Pemikiran Islam Jawa membahaskan tentang sejarah pemikiran Islam, khususnya tentang metode dakwah dan mistik Islam di Pulau Jawa. Metode dakwah yang dimaksudkan itu tiada lain melainkan pada tokoh-tokoh legenda Wali Songo (Sembilan) yang kesohor itu. Yang dimaksudkan dengan mistik Islam itu ialah ajaran Syiah Batiniyah yang kemudiannya berkembang dan muncul sebagai aliran Kebatinan Jawa, atau lebih popular sebagai aliran mistik Islam Kejawen. Walaupun ajaran ini tumbuh dan berkembang sebagai suatu fenomena di Jawa, tetapi kemudiannya ia tersebar luas meliputi Alam Melayu seluruhnya, seumpama di Malaysia, Singapura dan Brunei.
Sejarah Islam di Jawa berkait rapat dengan peranan Wali Songo. Yang dimaksudkan dengan Wali Songo ialah sembilan orang wali seperti berikut: Maulana Malik Ibrahim, Sunan Ampel (Raden Rahmat), Sunan Giri (Raden Paku), Sunan Gunung Jati (Syarif Hidayatullah), Sunan Bonang (Makhdum Ibrahim), Sunan Drajat, Sunan Kalijaga, Sunan Kudus, dan Sunan Muria. Sebenarnya bukan sembilan orang tokoh ini sahaja yang berjasa dalam usaha dakwah Islam di Jawa, malah ramai lagi yang turut berjasa, baik sebelum atau selepas periode mereka. Cuma mereka dipilih kerana peranan mereka lebih dominan bukan sahaja dalam bidang agama bahkan juga dalam bidang politik dan pemerintahan Jawa. Selain itu timbul juga kontroversi tentang tokoh-tokoh yang tergolong dalam Wali Songo itu, oleh sebab ada juga yang menolak nama Maulana Malik Ibrahim lalu menonjolkan nama lain sebagai gantinya.
Di samping kontroversi tentang tokoh yang termasuk dalam kalangan Wali Songo tersebut, terdapat juga kontroversi tentang kepentingan angka sembilan (songo) pada jumlah wali tersebut. Di suatu pihak ada yang mengaitkannya dengan sembilan dewa penjaga titik kompas (sembilan penjuru mata angin). Dengan mengikuti dakwah Islam melalui Wali Songo itu secara konotatif bermakna mendapat perlindungan daripada Wali Songo sebagai pengganti dewa mata angin Hindu tersebut. Bagaimanapun terdapat pendapat lain yang mengatakan bahawa nama Wali Songo adalah nama sebuah organisasi atau dewan dakwah, atau dewan ulama dan yang seumpamanya. Jumlah ahli dalam dewan atau organisasi ini akan tetap sembilan orang. Oleh itu apabila salah seorang anggota dewan atau majlis tersebut pergi atau meninggal, maka akan diganti oleh ahli atau wali yang lain agar cukup sembilan orang.
Sebagai reaksi terhadap kepesatan pengaruh Islam di Alam Melayu, timbullah gerakan Batiniyah di Jawa. Gerakan dakwah Wali Songo membawa implikasi yang besar terhadap keruntuhan Majapahit. Sebenarnya kejatuhan Majapahit disebabkan oleh berbagai faktor. Dari segi politik dalaman, sejak tamatnya era pemerintahan Prabu Hayam Wuruk (1350-1389) dan Patih Gajah Mada, tidak ada lagi tokoh pemimpin Majapahit yang berwibawa, sehingga berlaku konflik perebutan kuasa dalam kalangan bangsawan Majapahit. Masalah dalaman ini diperburuk lagi oleh faktor luaran melalui pengaruh Islam yang muncul sebagai kuasa ekonomi baharu yang menggugat kuasa politik Majapahit.
Konflik politik ini diperburuk lagi oleh konflik agama dengan munculnya seorang tokoh misteri, Syeikh Siti Jenar atau nama lainnya, Syeikh Lemah Abang, yang bertanggungjawab menyebarkan ajaran Batiniyah (Kebatinan) di Jawa. Syeikh Siti Jenar atau Syeikh Lemah Abang bukan sahaja tokoh misteri bahkan tokoh kontroversi; misteri kerana riwayatnya dipengaruhi mitos dan kontroversi kerana ajarannya membawa implikasi besar terhadap kestabilan masyarakat Jawa. Hasil daripada proses persenyawaan antara ajaran Syiah Batiniyah dan Hindu-Buddha oleh para pengikut Syeikh Siti Jenar, lahirlah golongan abangan yang sinkretik dan panteistik. Dalam perkembangan kemudiannya dalam kalangan pimpinan abangan sendiri, mereka berjuang mendapat hak hidup demi mempertahankan kepercayaan Kebatinan Jawa, baik pada zaman penjajahan Belanda mahupun selepas kemerdekaan Indonesia.
Pada zaman kolonial, terutama selepas Perjanjian Giyanti pada tahun 1755m, ia membelah-bahagikan Kerajaan Mataram kepada Kerajaan Surakarta dan Kerajaan Yogyakarta. Pada tahun 1757m, Kerajaan Surakarta dibahagi dua lagi, iaitu wilayah yang dikuasai Paku Buwono dan wilayah yang dikuasai Mangkunegara. Kemudiannya pada tahun 1813, Kerajaan Yogyakarta dibahagi dua oleh Inggeris, iaitu wilayah yang dikuasai oleh Sultan Hamengku Buwono dan Wilayah Paku Alam yang dipimpin oleh Pangeran Paku Alam. Kerajaan-kerajaan wilayah ini memainkan peranan besar sebagai basis gerakan Yahudi Freemason dan Teosofi yang berkembang pesat di Indonesia kemudiannya.
Reviews
There are no reviews yet