari antologi Cerpen-Cerpen Pak Sako seperti “Menang Berjudi Terpinjam Budi”, “Anak Harimau” dan “Anak Luar”. Dalam corak penceritaan yang demikian pula, akan menjadi lebih wajar untuk berakhir dengan kebahagiaan pada pihak wira satu lagi unsur bercerita penglipur lara, yang terdapat dalam hampir semua plot cerpen-cerpen Ishak Haji Muhammad.

Seterusnya, keistimewaan cerpen-cerpen beliau juga terlibat pada pewarnaan watak-watak ceritanya. Hanya dua warna watak sahaja yang diberikan, iaitu hitam dan putih. Seperti yang dapat dibayangkan oleh sifat warna-warna tersebut, hitam memihak kepada watak-watak antagonis yang jahat, manakala putih pula mencorakkan watak-watak protagonis yang baik. Sifat warna ini menjadi lebih jelas tertonjol kerana pengarang terlalu melebihkan pelukisan kedua-dua pihak watak tersebut. Watak yang baik digambarkan sebagai memiliki segala sifat kelebihan, baik pada fiziknya mahupun pada mental dan budi pekertinya. Segalanya kekal tidak berubah dari awal hingga ke akhir cerita. Keadaan gambaran yang sama berlaku pada watak yang jahat; sifat jahatnya melebihi dari segala sifat yang lain, malah tidak ada “baik” pun pada mereka dari mula sampai kepada tamat penceritaan. Pelukisan watak yang demikian memang disengajakan. Ia dianggap sebagai memiliki beberapa kebaikan, baik bagi diri pengarang mahupun pembaca.

Dengan cara penonjolan demikian pengarang menjadi lebih calang untuk mengolah cerita dan seterusnya menyampaikan persoalan cerita. Sifat watak yang ternyata lebih kaku itu menjadi lebih mudah untuk dikawal oleh pengarang, sebab pewarnaannya tidak kompleks. Watak bergerak dengan cara yang mengarah kepada kemahuan atau kehendak pengarang. bukan tercetus dari motivasi dan peribadinya sendiri. Watak itu, biarpun diberikan peranan tertentu, tidak lebih daripada boneka yang seluruh tindakannya adalah dikuasai sepenuhnya oleh pengarang. Dalam bentuk pewarnaan dan pergerakan watak yang begitulah maka pengarang, secara lebih bebas dan senang, dapat menyalurkan persoalan-persoalan yang penuh terisi dengan nada-nada didaktis dan idealis. Bagi pembaca pula, mereka menjadi lebih mudah untuk mengikuti dan mengenali peranan dan tindakan watak. Perahan fikiran yang berlanjutan tidak perlu dilakukan langsung, kerana segala-galanya sudah ternampak jelas pada mereka. Lebih jauh dari itu mereka dapat melihat secara dekat dan tepat watak mana yang boleh dijadikan contoh teladan dan watak mana pula yang harus dijadikan ukuran sempadan. Dengan cara ini cerpen-cerpen Ishak Haji Muhammad dapat memenuhi matlamat utamanya untuk menjadi alat bagi tujuan mengajar atau mendidik masyarakat bangsanya.

Tetapi maksud itu tidak pula disampaikan dalam satu kaedah penceritaan yang sentiasa formal dan serius. Di sana sini, dalam hampir semua cerpen-cerpen Ishak Haji Muhammad untuk antologi Cerpen-Cerpen Pak Sako, terdapat unsur kelucuan atau humour. Unsur ini lebih banyak dikemukakan pada watak-watak cerita, terutamanya pada penyebutan nama-nama dan penggambaran tindakan-tindakan mereka. Nama sebahagian watak-watak cerpennya, baik dari golongan rakyat mahupun bangsawan, diberikan dalam sebutan-sebutan yang boleh mencetuskan rasa geli hati dan naluri tertawa. Biasanya, seperti yang terlihat dalam cerpen-cerpen pada antologi, ada dua cara penyebutan nama watak yang demikian dilakukan. Pertama, watak-watak dinamakan dengan sebutan yang mengandungi nada-nada mengejek serta menyindir seperti Indera Wijaya, Getah Para, Mat Kerengga atau Bah Bee. Kedua, nama-nama watak itu diberikan berpasangan, khususnya pada watak-watak wira dan wirawati, seperti Ramli-Ramlah. Amin-Aminah atau Said-Saudah. Memanglah penyebutan nama-nama yang demikian dapat mencuit perasaan pembaca untuk tertawa atau merasa geli hati dan riang. Apatah lagi apabila watak-watak tersebut digambarkan pula sebagai bertindak lucu, bersesuaian dengan kelucuan nama yang menjadi milik mereka.

Dan keistimewaan terakhir pada cerpen-cerpen Ishak Haji Muhammad ini terserlah pada aspek gaya bahasanya. Keseluruhan cerpen-cerpen itu memperlihatkan pemakaian bahasa yang lurus, monotone dan mudah diikuti. Jiwa bahasa wartawan turut tercerna dalam bentuk yang begitu padu dan kukuh, sehingga pada tempat-tempat tertentu khususnya dalam pelukisan latar cerita pemakaiannya menjadi kurang puitis dan indah. Walau bagaimanapun keadaan ini dapat pula diimbangi oleh kecenderungan pengarang sendiri untuk memasukkan bentuk-bentuk puisi lama, terutamanya pantun, dalam pengolahan cerita. Dialog-dialog watak pula lebih hidup kerana adanya keupayaan pengarang dalam penguasaan bahasa harian dan daerah serta perbendaharaan kata. Semuanya berpadu erat untuk menghasilkan suatu corak pemakaian bahasa yang dapat diterima oleh masyarakat pembaca zamannya.

Demikianlah maka Cerpen-Cerpen Pak Sako menjadi amat bererti buat masyarakat atau generasi baru zaman kini. Darinya terpancar jiwa atau hati nurani pengarangnya, yang jelas membayangkan keikhlasan dirinya untuk mengabdikan perjuangannya untuk kesedaran dan kemajuan hidup golongan rakyat. Dan cerpen-cerpen itu juga turut memantulkan jiwa masyarakat zamannya zaman sebelum Perang Dunia II yang penuh dengan suara rintihan dalam usahanya untuk mempertingkatkan nilai-nilai kehidupan dan harga diri. Semuanya dapat dilihat dan dirasakan melalui antologi penulis “generasi” ini!

Kata Pengantar
Catatan Pengarang

1. Satu Cerita dari Kampung

2. Sikat Emas

3. Tulisan di Pintu

4. Muslihat Rumahtangga

5. Macam Gergaji Dua Mata

6. Menang Berjudi Terpinjam Budi

7. Anak Luar

8. Jalan Hiburan

9. Anak Harimau

10. Musim Gelora

11. Menuba Ikan

12. Mari Kita Menyanyi

13. Membunuh Diri

14. Istana Berembun

15. Surat-Surat Sesat

16. Anak Dibuat Denak

17. Siti Muhibah

18. Amin! Kepada Encik Amin dan Cik Aminah

19. Di Sini Kita Bukannya Orang Dagang

20. Dari Perangkap ke Penjara, Kemudian ke Syurga

Weight0.38 kg
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.