Pemerintahan Beraja di Alam Melayu Merentas Zaman ,

RAMLAH ADAM merupakan bekas profesor di Universiti Malaya. Kemudian dilantik menjadi Rektor Kolej Yayasan Melaka (2006-2009). Kini beliau bertugas sebagai profesor di UniMAP.

DBP (Cetakan Pertama 2016)
372 halaman

RM60.00

Pemerintahan Beraja di Alam Melayu Merentas Zaman menghuraikan beberapa pesoalan tentang kepentingan kepimpinan raja dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran sesebuah kerajaan, negeri dan tanah jajahan takluknya. Antara persoalan itu termasuklah raja sebagai pemerintah mutlak kerajaannya dalam semua perkara, iaitu dari segi pentadbiran, kehakiman, ekonomi, kemasyarakatan, hubungan luar dan pelindung agama Islam sejak dahulu sehingga kini.

Pemerintahan Beraja di Alam Melayu Merentas Zaman adalah satu kompilasi kertas kerja Seminar Institusi Raja (SIRaj) III yang telah diadakan pada 26 Februari 2015 di Dewan Seminar Dato’ Hassan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Seminar ini telah dijalankan dengan kerjasama DBP dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Sebanyak 15 kertas kerja telah dibentangkan, tetapi hanya 11 kertas kerja yang dipersetujui oleh penulis-penulis untuk diterbitkan.

Pemerintahan Beraja di Alam Melayu Merentas Zaman mengandungi 11 bab, yang merupakan tajuk-tajuk kertas kerja yang dijadikan bab. Secara halusnya, pembentukan bab itu mengambil kira kepimpinan diraja, iaitu pemerintahan dan pentadbiran sultan-sultan Kesultanan Melayu Melaka dan Kedah. Terdapat juga tajuk-tajuk tentang hubungan luar atau diplomatik kerajaan Kedah dan Terengganu. Terdapat juga perbincangan tentang sistem pelantikan pembesar Melayu di bawah pemerintahan beraja di Selangor dan kajian mengenai pengetahuan rakyat tentang institusi raja di Malaysia. Sayang Sekali persoalan ekonomi dan pengangkutan negeri-negeri Melayu, yang dibentangkan, tidak mendapat keizinan penulis untuk diterbitkan.

Kaedah kajian yang dilakukan oleh para penulis berteraskan disiplin akademik ilmu sejarah. Mereka dengan jelas menggunakan kaedah penyelidikan perpustakaan yang menjalankan penyelidikan mencari data dan maklumat yang terdapat di perpustakaan dan arkib. Di sini mereka merujuk sumber-sumber primer dan sekunder yang berkaitan dengan tajuk-tajuk penyelidikan dan penulisan mereka. Rujukan-rujukan itu diperjelaskan dengan terperinci di bahagian nota kaki atau nota hujung pada setiap bab. Penulisan juga menggunakan kaedah temu bual dan tinjauan yang menjadi pelengkap kepada penyelidikan yang dijalankan.

Bahan-bahan yang diperoleh telah disusun mengikut keperluan dan kepentingan tajuk. Penulis memastikan pula bahan atau maklumat-maklumat yang didapati itu akan dihujah sesuai dengan objektif, permasalahan dan matlamat tajuk kajian. Perbincangan ini juga mengambil kira pendapat-pendapat penulis yang pernah membincangkan tajuk atau hal-hal yang berkaitan dengan tajuk-tajuk tersebut. Dengan perbincangan itu, penulis akan mengemukakan pendapat-pendapat baharu atau pendiriannya terhadap perkara itu. Di sinilah teori, pendapat atau tesis-tesis baharu dapat diutarakan. Inilah penemuan baharu yang akan dapat diketengahkan sebagai hasil kajian penyelidikan dan penulisan itu.

