Kitāb Perubatan Melayu: Kebun Segala Raja-Raja (Bab VII, Bustān al-Salāṭīn) merupakan karangan Nūr al-Dīn al-Rānīrī yang menulis karya ini bagi memenuhi permintaan Sultan Iskandar Thani sekitar abad ke-17. Kandungan naskhah tulisan al-Rānīrī ini sangat berma’na di dalam falsafah dan Islamisasi ‘ilmu kesihatan dan perubatan, khususnya fasal I, II dan III yang mempersembahkan petua-petua serta saranan ‘amalan dan penjagaan kesihatan yang dipraktikkan oleh masharakat Melayu lama, yang mungkin banyak manfa’atnya jika diperkenalkan kembali pada zaman ini. Kelompok ‘ilmu di dalam pembelajaran ‘ilmu perubatan zaman dulu yang diperkenalkan oleh penulis melalui usaha transliterasi ini juga amat menarik terutama ‘ilmu firasat yang diketengahkan.
Bustān al-Salāṭīn adalah sebuah karangan dalam genre adab iaitu karya ketatanegaraan dan tatalaku yang dikehendaki pada setiap raja-raja. Karya adab mempunyai format tersendiri di mana sesuatu fakta atau pernyataan itu akan diikuti oleh (1) nasihat, atau (2) ayat al-Qur’an, atau (3) Hadith, atau (4) kesemuanya sekali. Nama Bustān al-Salāṭīn ini diterjemahkan oleh al-Rānīrī sendiri sebagai “Kebun Segala Raja-raja”. Bustān al-Salāṭīn merupakan karya klasik Melayu yang paling tebal, melebihi 2000 halaman.
Tidak ramai yang mengetahui naskhah ini mengandungi ‘ilmu perubatan yang diletakkan di bab ketujuh. Jelas sekali al-Rānīrī memandang ‘ilmu perubatan sebagai penting dalam kehidupan dan pengurusan kenegaraan. Naskhah ini merupakan dokumentasi bertulis dalam bahasa Melayu yang paling awal dan memiliki keunikan tersendiri seperti memasukkan ‘ilmu anatomi dan perubatan herba. Kandungannya yang saintifik sekaligus menolak secara total dan berfakta akan dakwaan Orientalis seperti Snouck Hurgronje bahawa perubatan orang Melayu adalah perubatan mistik dan tahyul.
Reviews
There are no reviews yet