Kehadiran Makna: Merumus Budaya Ingatan

RAMZE ENDUT adalah Felo Penyelidik di Institute of Malaysian and International Studies, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Penerbit UKM (Cetakan Pertama, 2022)
179 halaman termasuk Rujukan dan Indeks

RM35.00

In stock

Kehadiran Makna: Merumus Budaya Ingatan bertujuan untuk memberi “nyawa kedua” kepada mereka—manusia dan bukan-manusia (non-human)—yang telahpun pergi. Menerusi pengumpulan semula (recollection) dan penjelmaan kembali (re-enactment) jejak-jejak peninggalan, maka setiap yang berlaku dan berlalu boleh dimanfaatkan oleh generasi semasa. Peranan makna telah memungkinkan perkara ini. Walau bagaimanapun, bertitik-tolak daripada kritikan terhadap hegemoni makna Niklas Luhmann, makna hakikatnya tidak hadir begitu sahaja. Makna boleh bergelut dengan keadaan ketiadaan makna, kehilangan makna dan ketaksampaian makna.

Lantas, sambil menerapkan pemikiran Hans Ulrich Gumbrecht, semua keadaan keterbatasan makna tersebut boleh ditampung menerusi budaya kehadiran (presence culture). Sungguhpun begitu, persis seperti makna, budaya kehadiran juga secara tunggal tidak berupaya memerihal realiti masyarakat. Justeru, bagi mengatasi ketegangan antara kehadiran dengan makna, maka gagasan budaya ingatan (memory culture)—menerusi kod pengenangan (remembering) dan pelupaan (forgetting)—ditawarkan sebagai suatu “kategori ketiga” yang mendamaikan ketegangan tersebut. Kategori ini diciri berdasarkan keupayaan ingatan untuk merentas batas, memulih trauma dan membina naratif.

Keupayaan ini membekalkan budaya ingatan dengan peranan sebagai pemeri makna kepada pengalaman yang tidak terkomunikasi (incommunicable experience). Tentu sekali, gagasan budaya ingatan ini tidak jauh berbeza dengan ingatan kolektif (collective memory) Maurice Halbwachs dan ingatan kebudayaan (cultural memory) Jan dan Aleida Assmann. Namun, dengan menggariskan perbezaan antara kehadiran dengan makna, maka budaya ingatan boleh meringkas lambakan dan kerumitan konsep yang sedia terhimpun dalam kajian ingatan (memory studies).

Kesan daripada kamiran kehadiran, ingatan dan makna—menerusi rumusan budaya ingatan—ini akhirnya membuka ruang untuk menyelongkar pengalaman yang tidak terkomunikasi seperti peristiwa traumatik masa lalu. Dalam hal ini, setiap kelompok mnemonik (mnemonic community) yang pernah direntap pengalaman traumatik dituntut untuk bertindak aktif (berdasarkan kesepaduan moral dan estetik) dalam mengenang masa lalu mereka. Langkah ini sekali gus memberi nyawa kembali kepada setiap peristiwa yang berlaku dan berlalu.

Dengan makna yang dilekat kemas kepada kehadiran, maka budaya ingatan ini bukan sahaja mengakar identiti kelompok akibat suatu peristiwa traumatik, tetapi juga dapat memastikan setiap yang berlaku dan berlalu tidak tersia tanpa disemat pengiktibaran sehingga nilai yang diperoleh akhirnya melampaui identiti kelompoknya sendiri.

Senarai Jadual & Rajah
Prakata

BAB 1 Daripada Makna kepada Kehadiran

BAB 2 Niklas Luhmann dalam Wacana Sosiologi

BAB 3 Sistem dan Makna Niklas Luhmann

BAB 4 Penghasilan Budaya

BAB 5 Budaya Makna

BAB 6 Budaya Kehadiran

BAB 7 Budaya Ingatan

BAB 8 Kehadiran Makna: Meluas Ufuk Perspektif

Senarai Glosari
Rujukan
Indeks

Weight0.281 kg
Dimensions23 × 15.3 × 1.1 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

  1. Shamsul Amri Baharuddin, Profesor Ulung (store manager)

    Ramze Endut dengan buku sulungnya berjudul “Kehadiran Makna: Merumus Budaya Ingatan” telah julung kalinya memperkenalkan kajian ingatan (memory studies) menerusi suatu teori yang ada nilai keasliannya. Pendekatannya yang berasaskan perbandingan antara kehadiran dengan makna ini amat berguna sebagai suatu kaedah dan bahan analisis dalam kajian yang melibatkan kerumitan masa lalu. Lebih mengujakan, usahanya ini bermula dengan kritikan terhadap teori sistem sosial yang bertunjangkan sistem komunikasi gubahan Niklas Luhmann, seorang ahli sosiologi masyhur Jerman. Langkah berani yang diambilnya ini berjaya mendekatkan dua kajian yang awalnya tampak terpisah—teori sistem dan kajian ingatan—sehingga menghasilkan rumus “budaya ingatannya” yang tersendiri. Tatkala kita ketandusan kajian yang bersifat teori, buku ini hadir memberi nafas baharu kepada wacana tersebut di Malaysia khususnya dan alam berbahasa Melayu di Nusantara amnya.

    (0) (0)
  2. Khairudin Aljunied, National University of Singapore (store manager)

    Buku ini ditulis dengan cemerlang khususnya menerusi kamiran beragam perspektif—kehadiran, ingatan, makna—dalam menyelongkar peripentingnya amalan dan penciptaan tradisi baharu. Kemampuan menggabungkan kesemuanya menerusi teori tingkat pertengahan wajar dipuji. Hujahnya bernas: Bahawasanya teori-teori yang berciri Euro-amerika tidak seharusnya dicedok terus, malah perlu disukat secara heuristik dalam menghasilkan suatu ramuan teori yang mapan.

    (0) (0)
  3. Azhar Ibrahim, National University of Singapore (store manager)

    Memahami budaya ingatan—berdasarkan perbezaan kehadiran dan makna—pasti mengundang persoalan asas: Bagaimana? Huraian Ramze Endut yang tersusun dengan kupasan yang cermat ini sangat membantu di saat kita memerlukan pengantar untuk menekuni dinamika kajian ingatan (memory studies). Lebih menarik, jalan yang dipilihnya bermula daripada kritikannya terhadap pemikiran Niklas Luhmann, selain penyuguhan dan sanggahan dari para pengkaji lainnya.

    (0) (0)
  4. Reza Wattimena (store manager)

    Buku ini memperluas wacana tentang ingatan menerusi rangkaiannya dengan kehadiran dan makna. Keluasannya tidak hanya memahami apa yang telah terjadi, tetapi juga sebagai arah pembangunan identiti sosial yang berasaskan ingatan yang bermakna.

    (0) (0)

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.