Out of stock

Ensiklopedia Sastera Dunia

Ensiklopedia Sastera Dunia ialah terjemahan yang sah daripada Encyclopedia of World Literature in the 20th Century oleh Leonard S. Klein dan diterbitkan oleh The Continuum Publishing Company.

DBP (Cetakan Pertama, 2000)
6 jilid

RM1,045.00

Out of stock

Penerbitan Ensiklopedia Sastera Dunia oleh Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan suatu usaha untuk menambah dan memperkasa sumber pengetahuan dan rujukan yang bermutu dalam bahasa Melayu serta merealisasikan harapan negara untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Penghargaan kepada The Continuum Publishing Company, New York kerana mengizinkan Dewan Bahasa dan Pustaka menterjemah ensiklopedia terbitannya berjudul Encyclopedia of World Literature in the 20th Century yang terdiri daripada lima jilid. Ensiklopedia dalam edisi Melayu dinamai Ensiklopedia Sastera Dunia dan diterbitkan dalam enam jilid.

Ensiklopedia Sastera Dunia mengandungi 2178 kata masukan daripada Encyclopedia of World Literature in the 20th Century yang memberikan maklumat tentang tokoh sastera, pemikiran, teori, serta konsep sastera mutakhir dari seluruh dunia, dan tambahan 19 kata masukan tentang perkembangan sastera dan tokoh sastera di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam.

Kata masukan Ensiklopedia Sastera Dunia disusun berdasarkan urutan abjad. Kata masukan tentang kesusasteraan kebangsaan disusun berdasarkan susunan teks asal mengikut nama negara bagi memudahkan pengguna membuat rujukan. Contohnya “Amerika, Kesusasteraan” bukan “Kesusasteraan Amerika”.

Kata masukan utama “Malaysia, Kesusasteraan” mempunyai tiga subkata masukan, iaitu (i) kesusasteraan dalam enam bahasa yang dituturkan oleh penduduk Malaysia, (ii) Penerima S.E.A. Write Award dan (iii) tokoh sastera Malaysia yang dipilih berdasarkan sumbangan dalam genre tertentu. Bagi tokoh penerima Anugerah Sastera Negara Malaysia pula kata masukan tokoh berkenaan disusun mengikut urutan abjad sebagai kata masukan utama. Kata masukan bagi “Brunei Darussalam, Kesusasteraan” memberikan maklumat tentang perkembangan kesusasteraan dan tokoh sastera negara itu.

Kata masukan tambahan daripada Jilid 5 Encyclopedia of World Literature in the 20th Century (Volume 5: Supplement and Index) digabungkan ke dalam Jilid 1 hingga 6 Ensiklopedia Sastera Dunia dan diberikan catatan Tambahan daripada Jilid 5 Karya Asal, khususnya untuk kata masukan tentang kesusasteraan kebangsaan.

Tiga prinsip utama telah digunakan untuk menyusun edisi semakan Encyclopedia of World Literature in the 20th Century: (1) mengkaji dan mempertimbangkan semula semua kandungan hampir menyamai proses penyusunan yang baru supaya mana-mana kekurangan yang terdapat dalam edisi pertama dapat dibaiki; (2) mengemaskinikan, menyusun semula, atau menggantikan semua artikel tentang subjek yang dikekalkan yang berbeza antara satu jilid dengan jilid yang lain dalam edisi pertama supaya selaras dengan prinsip liputan yang ditetapkan; (3) mengantarabangsakan ruang lingkup dengan cara yang benar-benar komprehensif, supaya buat pertama kalinya dalam bahasa Inggeris (dan barangkali dalam mana-mana bahasa) sarjana, pelajar, dan pembaca umum dapat berpandukan sebuah karya rujukan untuk menyelami lautan aktiviti dunia kesusasteraan yang penting pada abad ke-20 di seluruh dunia.

Memandangkan kajian yang sistematik terhadap kesusasteraan Asia dan Afrika terhad—di Barat dan juga di tanah air sendiri—ketika peringkat perancangan edisi pertama, ruang lingkup antarabangsa didapati lebih ideal daripada realiti yang sebenar. Banyak negara malah seluruh rantau diabaikan, dan hasil kajian yang dimasukkan hanya disusun secara rambang: ada yang mengikut negeri, ada yang mengikut rantau, dan ada yang mengikut bahasa. Kini, kira-kira tiga setengah dasawarsa selepas tamatnya Perang Dunia II—dan sistem global lama yang hancur bersama-samanya—sidang penyunting menggunakan negara bangsa sebagai prinsip penyusunan, bukan sahaja untuk liputan yang meluas tentang kesusasteraan di negara-negara Afrika dan Asia tetapi juga untuk menyusun semula liputan kesusasteraan Barat.

