Penulisan Rencana dalam Akhbar dan Majalah Melayu, 1900-1950: Wanita merupakan siri kedua untuk “Siri Penulisan Rencana dalam Akhbar dan Majalah Melayu 1900-1950”. Dalam siri kedua ini, tumpuan diberikan kepada pemikiran dan idea-idea yang berkaitan permasalahan wanita, bentuk dan sejarah perkembangannya, serta perjuangan kaum ini dalam mencapai kemerdekaan sejak zaman silam hingga kira-kira pertengahan abad ke-20 Masihi yang lalu (1950).
Oleh sebab penulisan ini berkenaan dengan idea, pemikiran ataupun minda secara amnya, maka ini juga bukanlah merupakan sejarah biasa dengan pelbagai rentetan biasa, seperti politik, ekonomi, sosial dan beberapa macam sub-bidangnya lagi. Setelah menyatakan perkara yang bukan-bukan itu, tentulah akan timbul persoalan, apakah sebenarnya tumpuan utama, ataupun fokus penulisan ini?
Fokus utamanya adalah untuk merenung, lantas dengansedayaupaya,cuba memahami pelbagai pemikiran intelektualisme yang telah dihasilkan dalam tempoh 1900-1950 itu. Pemikiran itu telah dilahirkan dalam pelbagai penulisan yang diterbitkan dalam pelbagai akhbar dan majalah Melayu dalam tempoh itu. Jumlahnya memang banyak sementelah akhbar dan majalah Melayu yang telah muncul di khalayak masyarakat dalam tempoh tersebut juga sudah melebihi 150 buah. Kebanyakannya memang memuatkan pelbagai penulisan bersifat intelektualisme itu yang menyentuh pelbagai isu dan juga ilmu pengetahuan dalam kehidupan ini.
Sesetengah penulisan boleh dikatakan bernas sifatnya, sama ada dilihat daripada isu kandungannya, maklumat yang cuba disampaikan, penghujahan mahupun penjelasan tentang isu yang dikemukakan. Sesetengahnya pula tidaklah begitu, malah hanya merupakan bentuk-bentuk pemikiran biasa sahaja. Walaupun bentuk ini memang ada sifat-sifat intelektualismenya, namun dalam konteks masyarakat Melayu dan anggapan mereka terhadap istilah intelektualisme, maka garapan utama penulisan adalah terhadap pelbagai penulisan yang dianggap bernas.
Renungan serta kefahaman kita tentang pelbagai pemikiran intelektualisme dalam tempoh tersebut akan melahirkan rasa empati terhadapnya, malah suasananya jua, lantas akan menimbulkan rasa apresiasi pula dalam diri kita. Hal ini memang wajar kerana pelbagai idea serta pemikiran yang dihasilkan menggambarkan pula hasrat murni serta keikhlasan para intelektual itu dalam memaparkan pemikirannya, sama ada demi sesuatu agenda mahupun penyebaran ilmu pengetahuan semata-mata.
Hasrat murni dan sikap ikhlas itu dapat pula digambarkan dalam pelbagai hasil penulisan, iaitu yang menyentuh pelbagai isu yang dirasakan penting untuk dibicarakan, dibincangkan, dipaparkan, malah dihujah serta dibahaskan. Terdapat kemahuan serta keghairahan yang tinggi dalam usaha menghasilkan pelbagai penulisan itu kerana ada keperluan yang menjadi asas dan pendorong penghasilannya. Asas dan dorongan menyebabkan timbulnya, ataupun terbitnya bentuk-bentuk pemikiran dalam akhbar serta majalah dalam tempoh kajian ini.
Atau dengan perkataan lain, para intelektual ataupun golongan penulis secara amnya dalam tempoh tersebut membuat komitmen, menggunakan dan seterusnya mencatatkan, lantas menyebarkan buah fikiran mereka melalui ruang-ruang akhbar dan majalah ketika itu untuk pelbagai tujuan dan pengertiannya pula. Demikian pula iltizam kerana sebagai golongan intelektual, mereka berasa perlu, malah bertanggungjawab dalam menghasilkan penulisan tentang pelbagai isu itu demi kepentingan zaman dan masyarakat.
Dalam pada itu, suatu persoalan yang mungkin timbul, mengapa melalui akhbar dan majalah dan tidak melalui penerbitan lain, terutama buku-buku, jurnal ataupun terbitan berkala, seminar dan persidangan? Jawapan utamanya, melalui media tersebut idea-idea mereka dapat disampaikan dengan lebih cepat kepada khalayak pembacanya kerana kebanyakan akhbar dan majalah ketika itu terbitannya lebih kerap daripada media percetakan yang lain. Hal ini boleh mengekalkan kehangatan isu yang diketengahkan, lantas momentum pergerakan, penyaluran mahupun pengaliran pengaruhnya terhadap masyarakat akan dapat berlaku secara spontan lagi berterusan.
Reviews
There are no reviews yet