Kitāb Perubatan Melayu: Rumah Ubat di Pulau Penyengat merupakan kajian komprehensif terhadap perubatan Melayu lama yang berkitar di atas asal-usul Raja Ḥāji Aḥmad yang datangnya dari kalangan bangsawan serta naskhah Rumah Ubat di Pulau Penyengat yang dicetak pada tahun 1894. Pembaca, terutamanya dari kalangan ahli akademik di dalam bidang sejarah atau perubatan dan kesihatan serta masharakat umum, akan mendapat gambaran tentang tatacara dan amalan seorang doktor Melayu pada zaman tersebut serta peramuan dan cara penggunaan ubat-ubatan yang kebanyakan berasaskannya bahan-bahan tempatan yang sangat mudah diperolehi di Kepulauan Riau sehingga sekarang.
Manuskrip ini merupakan salah satu naskhah perubatan oleh seorang tabib, atau doktor, yang terakhir di kerajaan Riau. Riau, sebuah kawasan kepulauan di tengah-tengah rantau alam Melayu, pernah menjadi pusat kegemilangan tamadun Melayu dalam bidang ketenteraan, kesusasteraan, keagamaan, perdagangan dan gerakan kesarjanaan mulai penghujung abad ke-18 hingga awwal abad ke-20. Buat seketika pada zaman keemasannya itu, pusat peradaban Melayu yang telah jatuh di Melaka pada abad ke-16 dan sedang mula merosot di Aceh pada zaman itu, seakan-akan muncul semula di Riau, dan mengalami zaman kebangkitan.
Naskhah Rumah Ubat di Pulau Penyengat asalnya dicetak di Matba’ah Riauwiyah di Pulau Penyengat pada tahun 1894. Ini menjadikan naskhah ini sebagai naskhah perubatan Melayu dalam bentuk cetakan yang tertua sekali, iaitu setahun lebih awal daripada tarikh tercetaknya naskhah Ṭayyib al-Iḥsān fī Ṭibb al-Insān karya Shaykh Ahmad al-Fatani. Manuskrip asli dalam tulisan tangan tidak ditemui lagi pada mana-mana simpanan. Tidak juga diketahui jika naskhah ini pernah diulang cetak, samada di Riau atau di pusat percetakan naskhah Melayu yang lain.
Nama naskhah ini mengingatkan kita kepada institusi Dār al-Shifā, atau hospital dan farmasi yang terdapat di dalam dunya Islam. Nama Rumah Ubat merujuk kepada rumah tempat tinggal Raja Ḥāji Aḥmad Tabib, yang mengikut keterangan dalam kitab ini, juga telah bertindak sebagai tempat mendapatkan ubat. Selain Rumah Ubat, terdapat juga Gedung Tabib di Pulau Penyengat. Kedua-dua nama ini sesuai dipadankan sebagai alternatif tempatan terhadap istilah Dār al-Shifā.
Naskhah ini tersimpan di Balai Maklumat Kebudayaan Melayu Riau di Pulau Penyengat dengan nombor katalog 95 dan kini boleh dilihat juga di laman maya Endangered Archive Project (EAP) British Library dengan kod nombor EAP153/13/10. Berikut adalah pemerian ringkas mengenai naskhah ini di laman maya tersebut: Ramuan dengan tujuan perubatan. Penulis: Raja Ahmad Tabib, 1311. Naskhah cetakan oleh rumah cetak di Penyengat dalam huruf Jawi dan Latin; muka depan sudah tiada; muka tajuknya dikepilkan ke muka berikutnya dengan pengokot [?]; muka belakangnya masih ada tetapi juga dikepilkan dengan dawai kokot. Tera air: 1893.
Oleh kerana naskhah ini bersifat penyenaraian preskripsi ubatan, sistem penulisannya tidak mengikut urutan a capite ad calcem, atau mengikut urutan rawatan dari kepala ke hujung kaki sepertimana yang didapati dalam naskhah perubatan Melayu lain. Terdapat 16 jenis bahan dalam senarainya dengan satu daripadanya (halia) digunakan dalam tiga bentuk ramuan dan satu lagi (bawang putih) digunakan dalam dua bentuk ramuan. Dua daripada bahan yang digunakan berasal dari luar kawasan alam Melayu iaitu tiada diperolehi di kawasan tempatan dan harus didatangkan melalui jalan perdagangan. Bahan-bahan yang disebutkan ini iaitu Swertia spp. dan Fumaria officinalis menunjukkan bahawa perdagangan antara Riau dan dunia luar terutamanya benua India adalah rapat dan pesat, dengan kedua-duanya menjadi bahan komoditi perdagangan.
Selain nilai sejarah dan perubatannya sebagai naskhab versi cetakan yang tertua untuk perubatan Melayu, dar mengandungi daftar ramuan dan perbahanan perubatan Melayu, satu ciri khas naskhah ini ialah keterangan tentang amalan kedoktoran yang terkandung di hujung naskhah. Selain daripada naskhah ini, tidak didapati dalam mana mana naskhah perubatan Melayu yang lain, catatan yang jelas tentang tatacara mendapatkan khidmat doktor dan bayaran yang diberikan.
Reviews
There are no reviews yet