Justeru itu, kesusasteraan Perancis dan Flemish di Belgium dan kesusasteraan Finland dan Sweden di Finland, umpamanya, kini dipersembahkan berdasarkan kajian menyeluruh peringkat nasional dan tidak dipisahkan oleh bahasa. Bagi kesusasteraan negara di benua Amerika yang berbahasa Sepanyol yang sebelum ini digabungkan dalam satu artikel umum, kini dipersembahkan dalam artikel yang berasingan (kecuali dua artikel pelbagai tentang negara-negara kecil: Kesusasteraan Amerika Tengah dan Kesusasteraan Caribbean-Sepanyol). Tambahan pula, beberapa kesusasteraan negara Eropah yang kurang dikenali seperti Albania, Byelorussia, dan Luxembourg kini turut digarap dalam edisi ini.

Walau bagaimanapun, perkara yang paling ketara yang dapat diperhatikan oleh para pengguna edisi sebelumnya ialah kini mereka boleh menganggap karya rujukan ini sebagai sumber utama tentang semua kesusasteraan bertulis di semua negara maju di Asia dan Afrika pada abad ke-20. Melalui bantuan yang cukup banyak daripada penasihat yang bertutur bahasa Inggeris di pelbagai rantau, edisi semakan ini mengandungi artikel kajian tentang kesusasteraan kira-kira 85 buah negara Asia dan Afrika, termasuk negara “republik” di Asia dan wilayah autonomi di Soviet Union.

Artikel semasa turut dimuatkan dalam edisi ini sama seperti dalam edisi pertama, termasuk kata masukan tentang gerakan seperti kubisme dan imagisme yang diabaikan dalam edisi sebelumnya. Walau bagaimanapun, oleh sebab betul-betul akur dengan prinsip peliputan antarabangsa, artikel tentang genre sastera (novel, drama, dan sebagainya) telah digugurkan berdasarkan prinsip bahawa rencana seumpama ini boleh digarap oleh sarjana kesusasteraan bandingan hanya dari segi kesusasteraan utama; tambahan pula, apa yang digunakan untuk perkembangan umum dalam beberapa kesusasteraan utama biasanya tidak dapat digunakan langsung untuk kesusasteraan yang baru muncul.

Teras edisi kedua, sama seperti edisi pertama, ialah artikel yang berasingan tentang penulis utama dan representatif. Di sini, sekali lagi, kesemuanya diteliti secara rapi. Bagi kesusasteraan biasa, senarai pengarang dikaji semula bersama-sama penasihat, dan penyenaraian dan penentuan panjang pendek artikel disesuaikan untuk mencerminkan perspektif abad ke-20 dan pendekatan yang selaras bagi empat jilid edisi kedua ini. Banyak tokoh awal abad ini telah digugurkan, dan kriteria untuk memasukkan tokoh peralihan ialah mereka yang bukan sahaja hidup dalam abad ke-20 tetapi juga menghasilkan karya besar selepas tahun 1900. Justeru itu, tokoh besar—tokoh besar abad ke-19—seperti Ibsen dan Nietzsche tidak dimasukkan lagi. Banyak pengarang baru dimasukkan, tetapi editor dan semua penasihatnya masih berfahaman lama kerana mahu menghasilkan karya yang dapat menjadi karya rujukan yang andal, bukannya yang meniru-niru

Seperti mana halnya dengan artikel kajian, julat artikel pengarang turut diperluas merangkumi pengarang kesusasteraan yang kurang dikenali yang memperoleh kejayaan cemerlang. Antara contoh liputan yang sedemikian adalah seperti yang berikut: Natalla Arsiennieva dari Byelorussia, Shaban Robert dari Tanzania, Sadriddin Ayni dari Tajik, Thawda Swe dari Burma, V.S. Khandekar dari India (bahasa Marathi), Nizar Qabbani dari Syria, Nhat-Linh dari Vietnam, Chïngïz Aytmatov dari Kirgiz, Carmelo Psaila dari Malta, Okot p’Bitek dari Uganda.

Artikel tentang pengarang kini panjangnya dalam lingkungan antara 300 hingga 2400 patah perkataan. Semua artikel yang terlalu pendek dikeluarkan bagi memastikan artikel yang lebih ringkas dapat memberikan maklumat biografi yang lengkap dan analisis yang kritis tentang tema dan karya utama penulis kepada pembaca.