Ulasan literatur atau ulasan kepustakaan memang digunakan oleh setiap penulis sebelum memulakan penyelidikan dan penulisan tentang tajuk tersebut. Ulasan ini dilakukan sebagai latar belakang dan pengetahuan asas bagi perbincangan lanjut dalam penulisan seterusnya. Selalunya, para penulis akan dapat memahami isi-isi perbincangan dan dapatan kajian-kajian awal itu; dengan fahaman itu dapatlah para penulis melahirkan data-data baharu yang akan memberikan pendapat atau pandangan baharu.

Dengan data dan pendapat baru itu, satu perspektif atau tesis serta teori baru dapat dilahirkan terhadap sesuatu perkara yang telah dikaji. Dengan itu, penulisan tersebut akan menjadi lebih bermakna dan penting. Penulisan itu pula akan menjadi rujukan penyelidik yang lain pada masa depan. Dengan itu, ulasan kepustakaan sangat penting sebagai asas kajian dan perbincangan lanjut atas tajuk yang sama atau secara umum mengenai tajuk itu. Dengan cara itulah sesuatu kajian dapat diperluaskan dan diberi pendapat atau teori baru yang akan menjadikan tajuk itu terus penting dan relevan untuk kajian masa hadapan.

Secara keseluruhannya setiap artikel dalam Pemerintahan Beraja di Alam Melayu Merentas Zaman membincangkan sejarah, peranan dan kepimpinan raja-raja dalam kerajaan masing-masing, yang memberikan kesan dan impak kepada pemerintahan dan imej kerajaan mereka di mata dunia dan masyarakat sekelilingnya. Tindakan rajaraja itu menjadi saksi sejarah kepada tamadun yang mereka bina dan tinggalkan sebagai warisan kepada anak bangsanya. Walaupun negeri-negeri yang dibincangkan hanya beberapa buah sahaja, namun ia cukup menjadi bukti kepada hubungan luar berat sebelah yang berlaku di antara mereka. Namun, ada juga negeri Melayu yang memperlihatkan kebijaksanaan pemerintahannya dalam mengendalikan hubungan luamya.

Sistem Pelantikan pembesar di Selangor juga menunjukkan kepada kita sebuah sistem yang menarik yang mencerminkan sistem pentadbiran Melayu yang berpaksikan kepada pemerintahan diraja yang mutlak, yang menjadi nadi sistem pentadbiran sebuah kerajaan Melayu seperti Selangor. Hal ini sangat jarang diperkatakan. Semoga tulisan ini menjadi permulaan kepada kajian-kajian lanjut terhadap sistem pelantikan pembesar dalam kerajaan-kerajaan negeri-negeri Melayu yang lain.

Pemerintahan Beraja di Alam Melayu Merentas Zaman dapat memperlihatkan peranan teks atau hikayat-hikayat Melayu sebagai satu sumber sejarah yang boleh digunakan bagi memahami kepimpinan raja-raja Melayu dalam sistem pemerintahan kerajaan Melayu lama. Dalam pemerintahan kerajaan Melayu lama, raja-raja memainkan peranan sebagai pusat pemerintahan sesebuah kerajaan dengan berpaksikan konsep raja mutlak. Dengan konsep itu segala keputusan dan urusan perundangan dan pemerintahan negeri atau empayar ditentukan oleh raja yang memerintah kerajaan tersebut. Malah, kata-kata baginda juga merupakan undang-undang dan keputusan pentadbiran yang tidak boleh dibantah. Kedaulatan raja sebagai pemerintah yang ditaati oleh seluruh pembesar dan rakyat memang menjadi nadi sistem pemerintahan raja mutlak ini.

Dengan itu, pemahaman terhadap sistem pemerintahan raja mutlak itu patut menjadi dasar pemikiran pembaca apabila menggunakan teks atau hikayat-hikayat Melayu itu. Tidak mungkin fahaman hari ini akan cuba dipakai kepada pemerintahan lama yang berbeza pada hari ini. Pada hari ini, pemerintahan raja-raja Melayu berteraskan konsep raja berperlembagaan, yang bermakna bahawa pemerintahan raja-raja Melayu ditentukan oleh perlembagaan negara dan negeri. Dengan itu pemerintahan raja-raja Melayu pada masa lalu dan pada masa ini adalah sangat berbeza.

