Mata, Rumah dan Merpati merupakan sebuah kumpulan cerpen Kemala yang menghimpunkan tiga belas cerpen pilihan antara tahun 1970 hingga 2000. Garapan kisah benar dan pengalaman hidupnya berjaya dinukilkan dalam cerpen-cerpen ini menerusi kekuatan teknik penceritaan, gaya bahasa yang puitis, watak, latar dan sosiobudaya. Cerita pendek ini membawa penulis menghayati watak-watak yang sempat beliau kenali dalam hidup penulis. Cerita penulis berdasarkan pengalaman tetapi sudah diubah suai di sana sini. Jadi dalam 13 cerita pendek ini, “kebenarannya” mungkin tinggal 60 atau 70 peratus sahaja. Demikianlah sebuah karya kreatif melalui olahan penulis yang menggunakan imaginasi dan kreativiti. Jika tidak, tentulah cerita itu akan menjadi kering tak berjiwa. Ibu yang buta, Mak Esah dalam Mata, Rumah dan Merpati, adalah ibu mentua penulis sendiri, Raja Khadijah.
Kenyataan dan catatan ringkas ini akan membantu peminat cerita pendek tanah air memahami watak-watak yang penulis temui sepanjang usianya. Menurut penulis, beliau belajar mencintai bakat anugerah Tuhan dan belajar mencintai persoalan yang menyelubungi kemanusiaan. Dalam sastera ada rahsia kehidupan. Dalam kehidupan ada konflik yang minta dihuraikan. Mencintai kehidupan tidak dapat dipisahkan dari ruang zaman dan sejarah. Sasterawan mencipta dan menghidupkan watak. Pembaca akan menemui moral pedagogi yang positif. Apabila penulis tidak menulis esei, drama dan puisi, maknanya penulis menggarap cerpen. Penulis mengakui yang beliau bukanlah penulis cerpen yang prolifik, tetapi membaca cerita pendek beliau mampu mengundang anda untuk memahami erti cinta, erti kehidupan dan kemanusiaan. Mata, Rumah dan Merpati menyediakan unsur-unsur seni, cinta dan keindahan itu.
Reviews
There are no reviews yet