Pengenalan oleh editor terdahulu, Wolfgang Bernard Fleischmann (tidak termasuk penghargaannya) telah dicetak semula selepas prakata ini. Kebanyakan prinsip am—selain perubahan yang telah dinyatakan—tidak berubah. Walau bagaimanapun, saya ingin menunjukkan pengubahsuaian yang berikut:

Bahan Sumber dan Pembaca

Artikel yang ditulis berdasarkan Lexikon Herder tidak dikekalkan. Semua artikel dalam edisi ini, terdiri daripada artikel edisi lama yang sama ada dikemaskinikan atau dipinda atau artikel baru sama sekali. Semua artikel mempunyai nama penyumbang. Penyumbang terdiri daripada sarjana yang terkemuka dan sedang meningkat naik. Kebanyakan artikel Ungar telah digantikan sama ada kerana sudah tidak sesuai lagi atau penyumbang lama tidak dapat dihubungi kerana pelbagai sebab -untuk membuat pindaan yang perlu. Dalam beberapa hal, artikel lama terpaksa dikemaskinikan oleh bukan penyumbang asal (maklumat ini dapat dilihat pada nama penyumbang).

Pengguguran

Masalah yang sama tentang pemilihan penulis masih dihadapi, kerana karya rujukan ini bersifat selektif, dan kerana yang diperlukan ialah maklumat dan analisis yang lengkap bukan cebisan tentang penulis yang terpilih. Editor edisi ini, seperti editor yang dahulu juga, sentiasa bersedia untuk mendengar dan menerima apa-apa rungutan tentang mengapa penulis itu dipilih dan mengapa yang ini tidak. Walau bagaimanapun, hubungan kerjasama yang rapat dengan pakar setiap kesusasteraan telah memastikan liputan yang diberikan seimbang. Para penasihat—yang disenaraikan namanya pada bahagian awal setiap jilid—memberikan bantuan yang tidak terhingga banyaknya, bukan hanya setakat membantu menentukan penulis mana yang perlu mempunyai artikel yang berasingan malah juga mengesyorkan nama pihak berwibawa untuk menulis artikel—dan dalam keadaan tertentu, turut mengaturkan nama penyumbang secara langsung. Walau bagaimanapun, tanggungjawab muktamad terhadap sesuatu artikel terletak pada editor umum, tetapi tanpa bantuan yang berharga daripada penasihat, beliau tidak mungkin dapat merancang semakan ini.

Kata Masukan: Penyusunan dan Data

Setiap tajuk karya dalam teks yang belum terbit dalam terjemahan Inggeris disertai dengan terjemahannya secara harfiah. Ciri ini yang diperkenalkan dalam Jilid IV edisi asal telah diperluas meliputi keseluruhan edisi ini. Apabila terdapat perbezaan terjemahan bahasa Inggeris British dengan bahasa Inggeris Amerika, hanya terjemahan Amerika yang diambil…

Data Bibliografi

Oleh sebab matlamat sidang penyunting untuk menyampaikan maklumat kepada pengguna bukan pakar, sidang penyunting mengehadkan bibliografi bagi setiap artikel pada sumber dalam bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, dan Sepanyol sahaja. Keputusan ini dibuat bukan sebagai pertimbangan terhadap kritikan kesusasteraan dalam bahasa lain, dan sidang penyunting sememangnya sedar bahawa sumber sekunder yang paling utama tentang penulis biasanya ditulis dalam bahasa penulis itu sendiri. Untuk mendapatkan maklumat ini, pembaca dinasihati supaya merujuknya pada karya rujukan yang khusus.

Rujuk Silang dan Nama Samaran

Seperti dalam edisi lama, sidang penyunting cuba mengelak daripada membuat huraian lebih lanjut tentang rujuk silang nama-nama lain sesetengah penulis. Namun, artikel kajian tentang kesusasteraan kebangsaan mempunyai rujuk silang yang luas supaya pembaca yang pada mulanya merujuk kepada bahasa bukan negara akan dirujuk kepada entri yang sewajarnya. Contohnya, dalam Kesusasteraan Benggali akan terdapat: “Lihat Bangladesh, Kesusasteraan dan India, Kesusasteraan”.

Rujuk silang yang luas bagi pengarang, kesusasteraan, dan gerakan lain dikekalkan dalam teks semua artikel, tetapi singkatan “q.v.” hanya digunakan pada pertama kali perkara itu disebut dalam sesuatu artikel, tanpa mengira panjang pendeknya.

Transliterasi

Sidang penyunting berusaha untuk menyelaraskan transliterasi bagi sesuatu bahasa dalam keempat-empat jilid Ensiklopedia ini. Oleh sebab karya rujukan ini bersifat antarabangsa, sidang penyunting mengutamakan sistem yang lebih mudah daripada sistem ilmiah yang rumit yang digunakan oleh pakar. Namun, sidang penyunting tidak mempermudah tanda diakritik bagi bahasa yang menggunakan abjad rumi.

Petikan

Seperti edisi yang lalu, artikel penulis utama diikuti dengan siri petikan untuk mempertegas kenyataan penulis artikel atau menyatakan perbezaan pandangan. Walau bagaimanapun, senarai penulis yang mempunyai ciri khusus ini tidak diambil bulat-bulat daripada edisi pertama tetapi telah dipinda di sana sini untuk menggambarkan kriteria edisi semakan ini.