Maka tujuan Pemerintahan Beraja di Alam Melayu Merentas Zaman ditulis adalah untuk juga memberi kefahaman kepada generasi hari ini tentang perbezaan pemerintahan beraja di Malaysia. Pada suatu masa dahulu, pemerintahan itu bersifat raja mutlak, tetapi kini, akibat perubahan masa dan kerelaan raja-raja Melayu sendiri, bidang kuasa mereka telah ditentukan oleh perlembagaan negara dan negeri.

Pemerintahan Beraja di Alam Melayu Merentas Zaman ditulis untuk generasi muda memahami sistem pemerintahan lama yang menjadi warisan dan teras pemerintahan negara Malaysia pada hari ini. Generasi muda yang boleh dipengaruhi oleh pelbagai ilmu dan terdedah kepada pelbagai pengetahuan dan perubahan dunia tanpa sempadan ini, memerlukan suatu kerangka pemikiran yang jelas tentang warisan dan budaya pemikiran bangsanya dan negaranya.

Dengan pemahaman yang baik, mereka boleh menjadi warganegara yang kejap jati diri dan patriotismenya. Tanpa mempunyai pemahaman yang kukuh terhadap sejarah dan pembinaan budaya dan negara bangsa Malaysia, dibimbangi, mereka akan terpesong dan membuang jauh tamadun bangsa dan negaranya. Adanya suara-suara sumbang menolak dan memperlekeh institusi raja sebagai paksi pemerintahan negara, menunjukkan hala tuju yang agak merisaukan terhadap institusi ini. Diharap buku ini dapat membantu memberikan hala tuju yang positif demi masa depan negara Malaysia yang terus cemerlang.

Penerbitan Pemerintahan Beraja di Alam Melayu Merentas Zaman dipercayai akan dapat menambahkan lagi literatur tentang institusi raja dalam perbendaharaan ilmu warisan bangsa. Diharapkan buku ini akan menjadi rujukan generasi muda dalam mengendalikan penyelidikan bidang ilmu sejarah di negara ini. Pendapat-pendapat dalam buku ini diharap dapat menjadi pencerah kepada keraguan tentang isu-isu kepimpinan diraja dalam tamadun bangsa dan negara.

Di samping itu, Pemerintahan Beraja di Alam Melayu Merentas Zaman juga dapat dijadikan pendorong kepada penyelidikan dan penulisan yang lebih jauh sehingga dapat menghasilkan pencerahan yang lebih baik pada masa hadapan. Akhirnya, diharapkan buku ini dapat menambahkan rasa cinta kepada institusi raja sebagai paksi tamadun bangsa dan negara. Semoga dengannya, jati diri dan rasa cinta kepada negara akan terus dapat diperkukuhkan dalam kalangan generasi muda.

Weight 0.585 kg
Dimensions 14.7 × 2.3 × 22.3 cm
Edition

Format

ISBN

9789834912420

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Pemerintahan Beraja di Alam Melayu Merentas Zaman”

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

You may also like…

  • Siri Kajian Naskhah Kesultanan Melayu: Kesultanan Melayu Terengganu
    Sale!

    Siri Kajian Naskhah Kesultanan Melayu: Kesultanan Melayu Terengganu

    , RM67.00 RM40.00
  • Siri Kajian Naskhah Kesultanan Melayu: Kesultanan Melayu Kedah

    Siri Kajian Naskhah Kesultanan Melayu: Kesultanan Melayu Kedah

    , RM75.00
  • Siri Kajian Naskhah Kesultanan Melayu: Kesultanan Melayu Kelantan
    Out of stock

    Siri Kajian Naskhah Kesultanan Melayu: Kesultanan Melayu Kelantan

    , RM85.00
  • Sulalat al-Salatin Perteturan Segala Raja-Raja

    Sulalat al-Salatin ya’ni Perteturan Segala Raja-Raja (Sejarah Melayu)

    , , RM30.00