Kembara Henri Fauconnier di Tanah Melayu merupakan sebuah kumpulan karya sarjana Malaysia dan Perancis yang meneliti sumbangan unik Henri Fauconnier, seorang penanam getah di Selangor dan juga yang memperkenalkan kelapa sawit di Malaysia. Sumbangan unik beliau ialah penanda penting dalam sejarah industri getah dan kelapa sawit. Sementara itu, beliau ialah novelis ternama, yang dapat membaca dan melukiskan sudut bermakna budaya bangsa-bangsa di Malaysia serta cara hidup mereka. Beliau melatar depankan budi bahasa dalam hubungan mereka, kecanggihan bentuk ekspresi sastera yang menarik perhatian dunia. Karya beliau yang berjudul Malaisie, kini diterjemahkan ke dalam banyak bahasa dunia. Nurani Tanah Melayu ialah terjemahan bahasa Melayunya. Berkat kedua-dua usaha awal beliau ini, industri getah dan sawit Malaysia kini berkembang subur. Dan, naratif Malaysia yang dibawa novelnya turut sama melukiskan sudut-sudut bermakna manusianya.
Pada tahun 1905, seorang pemuda Perancis yang bernama Henri Fauconnier (1879-1973) tiba di Asia Tenggara. Beliau sangat luar biasa kerana telah belayar dari negaranya pada usia yang sangat muda (25 tahun, pada 1905). Sebaik sahaja beliau singgah di Singapura, beliau telah dinasihatkan supaya mengubah rancangannya, yang pada mulanya ialah untuk menanam pohon rumbia (sagu) di Pulau Borneo, kepada rancangan baru—iaitu untuk menanam getah di Semenanjung. Ini kerana pada awal abad ke-20, masa depan getah dianggap cerah meskipun tidak ramai orang berani menceburi bidang yang baru ini. Kini, kita mencatat kejayaan dalam dua bidang yang sangat berbeza, iaitu pertanian dan penulisan.
Kita harus maklum bahawa istilah “getah” dalam bahasa Perancis (caoutchouc) berbeza daripada bahasa Inggeris (rubber) kerana istilah Perancis masih mengekalkan asal-usul daripada bahasa Quechua yang bermaksud “kayu yang menangis”. Sebenarnya sebuah novel Perancis yang bertajuk L’arbre seringue menceritakan penemuan semula getah oleh François Fresneau di hutan di Amerika Latin, yang ditulis oleh Jacques Berlioz-Curlet dan diterbitkan oleh Bordessoules di Charente-Maritime pada tahun 2009. Maka kedua-dua kemahiran Fauconnier ini dikembangkan beliau di Selangor. Beliau muncul sebagai seorang penanam getah yang rajin dan juga seorang penulis yang berjaya menghuraikan cara berfikir dan Jiwa manusia Semenanjung pada masa itu.
Yang menarik juga ialah hakikat bahawa dalam Malaisie terlihat detik-detik permulaan penanaman getah di Semenanjung. Kita sedar bahawa kerja itu bukan mudah, tetapi memerlukan perancangan, tenaga dan ketekunan yang luar biasa, sebelum usaha itu dapat membuahkan kejayaan. Walaupun ada beberapa pihak yang tidak bersetuju dengan mentakrifkan karya itu sebagai sebuah novel, dengan alasan bahawa karya itu berbeza daripada novel biasa, namun para pembaca diperkenalkan kepada kehidupan penduduk tempatan dan asing secara mendalam dalam proses mereka berusaha menyesuaikan diri dengan alam dan masyarakat sekitarnya. Oleh yang demikian, kita seperti dimaklumkan bahawa Maison des Palmes (Pondok Nibung), iaitu kediaman Fauconnier dalam bentuk seni bina tempatan, di tepi estet getah dan di tebing Sungai Selangor, ialah sebuah usahanya untuk hidup dalam persekitaran dan masyarakat baru di hulu sungai ini.
Reviews
There are no reviews yet