Manakala, Jilid Tambahan Encyclopedia of World Literature in the 20th Century pula direka untuk melengkapkan empat jilid Edisi Semakan dengan memasukkan olahan yang diperluas berkenaan kegiatan kesusasteraan yang penting pada abad ini dan di seluruh dunia. Cakupan dan kekompleksan kesusasteraan ini memerlukan kajian, analisis, dan penilaian yang progresif, dan Jilid Tambahan ini menjadi panduan yang lengkap dan berwibawa untuk tujuan ini.

Bagi memenuhi keperluan pembaca ilmiah dan juga pembaca umum, Jilid Tambahan ini menyediakan maklumat yang baru, yang diperkembang dan disemak semula bagi maksud menilai dan menghargai pertumbuhan dan perkembangan kesusasteraan dunia moden. Dekad sebelum penerbitan Jilid Tambahan ini merupakan dekad yang sangat luar biasa dalam sejarah moden, yang dikuasai oleh kesan pergolakan politik dan sosial yang belum pernah berlaku serta takrifan semula sempadan kebangsaan. Kita telah menyaksikan peristiwa yang merubah corak dunia dan cara kita membicarakan kesusasteraan. Kesan sosiopolitik dan kesusasteraan hasil perubahan ini belum disedari dan difahami sepenuhnya. Walau bagaimanapun, sidang penyunting telah berusaha sedaya upaya untuk memuatkan perkembangan terkini dalam Jilid Tambahan ini.

Jilid Tambahan ini mengandungi artikel kajian tentang lebih kurang 35 kesusasteraan kebangsaan. Direka sebagai lanjutan kepada Jilid 1 hingga 4 Encyclopedia of World Literature in the 20th Century, artikel kajian dalam Jilid Tambahan ini tertumpu, terutamanya pada kegiatan kesusasteraan pada dekad yang lalu dan sejak penerbitan Edisi Semakan. Artikel kajian membincangkan karya penulis mapan yang terus memberikan sumbangan kesusasteraan yang penting serta penulis yang baru muncul yang menghasilkan karya popular dan penting.

Inti pati Jilid Tambahan ini, seperti juga Edisi Semakan, ialah artikel yang berasingan tentang penulis utama dan penulis representatif. Jilid Tambahan ini mengandungi artikel tentang lebih 400 pengarang yang bertaraf kebangsaan dan antarabangsa. Dipilih oleh editor umum dengan kerjasama anggota lembaga penasihat, pengarang yang artikelnya terpilih secara berasingan dalam jilid ini mencerminkan tiga kriteria asas bagi pemilihan mereka.

Kriteria tersebut ialah: (1) pengarang mapan pada zaman awal atau pertengahan abad ke-20 yang karya dan reputasi sasteranya masih terus berpengaruh hingga hari ini; (2) pengarang penghujung abad ke-20 yang memberikan sumbangan kesusasteraan yang besar; (3) pengarang daripada kesusasteraan yang kurang diketahui umum yang cemerlang pencapaiannya. Bagi memenuhi tujuannya sebagai karya rujukan, Jilid Tambahan ini berusaha untuk bersifat komprehensif dan bukan meniru-niru dalam pemilihan tokoh pengarang. Skop antarabangsa dalam Ensiklopedia ini juga penting dipertahankan.

Oleh yang demikian, kebanyakan pengarang—Amerika, British, Eropah—yang terkenal di kalangan pembaca berbahasa Inggeris tidak dibicarakan secara berasingan, tetapi sebaliknya terangkum dalam artikel kajian kesusasteraan kebangsaan. Kebanyakan pengarang daripada kesusasteraan yang kurang diketahui umum terbatas pendedahannya di kalangan pembaca berbahasa Inggeris, dan sehingga kini sejumlah besar karya mereka belum diterjemahkan ke bahasa Inggeris ataupun tidak mendapat perhatian pengkritik. Bagi pengarang-pengarang ini, Jilid Tambahan ini merupakan sumber rujukan utama bagi pembaca berbahasa Inggeris.

Sama seperti Jilid 1 hingga 4 Edisi Semakan, artikel semasa juga dimuatkan dalam Jilid Tambahan ini untuk mencerminkan arah aliran, gerakan kesusasteraan atau badan pemikiran kritikan yang mempengaruhi kesusasteraan dunia moden. Jilid Tambahan ini memuatkan artikel tentang dekonstruksi, kritikan feminis, historisisme, kesusasteraan dalam buangan, pascamodenisme dan pascastrukturalisme.

New Product Tab

Here's your new product tab.

Weight 12.8 kg
Dimensions 28.5 × 20 × 33 cm
Edition

Format

ISBN

9789836267047, 9789836267054, 9789836267061, 9789836267078, 9789836267085, 9789836267092

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Ensiklopedia Sastera Dunia”

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.