Out of stock

Hikayat Ahmad Muhammad

HASHIM ISMAIL adalah pensyarah di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Perpustakaan Negara Malaysia (Cetakan Pertama, 1996)
257 halaman termasuk Glosari dan Indeks

RM25.00

Out of stock

Hikayat Ahmad Muhammad memaparkan kisah keteguhan ikatan kasih sayang dua bersaudara, iaitu Ahmad dan Muhammad. Seperti kebanyakan manuskrip Melayu lama, Hikayat Ahmad Muhammad ditulis dalam bahasa yang indah, kaya dengan pengkisahan serta teladan dan sarat pula dengan nasihat. Oleh hal yang demikian, Hikayat Ahmad Muhammad menjadi sumber fakta yang baik bagi menelusuri sejarah dan peradaban bangsa kita. Ketinggian budi bangsa kta jelas pada watak-watak utama dalam hikayat ini dengan sifat baik hati, berdikari, berhemah tinggi, hormat menghormati, kasih sayang, keadilan, kebebasan, keberanian, kebersihan rohani dan jasmani, kejujuran, kerajinan, kerjasama, kesederhanaan, kesyukuran, rasional dan bermasyarakat. Unsur-unsur moral yang baik ini tersirat bersama plot, tema, peristiwa dan watak dalam hikayat ini. Inilah kekayaan nilai-nilai pendidikan dan moral dalam Hikayat Ahmad Muhammad yang perlu digali semula dan digarap untuk disajikan buat tatapan bangsa kita hari ini. Nilai-nilai baik ini semakin terhakis dan dilupakan sama ada dalam penulisan mahupun dalam amalan kehidupan seharian.

Berdasarkan kajian kepustakaan, naskhah yang berjudul Hikayat Ahmad Muhammad terdiri daripada berbagai-bagai versi. Versi-versi Hikayat Ahmad Muhammad yang masih berbentuk naskhah asal tersimpan di Belanda, Britain, Indonesia, Jerman, Malaysia, Perancis dan Sri Lanka.

Di Belanda terdapat lima naskhah Hikayat Ahmad Muhammad yang dapat dikesan setakat ini, terdapat empat bentuk naskhah asal di Universiti Leiden dan sebuah naskhah lagi di Koninklijk Instituut voor Taal-, Land- en Volkenkunde (KITLV-KNAW). Di Britain terdapat tiga naskhah berbentuk naskhah asal, sebuah di University of Cambridge, senaskhah di Royal Asiatic Society, dan senaskhah yang lain tersimpan di School of Oriental and African Studies.

Indonesia adalah negara yang paling banyak mengumpul naskhah asal Hikayat Ahmad Muhammad. Terdapat enam naskhah tersimpan di Museum Pusat Jakarta.

Di Jerman terdapat tiga naskhah Hikayat Ahmad Muhammad. Naskhah-naskhah ini tersimpan di Preussischer Staatsbibliothek, Berlin. Kesemua naskhah ini telah diperolehi salinannya dalam bentuk mikrofilem, tersimpan di Perpustakaan Negara Malaysia dan di Perpustakaan Universiti Malaya.

Setakat ini di Malaysia hanya terdapat sebuah naskhah asal Hikayat Ahmad Muhammad yang disimpan oleh Perpustakaan Negara Malaysia. Sebuah naskhah lagi yang bertulisan tangan dikesan di Perancis, tersimpan di Bibliothèque nationale de France. Selain daripada itu, naskhah Hikayat Ahmad Muhammad juga terdapat di Sri Lanka. Sehingga sekarang tidak dapat diketahui berapa jumlahnya kerana masih belum dikatalogkan.

Berdasarkan inventarisasi yang telah dinyatakan, terdapat sembilan belas naskhah Hikayat Ahmad Muhammad di seluruh dunia setakat ini. Hikayat Ahmad Muhammad juga dikenali dengan judul lain antaranya, Hikayat Daripada Bahasa Arab, Hikayat Daripada Bahasa Jawa, Hikayat Raja Ahmad, Hikayat Serangga Bayu, Hikayat Sukarna dan Sukarni, Hikayat Maqdum dan Maqdim, dan Hikayat Aranda Kasina. Hikayat Ahmad Muhammad bukan sahaja terdapat dalam bahasa Melayu tetapi terdapat juga dalam bahasa Arab dan bahasa Jawa, menjadikannya sebagai sebuah cerita yang popular pada zaman kesusasteraan Melayu klasik.

Kajian dalam karya ini tertumpu pada melibatkan versi Melayu Hikayat Ahmad Muhammad dan yang berbentuk prosa sahaja. Bahan utama kajian adalah sebuah naskhah asal bertulisan tangan, simpanan Perpustakaan Negara Malaysia yang ditandai dengan MSS422. Naskhah MSS422 ditransliterasikan dan dianalisis strukturnya sebagai sebuah hasil karya sastera Melayu lama. Kemudian naskhah tersebut dianalisis fungsinya kepada masyarakat pembaca terutama dari sudut pendidikan moral. Hal ini sesuai dengan kepentingan karya-karya sastera Melayu lama yang dikatakan antara lain bertujuan memberi didikan. Sementara itu, naskhah-naskhah lain dijadikan sebagai sumber rujukan dan perbandingan dalam usaha menyunting MSS422.

Weight0.4 kg
Dimensions22.7 × 15.4 × 1.6 cm
Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.