Pengislahan Masyarakat Melayu: Perbincangan Al-Imam (1906-1908) membincangkan peranan Majalah al-Imam menggerakkan perubahan dalam masyarakat Melayu pada awal abad ke-20 yang meliputi aspek ekonomi, politik dan pendidikan. Perubahan yang cuba dijelmakan itu adalah berlandaskan pemahaman dan penghayatan akidah Islam yang sebenar. Masyarakat Melayu pada masa itu amat jauh ketinggalan dalam semua aspek kehidupan berbanding bangsa-bangsa lain. Masyarakat Melayu yang dimaksudkan di sini merangkumi seluruh umat Melayu di Nusantara yang pada ketika itu berada di bawah kuasa penjajah.
Majalah ini berperanan sebagai penyalur idea atau pengaruh pengislahan yang dibawa dari Timur Tengah terutamanya untuk disebarluaskan ke seluruh Nusantara. Kesedaran ke arah peningkatan taraf hidup yang lebih tinggi ini telah dicetuskan oleh golongan yang dikenali sebagai Kaum Muda. Perbincangan yang disampaikan telah memberi kesan yang besar terhadap sejarah politik moden dan nasionalisme masyarakat Melayu serantau selain meletakkan asas perjuangan baharu kepada masyarakat Melayu di Nusantara bagi mencapai kemajuan yang dihajati.
Bagi memahami idea pejuang al-Imam dalam mengislahkan masyarakat Melayu di Nusantara, maka dalam buku ini dimuatkan semua perbincangan yang dihasilkan oleh pengarang-pengarang majalah ini dan tokoh-tokoh Melayu sezaman dengannya, supaya dapat menelusuri idea dan pemikiran perjuangan islah dalam masyarakat Melayu pada awal abad ke-20. Buku ini amat sesuai dijadikan bahan rujukan terutama kepada pengkaji dan pelajar bidang sejarah sosial-ekonomi dan politik masyarakat Melayu di Malaysia khususnya dan di Nusantara umumnya.
Reviews
There are no reviews yet